Terkini
Kerajaan saran hanya 30 peratus TVET berada dalam kelas
Kerajaan menyarankan 30 peratus Pendidikan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) berada di dalam kelas, manakala 70 peratus lagi difokuskan di bengkel, makmal dan latihan industri bagi memperkasakan kemahiran sekali gus meningkatkan kebolehpasaran penuntut bidang itu.

- Kerajaan saran 30 peratus Pendidikan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) berada dalam kelas, manakala 70 peratus difokuskan di bengkel, makmal dan latihan industri bagi memperkasakan kemahiran sekali gus meningkatkan kebolehpasaran penuntut bidang itu.
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu sudah disarankan kepada pihak berkenaan supaya penuntut lepasan bidang itu mempunyai lebih pengalaman dan pendedahan di peringkat awal.
- Menurutnya, perubahan sukatan pembelajaran membantu lepasan penuntut mempunyai latar belakang kuat dalam bidang berkaitan selepas menamatkan kursus kemahiran itu.
- “Dengan itu kebolehpasaran lulusan TVET akan dapat ditingkatkan daripada kadar 98.5 peratus kepada sekurang-kurangnya 99.5 peratus,” katanya selepas Majlis Pelancaran mynext TVET dan Pertukaran Dokumen Memorandum Kerjasama (MoC) Transformasi TVET Antara Kerajaan Dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Swasta sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di sini pada Jumaat.
Kuala Lumpur: Kerajaan menyarankan 30 peratus Pendidikan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) berada di dalam kelas, manakala 70 peratus lagi difokuskan di bengkel, makmal dan latihan industri bagi memperkasakan kemahiran sekali gus meningkatkan kebolehpasaran penuntut bidang itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu juga sudah disarankan kepada pihak berkenaan supaya penuntut lepasan bidang itu mempunyai lebih pengalaman dan pendedahan di peringkat awal.
Menurutnya, perubahan sukatan pembelajaran itu membantu lepasan penuntut mempunyai latar belakang yang kuat dalam bidang berkaitan selepas menamatkan kursus kemahiran itu.
“Penuntut TVET dapat menimba (lebih banyak) ilmu atau pendedahan di peringkat awal sebelum (mereka) memulakan alam pekerjaan selepas tamat kursus.
“Dengan itu kebolehpasaran lulusan TVET akan dapat ditingkatkan daripada kadar 98.5 peratus kepada sekurang-kurangnya 99.5 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran mynext TVET dan Pertukaran Dokumen Memorandum Kerjasama (MoC) Transformasi TVET Antara Kerajaan Dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Swasta sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, beberapa bidang baharu bagi pengajian TVET turut diperkenalkan.
“Kursus baru seperti kenderaan elektronik (EV), teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan serta komunikasi sudah dimulakan dan ingin diperkukuhkan lagi.
“Rangkaian 5G juga sudah tersedia dan mungkin akan mencapai tahap 5.5G dalam masa terdekat dan (dengan perkembangan) ini harus disediakan oleh tenaga mahir daripada TVET,” katanya.
Dalam pada itu, mengenai MyNextTVET, Ahmad Zahid berkata, program itu berperanan sebagai kerangka digital berpusat untuk penyusunan inisiatif TVET, selain menawarkan penyelesaian yang berintegrasi untuk analisa dan pengurusan bakat.
“MyNext TVET adalah program untuk menterjemahkan visi alam pekerjaan dalam bidang baharu di mana TVET menjadi pemangkin utama bagi menyediakan kursus atau pendidikan TVET pada bakal tenaga kerja di negara kita,” katanya.
Sumber: Harian Metro
