Terkini
Singapura tingkatkan pemeriksaan, kekang vape di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut
Pihak Berkuasa Singapura akan meningkatkan pemeriksaan bagi mengekang penggunaan vape di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut dalam tempoh beberapa bulan akan datang, bermula dengan Lapangan Terbang Changi.
- Pihak Berkuasa Singapura akan meningkatkan pemeriksaan bagi mengekang penggunaan vape di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut dalam tempoh beberapa bulan akan datang, bermula dengan Lapangan Terbang Changi.
- “Penumpang yang masuk mungkin akan disaring untuk vape dan komponennya di balai ketibaan dan mereka didapati memiliki e-vaporiser atau komponennya akan didenda,” kata Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam siaran media pada Selasa.
- Penumpang membawa e-vaporiser mesti melalui Lorong Merah yang dikenakan terhadap individu memiliki barang untuk diisytiharkan supaya barangan terlarang itu dapat dibuang.
- Vape diharamkan di Singapura dan pesalah boleh didenda S$2,000 (RM6994.274) serta mereka yang mengimport, mengedar atau menjual produk itu berisiko berdepan hukuman lebih berat, termasuk dipenjara.
SINGAPURA — Pihak Berkuasa Singapura akan meningkatkan pemeriksaan bagi mengekang penggunaan vape di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut dalam tempoh beberapa bulan akan datang, bermula dengan Lapangan Terbang Changi.
“Penumpang yang masuk mungkin akan disaring untuk vape dan komponennya di balai ketibaan dan mereka didapati memiliki e-vaporiser atau komponennya akan didenda,” kata Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam siaran media pada Selasa lalu.
Channel News Asia melaporkan penumpang membawa e-vaporiser mesti melalui Lorong Merah yang dikenakan terhadap individu memiliki barang untuk diisytiharkan supaya barangan terlarang itu dapat dibuang.
“Pelancong yang mengisytiharkan dan menyerahkan barang-barang ini di Lorong Merah tidak akan dikenakan denda,” kata MOH dan HSA.
Kenyataan itu berkata Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan terus menjalankan pemeriksaan keselamatan untuk mengesan dan menghalang percubaan penyeludupan.
Vape diharamkan di Singapura dan pesalah boleh didenda S$2,000 (RM6994.274) serta mereka yang mengimport, mengedar atau menjual produk itu berisiko berdepan hukuman lebih berat, termasuk dipenjara.
Bilangan individu ditangkap menggunakan dan memiliki vape semakin meningkat di mana terdapat juga beberapa kanak-kanak sekolah terjebak dengan tabiat itu.
Sesetengah pengguna mendapatkan bekalan mereka dalam talian menerusi Telegram atau mereka pergi ke luar negara.
Selain pusat pemeriksaan sempadan, pemeriksaan turut dipertingkatkan di kawasan seperti pusat perniagaan, pusat membeli-belah, taman, kawasan merokok, serta pusat hiburan awam seperti bar dan kelab yang disifatkan sebagai “titik panas awam”.
HSA berkata ia sudah memantau penjualan haram e-vaporiser melalui media sosial dan platform pemesejan untuk mengekang akses dalam talian bagi barangan terlarang tersebut.