Connect with us

Terkini

Ibu bapa perlu cakna ancaman ‘groomer’ terhadap anak-anak

Ibu bapa perlu cakna ancaman jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dilakukan pengantun atau lebih dikenali sebagai ‘groomer’.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Ibu bapa perlu cakna ancaman ‘groomer’ terhadap anak-anak
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Ibu bapa perlu cakna ancaman jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dilakukan pengantun atau lebih dikenali sebagai ‘groomer’.
  • Pekerja Sosial Women’s Centre for Change (WCC), Asmar Hamariyah Ahmad Bakhari berkata tindakan awal dilakukan pengantun seksual terhadap mangsa adalah dengan menjalinkan hubungan dan meraih kepercayaan mereka bagi tujuan jenayah seksual.
  • “Berdasarkan kes dikendalikan pihak WCC, kanak-kanak pada usia lebih muda lebih cenderung ketika ini sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menuntut mereka untuk belajar di rumah dan menggunakan gajet lebih kerap. Mereka ketika ini lebih mudah terdedah kepada ancaman pengantun,” katanya dipetik Astro Awani, dalam AWANI Pagi yang membincangkan topik: Memahami Pengantunan Seksual Kanak-Kanak pada Rabu.
  • Asmar berkata antara tanda anak-anak diantun adalah berkurung dalam bilik dan menunjukkan perubahan sikap yang mendadak, aktif menggunakan media sosial tanpa kawalan, mula kerap menerima hadiah dan juga perlu berhati-hati terhadap individu yang terlalu baik dengan mereka.

KUALA LUMPUR – Ibu bapa perlu cakna ancaman jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dilakukan pengantun atau lebih dikenali sebagai ‘groomer’.

Pekerja Sosial Women’s Centre for Change (WCC), Asmar Hamariyah Ahmad Bakhari berkata tindakan awal dilakukan pengantun seksual terhadap mangsa adalah dengan menjalinkan hubungan dan meraih kepercayaan mereka bagi tujuan jenayah seksual.

“Pengantunan ini merupakan satu kaedah digunakan pelaku contohnya seperti pedofilia dengan menggunakan taktik untuk mendekati mangsa dengan membentuk hubungan, wujudkan kepercayaan, kasih sayang dengan mangsa.

“Apabila mangsa dah percaya dan rasa rapat, jadi mudah bagi ‘groomers’ untuk ambil kesempatan terhadap mangsa bagi tujuan seksual.

“Berdasarkan kes dikendalikan pihak WCC, kanak-kanak pada usia lebih muda lebih cenderung ketika ini sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menuntut mereka untuk belajar di rumah dan menggunakan gajet lebih kerap. Mereka ketika ini lebih mudah terdedah kepada ancaman pengantun,” katanya dipetik Astro Awani, dalam AWANI Pagi yang membincangkan topik: Memahami Pengantunan Seksual Kanak-Kanak pada Rabu.

WCC mendedahkan hampir 7,000 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan di seluruh negara, setakat Julai 2023.

Menerusi data itu, terdapat peningkatan 54 peratus berbanding 2018 iaitu tahun sebelum pandemik COVID-19 dan berdasarkan pemerhatian kes dikendalikan WCC, mangsa mendedahkan berkenalan dengan pelaku menerusi platform media sosial.

Manakala, lebih 94,000 kes membabitkan gangguan seksual kanak-kanak yang dilakukan secara dalam talian diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 2017 hingga 2021.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memahami sebarang tanda menunjukkan anak-anak diantun.

Asmar berkata antara tanda tersebut adalah anak-anak berkurung dalam bilik dan menunjukkan perubahan sikap yang mendadak, aktif menggunakan media sosial tanpa kawalan, mula kerap menerima hadiah dan juga perlu berhati-hati terhadap individu yang terlalu baik dengan mereka.

“Kita (ibu bapa) perlu mewujudkan hubungan rapat dengan kanak-kanak dengan memberi kepercayaan kepada mereka dan percaya apa mereka katakan. Penting juga untuk mendengar luahan mereka dan ibu bapa perlu bersifat terbuka,” kata Asmar. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *