Terkini
Mampukah pengganas Israel hapuskan Hamas? – soal Presiden Perancis
Israel perlu kenal pasti apakah matlamat utama serta kesudahan peperangan yang mahu mereka capai.
- Israel perlu kenal pasti apakah matlamat utama serta kesudahan peperangan yang mahu mereka capai.
- “Apa pula maksud penghapusan Hamas sepenuhnya? Adakah ada dalam kalangan kita terfikir bahawa tindakan itu boleh dicapai?” soal Macron.
- Menurut Macron, apa yang perlu di Gaza ketika ini ialah gencatan senjata yang tetap.
DUBAI – Israel perlu kenal pasti apakah matlamat utama serta kesudahan peperangan yang mahu mereka capai.
Berikut persoalan penuh tegas diaju Presiden Perancis, Emmanuel Macron kepada pengganas zionis Israel.
Menurut Macron, usaha memusnahkan pasukan pejuang Hamas Palestin hanya akan mengundang peperangan yang boleh berlanjutan sehingga 10 tahun.
“Saya fikir, ketika ini pihak berkuasa Israel perlu teliti dalam mengenal pasti apakah matlamat utama mereka dan apakah hasilnya pada kesudahan peperangan yang mahu mereka capai.
“Apa pula maksud penghapusan Hamas sepenuhnya? Adakah ada dalam kalangan kita terfikir bahawa tindakan itu boleh dicapai?” soal Macron.
“Andai demikian tujuannya, maka perang (di Gaza) akan berlanjutan sehingga 10 tahun dan saya terfikir tidak ada sesiapa pun yang boleh mengenal pasti matlamat itu. Justeru, apa yang diperlukan ialah kenal pasti (matlamat) dengan lebih teliti,” tambah Macron.
Bercakap pada sidang media di Dubai pada Sabtu, Macron berkata, beliau akan berkunjung ke Qatar untuk bekerjasama dalam usaha pelaksanaan gencatan yang baharu secepat mungkin.
Israel pada Sabtu membuat keputusan menarik keluar perunding perisikannya, Mossad dari Qatar iaitu negara yang menjadi perantara usaha gencatan senjata antara Israel-Palestin, selepas rundingan menemui ‘jalan buntu.’
Menurut Macron, apa yang perlu di Gaza ketika ini ialah gencatan senjata yang tetap.
Macron turut mengulangi pendirian Perancis bahawa pengganas Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri mereka, namun, menegaskan “hak untuk mempertahankan diri tidak memberi ruang kepada kamu dalam apa sahaja cara sekalipun untuk menyerang orang awam.”
Angkatan Pertahanan penjajah Israel pula dalam reaksinya berkata, pasukan pertahanan itu tidak mensasarkan orang awam dalam peperangan dengan Hamas.
Sumber – Agensi