Terkini
Gred tunggal beras putih perlu diwujudkan, elak manipulasi – Persatuan Pengilang
Gabungan Pengilang Beras Malaysia menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mewujudkan hanya satu gred tunggal beras putih tanpa perlu melabelnya sebagai Beras Putih Tempatan dan Beras Putih Import seperti yang terdapat dalam pasaran ketika ini.
- Gabungan Pengilang Beras Malaysia menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mewujudkan hanya satu gred tunggal beras putih tanpa perlu melabelnya sebagai Beras Putih Tempatan dan Beras Putih Import seperti yang terdapat dalam pasaran ketika ini.
- Pengerusinya, Marzukhi Othman berkata, langkah itu penting supaya sebarang manipulasi di peringkat pemborong dapat dicegah dan pengguna tidak tertipu dengan beras dibeli.
- “Jadi di sini, selagi mana wujudnya dua gred beras putih pada harga yang berbeza, ia tidak akan menyelesaikan masalah penyelewengan sekiranya berlaku lonjakan harga beras import pada masa hadapan.
- “Dengan adanya hanya gred tunggal beras putih, industri padi dan beras negara mampu menjadi lebih stabil dan harmoni,” katanya pada sidang media di sebuah kilang beras di Simpang Empat, di sini hari ini.
KANGAR: Gabungan Pengilang Beras Malaysia menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mewujudkan hanya satu gred tunggal beras putih tanpa perlu melabelnya sebagai Beras Putih Tempatan dan Beras Putih Import seperti yang terdapat dalam pasaran ketika ini.
Pengerusinya, Marzukhi Othman berkata, langkah itu penting supaya sebarang manipulasi di peringkat pemborong dapat dicegah dan pengguna tidak tertipu dengan beras yang dibeli.
“Kita sudah meletakkan satu tanda aras yang tidak sama (adil) bagi beras tempatan, di mana umum mengetahui bahawa beras putih tempatan adalah lebih berkualiti daripada beras import… namun di negara ini, ia diletakkan di kelas yang terbawah daripada beras lain.
“Dalam masa yang sama beras putih import terus mendapat nama walhal ia sebenarnya adalah beras yang dicampurkan dengan beras tempatan untuk menepati citarasa rakyat di negara ini.
“Situasi yang berlaku pada hari ini adalah pemborong memasukkan kandungan beras tempatan dengan beras import dan dinyatakan atau didakwanya sebagai beras import serta dijual dengan harga yang tidak dikawal dari RM40 sehingga RM48 dalam pasaran runcit,” dakwanya pada sidang media di sebuah kilang beras di Simpang Empat, di sini hari ini.
Katanya, dalam masa yang sama juga, pengilang pula disarankan untuk menjual beras pada harga kawalan iaitu RM2,250 bagi satu tan metrik.
“Ini adalah tidak adil kepada pihak kami sebagai pengilang yang melabur jutaan ringgit serta petani yang mengerjakan sawah bendang dan menghasilkan padi yang berkualiti namun tidak mendapat tempat yang seimbang dengan beras yang dijual di peringkat runcit.
“Jadi di sini, selagi mana wujudnya dua gred beras putih pada harga yang berbeza, ia tidak akan menyelesaikan masalah penyelewengan sekiranya berlaku lonjakan harga beras import pada masa hadapan.
“Kita jadikanlah ia sebagai satu pengajaran kepada kita di mana isu beras ini tidak pernah selesai selagi wujudnya ketirisan buat pemborong untuk manipulasi beras tempatan.
“Dengan adanya hanya gred tunggal beras putih, industri padi dan beras negara mampu menjadi lebih stabil dan harmoni,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu membolehkan pemain industri bermula daripada pesawah, pengilang, pemborong dan peruncit menguruskan tanggungjawab masing-masing dengan lebih terkawal dan terancang.
“Dari segi penetapan harga bagi beras putih gred tunggal ini, terpulanglah pada kerajaan untuk membuat ketetapan berkenaan.
“Selain daripada itu juga, kami menyambut baik hasrat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang mahu menyemak semula harga siling beras putih tempatan di mana kali terakhir ia dilakukan pada 2008 jadi diharapkan semakan itu dapat dibuat dengan segera,” katanya.
Terdahulu, beliau bersama sebahagian ahli gabungan yang lain yang terdiri daripada pengilang beras dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor turut menunjukkan perbezaan kualiti beras tempatan dengan beras import yang terdiri daripada beras dari Thailand, Myanmar dan India.
Menurutnya, jika dinilai butiran beras tempatan, ia jauh lebih baik daripada beras import malah jika dilihat beras India juga, butiran berasnya lebih kecil berbanding beras di negara ini.
Sumber: Astro Awani