Antarabangsa
Status istimewa Wilayah Jammu dan Kashmir berakhir
Mahkamah Agung India pada Isnin mengesahkan keputusan kerajaan republik itu untuk membatalkan status istimewa wilayah Jammu dan Kashmir, sekali gus menandakan berakhirnya pentadbiran autonomi wilayah itu.

- Mahkamah Agung India pada Isnin mengesahkan keputusan kerajaan republik itu untuk membatalkan status istimewa wilayah Jammu dan Kashmir, sekali gus menandakan berakhirnya pentadbiran autonomi wilayah itu.
- Dalam keputusan sama, pihak mahkamah turut menetapkan tarikh akhir pada 30 September tahun depan bagi mengadakan pilihan raya negeri di wilayah majoriti penganut Islam itu.
- Pengkritik melihat keputusan itu sebagai usaha Parti Bharatiya Janata (BJP) untuk mengetatkan kawalan terhadap kawasan berkenaan.
- Status istimewa Jammu dan Kashmir sebelum ini terletak di bawah Artikel 370 Perlembagaan India yang memperuntukkan autonomi terhadap wilayah itu dalam pelbagai aspek kecuali kewangan, pertahanan, perhubungan luar dan komunikasi.
INDIA – Mahkamah Agung India pada Isnin mengesahkan keputusan kerajaan republik itu untuk membatalkan status istimewa wilayah Jammu dan Kashmir, sekali gus menandakan berakhirnya pentadbiran autonomi wilayah itu.
Dalam keputusan sama, pihak mahkamah turut menetapkan tarikh akhir pada 30 September tahun depan bagi mengadakan pilihan raya negeri di wilayah majoriti penganut Islam itu.
Pengkritik melihat keputusan tersebut sebagai usaha Parti Bharatiya Janata (BJP) untuk mengetatkan kawalan terhadap kawasan itu.
Status istimewa Jammu dan Kashmir sebelum ini terletak di bawah Artikel 370 Perlembagaan India yang memperuntukkan autonomi terhadap wilayah berkenaan dalam pelbagai aspek kecuali kewangan, pertahanan, perhubungan luar dan komunikasi.
Penarikan balik artikel itu oleh Perdana Menteri, Narendra Modi menyebabkan kedua-dua wilayah berkenaan ditadbir secara langsung kerajaan pusat.
“Usaha ini terang-terangan merupakan tindakan untuk memuaskan majoriti pengundi Hindu di India,” kata Penganalisis Pertahanan, Ajai Shukla dipetik Al Jazeera pada Isnin.
Pembatalan autonomi wilayah Jammu dan Kashmir itu mendapat bantahan daripada parti politik di India.
Mantan Ketua Menteri dan Naib Presiden Parti Konferensi Nasional Jammu & Kashmir, Omar Abdullah berkata meskipun kecewa dengan keputusan itu, namun ia tidak mematahkan semangat perjuangan mereka.
“Perjuangan akan terus berlanjut. BJP memerlukan beberapa dekad untuk bertapak di sini. Kami juga bersiap untuk perjalanan jangka panjang,” kata Omar
“Rakyat Jammu dan Kashmir tidak akan kehilangan harapan atau menyerah. Perjuangan kami untuk kehormatan dan martabat akan terus berlanjut. Ini bukanlah akhir jalan bagi kami,” kata bekas Ketua Menteri dan presiden Parti Demokratik Rakyat Jammu dan Kashmir, Mehbooba Mufti.
Sumber: Al Jazeera

You must be logged in to post a comment Login