Terkini
Nafi terlibat rasuah, Daim akan ambil tindakan undang-undang
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mendakwa dan mengaitkan beliau dan keluarganya memiliki kekayaan luar biasa.
- Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mendakwa dan mengaitkan beliau dan keluarganya memiliki kekayaan luar biasa.
- Daim berkata dakwaan tidak berasas itu sudah dibincangkan bersama peguamnya dan tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil pada masa yang sesuai.
- “Perbincangan sudah diadakan dengan peguam saya dan tindakan undang-undang akan diambil,” katanya dalam kenyataan dipetik Astro Awani pada Khamis.
- Merujuk kepada kenyataan Anwar, ‘it is an open secret. Someone had reaped so much wealth’, dalam ucapannya pada 22 Disember lalu, Daim menyifatkan ia sebagai sindiran yang tidak berasas yang memberi gambaran beliau sudah bersalah walaupun siasatan sedang berjalan.
- Daim turut mendakwa tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki membuat komen-komen bersifat prejudis secara terbuka mengenai dirinya sebagai tidak profesional dan mencurigakan memandangkan siasatan masih lagi berjalan.
- Sebelum ini, SPRM mengesahkan penyitaan Menara Ilham di Kuala Lumpur berkaitan siasatannya atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Daim.
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mendakwa dan mengaitkan beliau dan keluarganya memiliki kekayaan luar biasa.
Daim berkata dakwaan tidak berasas itu sudah dibincangkan bersama peguamnya dan tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil pada masa yang sesuai.
“Perbincangan sudah diadakan dengan peguam saya dan tindakan undang-undang akan diambil,” katanya dalam kenyataan dipetik Astro Awani pada Khamis.
Ahli perniagaan berusia 85 tahun itu, menafikan sekeras-kerasnya beliau dan keluarganya terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah sebagaimana didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, beliau menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berbentuk a political witch-hunt atau kempen politik yang mensasarkan dirinya dan keluarga.
Katanya, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukannya walaupun sudah berkali-kali mengajukan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Tiada penjelasan, dan saya boleh mendedahkan surat yang ditandatangani sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki … beliau enggan memaklumkan kesalahan yang disiasat,” katanya.
Sementara itu, merujuk kepada kenyataan Anwar, ‘it is an open secret. Someone had reaped so much wealth’, dalam ucapannya pada 22 Disember lalu, Daim menyifatkan ia sebagai sindiran tidak berasas yang memberi gambaran beliau sudah bersalah walaupun siasatan sedang berjalan.
“Tindakan itu bukan sahaja menunjukkan beliau tergugat dengan saya. Malah mendedahkan beliau menyalahguna kedudukannya sebagai Perdana Menteri dengan mencampuri urusan siasatan yang sedang berjalan,” katanya.
Daim turut mendakwa tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki membuat komen-komen bersifat prejudis secara terbuka mengenai dirinya sebagai tidak profesional dan mencurigakan memandangkan siasatan masih lagi berjalan.
“Sebagai ketua badan penguatkuasa, Azam Baki seharusnya bertanggungjawab ke atas sekumpulan ‘sumber’ yang membocorkan berita-berita mengenai perjalanan siasatan.
“Saya yakin kumpulan yang disebut sebagai ‘sumber’ itu hanya boleh melibatkan orang dalam,” katanya.
Sebelum ini, SPRM mengesahkan penyitaan Menara Ilham di Kuala Lumpur berkaitan siasatannya atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Daim.
Azam Baki bagaimanapun enggan memberikan butiran lanjut mengenai kes tersebut.
“Apabila kami menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dan melibatkan harta tak alih, kami dibenarkan di bawah Akta SPRM menghantar permohonan sitaan kepada timbalan pendakwa raya.
“Itulah apa yang berlaku (dalam kes ini). Kami menggunakan kuasa diperuntuk kepada timbalan pendakwa raya untuk mengarahkan pejabat tanah meletakkan kaveat terhadap tanah berkenaan,” kata Azam Baki. — The Merdeka Times