Terkini
Tumpu pembangunan industri beras, jadikan Malaysia lebih berdikari – Johari Ghani
Kerajaan perlu menumpukan kepada pembangunan industri beras di negara ini supaya ia menjadi industri yang menguntungkan.
- Kerajaan perlu menumpukan kepada pembangunan industri beras di negara ini supaya ia menjadi industri yang menguntungkan selain mampu membuatkan negara menjadi lebih berdikari, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa).
- Bagi tujuan itu katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu mengambil langkah dalam menggalakkan bidang pengeluaran beras kerana ia satu-satunya industri yang membolehkan Malaysia kita tidak bergantung kepada negara lain.
- “Kita nak galakkan pesawah kita dan dia boleh mendapat keuntungan. Apabila syarikat besar tengok industri ini boleh menguntungkan, mereka akan sama-sama terbabit secara langsung untuk membangunkan industri beras ini.
- “Jika kita beri betul-betul tumpuan dan memastikan bekalan dan permintaan serta keuntungan atau jualan boleh mengatasi kos, saya percaya jika kita boleh buat dalam soal kelapa sawit, mengapa tidak boleh buat dalam soal beras,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menumpukan kepada pembangunan industri beras di negara ini supaya ia menjadi industri yang menguntungkan.
Malah, usaha berkenaan mampu membuatkan negara menjadi lebih berdikari, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa).
Bagi tujuan itu katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu mengambil langkah dalam menggalakkan bidang pengeluaran beras kerana ia satu-satunya industri yang membolehkan Malaysia kita tidak bergantung kepada negara lain.
“Kita nak galakkan pesawah kita dan dia boleh mendapat keuntungan. Apabila syarikat besar tengok industri ini boleh menguntungkan, mereka akan sama-sama terbabit secara langsung untuk membangunkan industri beras ini.
“Sebagai contoh di Vietnam, pada awal 1980 mereka mengimport beras seperti kita, tapi kini sudah jadi pengeksport ketiga terbesar dunia kerana ada unsur keuntungan kepada industri dan pesawah.
“Jika kita cerita ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, masalah bekalan beras ini akan terus berlanjutan dan keselamatan makanan bagi beras ini tidak akan boleh diatasi.
“Jika kita beri betul-betul tumpuan dan memastikan bekalan dan permintaan serta keuntungan atau jualan boleh mengatasi kos, saya percaya jika kita boleh buat dalam soal kelapa sawit, mengapa tidak boleh buat dalam soal beras,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan sesi penerangan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkenaan isu bekalan beras putih tempatan (BPT).
Dengan mengambil contoh industri kelapa sawit, Johari berkata, apabila ia dilihat mendatangkan keuntungan, syarikat besar turut terbabit dalam membangunkannya, sehingga Malaysia menjadi pengeksport kedua terbesar di dunia.
Dalam pada itu, Johari turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan subsidi bagi pembelian BPT untuk 3.2 juta isi rumah B40 jika harga beras itu dinaikkan bagi membantu golongan berkenaan.
“Kita nak kalau boleh dijual (dengan harga lebih tinggi dari harga siling), biar ia naik sebab ia menggalakkan petani untuk terus menanam padi kerana mereka tahu, ia boleh mendapatkan keuntungan yang banyak.
“Contohnya, jika kita tetapkan siling RM2.60 per kilogram (kg) atau RM26 bagi 10 kg, kita boleh benarkan ia dijual, katakan RM32, maka ada jurang RM6.
“Saya kira, untuk selesaikan masalah isi rumah B40 dalam jangka masa pendek ini, jika RM6 (bagi setiap 10 kg) dan (penggunaan) 20 kg, didarab dengan 12 bulan, dalam RM460 juta subsidi setahun (diperlukan) untuk 3.2 juta isi rumah.
“Apabila beras sudah dapat diimport semula, maka subsidi ini boleh ditarik balik secara perlahan-lahan,” ujarnya.
Mohamad ketika memberikan respons terhadap cadangan Johari menyifatkan, ia sebagai suatu perkara yang amat baik dan akan memaklumkannya kepada pihak Kementerian Kewangan esok (hari ini).
Katanya, cadangan itu diharap dapat dimasukkan ke dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
“Ini cadangan yang baik, yang membolehkan kita melihat kestabilan yang akan berlaku,” ujarnya.
Sumber: MalaysiaGazette