Antarabangsa
Pejuang Palestin di Lubnan sedia turun bertempur, bantu Hamas lawan rejim Israel
Penganalisis dan pejuang berpandangan beberapa gerakan Palestin di Lubnan bersedia untuk turun padang menyertai Hamas menentang Israel sekiranya Hezbollah mengetuai misi berkenaan.
- Penganalisis dan pejuang berpandangan beberapa gerakan Palestin di Lubnan bersedia untuk turun padang menyertai Hamas menentang Israel sekiranya Hezbollah mengetuai misi berkenaan.
- Lapor Al Jazeera, anggota parti Fatah di Burj al-Barajneh, Ahmed Habet berkata, situasi itu akan berlaku di mana sahaja apabila Israel bersiap sedia untuk pertempuran berkenaan.
- “Saya menyerahkan seluruh nyawa saya untuk tanah air (Palestin) dan saya hidup untuk masa kini bukan masa depan,” kata Ahmed Habet.
- Pertempuran antara Israel dan Hezbollah disokong oleh gerakan Palestin, merupakan potensi senario yang boleh mengheret Lubnan dan wilayah itu ke dalam konflik dahsyat.
BEIRUT: Penganalisis dan pejuang berpandangan beberapa gerakan Palestin di Lubnan bersedia untuk turun padang menyertai Hamas menentang Israel sekiranya Hezbollah mengetuai misi berkenaan.
Lapor Al Jazeera, anggota parti Fatah di Burj al-Barajneh, Ahmed Habet berkata, situasi itu akan berlaku di mana sahaja apabila Israel bersiap sedia untuk pertempuran berkenaan.
“Saya menyerahkan seluruh nyawa saya untuk tanah air (Palestin) dan saya hidup untuk masa kini bukan masa depan,” katanya.
Pertempuran antara Israel dan Hezbollah disokong oleh gerakan Palestin, merupakan potensi senario yang boleh mengheret Lubnan dan wilayah itu ke dalam konflik dahsyat.
Sejak Sabtu lalu, lebih 700 penduduk Israel dan 500 penduduk Palestin terbunuh berikutan serangan mengejut Hamas dari Semenanjung Gaza.
Semenanjung Gaza yang mempunyai hampir dua juta penduduk dikepung oleh Israel selama 16 tahun.
Malah, beberapa kumpulan hak asasi manusia menyifatkan rejim Zionis sudah pun menjadikan Gaza seperti `penjara terbuka terbesar di dunia’.
Kelmarin, Israel mengumumkan `sekatan menyeluruh’ terhadap Gaza dengan memutuskan bekalan elektrik, air dan makanan dalam tindakan hukuman kolektif yang dikatakan melanggar undang-undang antarabangsa.
Berbeza dengan pejuang di Gaza, beberapa gerakan Palestin di Lubnan seperti Hamas, Fatah dan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP) tidak dapat melancarkan serangan terhadap Israel secara tersendiri.
Hezbollah pula melancarkan serangan mortar dari Lubnan ke arah Ladang Shebaa pada Ahad lalu.
Israel bertindak balas melancarkan serangan artileri ketika pasukan tenteranya terus bertempur dengan pejuang Hamas di selatan wilayah sambil membedil Semenanjung Gaza.
Menurut beberapa penganalisis, kedua-dua pihak mungkin tidak dapat mengelak ketegangan yang besar.
Malah, jelas mereka, pergolakan lebih besar boleh berlaku bergantung pada langkah seterusnya diambil oleh Israel terhadap Semenajung Gaza.
“Konflik dalam skala itu lebih berkemungkinan berlaku sekiranya Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dapat membentuk kerajaan perpaduan.
“Netanyahu perlu berasa selamat dari segi politik untuk terlibat dalam semua aspek,” kata felo kanan badan pemikir Carnegie Middle East Center, Mohanad Hage Ali.
TINGKAT KETEGANGAN
Dalam pada itu, pegawai kumpulan Hamas di Lubnan, Ahmed Abed berkata, Hezbollah mungkin akan melancarkan serangan langsung sekiranya Israel meningkatkan operasinya di Semenanjung Gaza.
“Hezbollah memutuskan bahawa gerakan itu akan terlibat dengan Israel sekiranya mendapati tindak balas terhadap Gaza keterlaluan.
“Kumpulan itu memaklumkan ketika ini mereka sedang bekerjasama dengan kepimpinan Hamas di Palestin dan akan campur tangan pada masa yang sesuai jika perlu,” katanya.
Sementara itu, pakar di Majlis Atlantik, Nicholas Blanford tidak menolak kemungkinan bahawa Hezbollah mampu melancarkan serangan menggunakan teknologi canggih sekiranya gerakan itu memilih untuk melakukan demikian.
“Operasi Hamas jauh lebih besar daripada mana-mana operasi tunggal dijalankan Hezbollah terhadap Israel meskipun taktik diguna pakai adalah dari buku panduan gerakan itu.
“Hezbollah sudah lama berlatih untuk misi pertempuran sempadan seperti ini sejak tahun 2007,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia