Kolumnis
Siapa sebenarnya mangsa Islamofobia?
Dalam sidang Parlimen pada 7 November lalu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary membangkitkan isu Islamofobia susulan penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sebuah sekolah.
Dalam sidang Parlimen pada 7 November lalu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary membangkitkan isu Islamofobia susulan penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sebuah sekolah.
Walaupun Islam merupakan agama Persekutuan dan majoriti rakyat Malaysia beragama Islam, perkataan Islamofobia sudah tidak asing bagi rakyat Malaysia.
Ringkasnya, Islamofobia merupakan perasaan takut atau fobia kepada agama Islam dan adalah penting bagi rakyat Malaysia, terutamanya Muslim, untuk mengambil tahu tentang isu Islamofobia yang berlaku di Malaysia.
Menurut laporan pertama mengenai Islamofobia yang dikeluarkan Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) untuk tempoh 2017-2020, media merupakan antara faktor terbesar menyumbang kepada Islamofobia di Malaysia.
Sebagaimana disebut Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari pada 7 November lalu dalam sidang Parlimen, media tempatan dipenuhi berita-berita dan komen-komen mengkritik dan menghina agama Islam.
Kita tahu Islamofobia di Malaysia tidak seteruk Islamofobia di negara lain di mana Muslim dibunuh, al-Quran dibakar dan masjid dirobohkan.
Tetapi jika kita tidak mencegah dari sekarang, yang akan menjadi mangsa bukan kita tetapi generasi Muslim akan datang.
Mungkin kita melihat islamofobia adalah perasan takut dengan Islam dalam kalangan bukan muslim.
Tetapi kita boleh lihat generasi muda Muslim sekarang ada yang malu dengan identiti Muslim sehingga tidak melaksanakan kewajipan sebagai seorang Muslim.
Bayangkan generasi muda Muslim ini hidup dalam kalangan bukan Muslim yang selalu mengkritik Islam, maka mereka sendiri juga takut untuk mengamalkan Islam.
Jadi fenomena Islamofobia ini telah masuk ke dalam kalangan Muslim sendiri.
Maka adalah penting untuk kita tahu dan sebarkan kefahaman tentang Islamofobia ini, terutamanya di peringkat antarabangsa.
Sebagai contoh Malaysia akan menjalani Penilaian Sejagat Berkala atau dikenali sebagai Universal Periodic Review (UPR) pusingan ke-4 pada Januari 2024.
Semua negara di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menjalani penilaian ini setiap empat ke lima tahun untuk menangani isu-isu berkaitan hak asasi manusia.
Sebagai Muslim kita mempunyai hak untuk beragama Islam dan bebas daripada sentimen Islamofobia.
Untuk tahun ini, Multiracial Reverted Muslims (MRM) bekerjasama dengan MACSA untuk menghantar laporan berkaitan isu Islamofobia kepada PBB.
Namun untuk negara anggota PBB sedar dengan situasi islamofobia di Malaysia dan seterusnya menggesa kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan, sebagai Muslim, kita perlu menyebarkan isu ini supaya negara anggota PBB dapat melihat isu Islamofobia adalah isu penting yang patut dibincangkan.
Golongan Islamofobia menggunakan media sebagai alat propaganda mereka, maka sebagai Muslim, kita juga boleh menggunakan media untuk memperjuangkan Islam.
Ingat apa yang kita laksanakan ini bukan untuk kita sahaja, tetapi untuk generasi Muslim akan datang. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.