Antarabangsa
112 nyawa terkorban akibat serangan dron di akademi tentera Syria
Serangan ke atas akademi tentera Syria semalam mengorbankan lebih 110 orang, kata pemantau perang dengan media kerajaan menyalahkan ‘organisasi pengganas’ untuk serangan dron di Homs yang dikuasai kerajaan.
- Serangan ke atas akademi tentera Syria semalam mengorbankan lebih 110 orang, kata pemantau perang dengan media kerajaan menyalahkan ‘organisasi pengganas’ untuk serangan dron di Homs yang dikuasai kerajaan.
- Dalam kejadian berasingan, serangan udara Turkiye di timur laut dikuasai Kurdish mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang, menurut tentera Kurdish, selepas Ankara mengancam membalas serangan bom.
- Di pusat bandar Homs, ‘organisasi pengganas bersenjata’ menyasarkan majlis tamat pengajian untuk pegawai akademi tentera, menurut agensi berita rasmi Syrian Arab News Agency (SANA) yang memetik kenyataan tentera.
- Syrian Observatory for Human Rights, pemantau yang berpangkalan di Britain, melaporkan 112 maut termasuk 21 orang awam, 11 daripadanya wanita dan kanak-kanak perempuan. Ia berkata sekurang-kurangnya 120 orang cedera.
BEIRUT: Serangan ke atas akademi tentera Syria semalam mengorbankan lebih 110 orang, kata pemantau perang dengan media kerajaan menyalahkan ‘organisasi pengganas’ untuk serangan dron di Homs yang dikuasai kerajaan.
Dalam kejadian berasingan, serangan udara Turkiye di timur laut dikuasai Kurdish mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang, menurut tentera Kurdish, selepas Ankara mengancam membalas serangan bom.
Di pusat bandar Homs, ‘organisasi pengganas bersenjata’ menyasarkan majlis tamat pengajian untuk pegawai akademi tentera, menurut agensi berita rasmi Syrian Arab News Agency (SANA) yang memetik kenyataan tentera.
Syrian Observatory for Human Rights, pemantau yang berpangkalan di Britain, melaporkan 112 maut termasuk 21 orang awam, 11 daripadanya wanita dan kanak-kanak perempuan. Ia berkata sekurang-kurangnya 120 orang cedera.
Pada awalnya Menteri Kesihatan, Hassan al-Ghobash memberitahu stesen televisyen negara, jumlah korban membabitkan 80 nyawa termasuk enam wanita dan enam kanak-kanak serta kira-kira 240 cedera.
Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
Serangan itu dilakukan dengan dron sarat bahan letupan, menurut tentera dalam kenyataan dan berikrar untuk bertindak balas dengan kekuatan penuh.
Kerajaan mengisytiharkan tiga hari berkabung mulai hari ini.
Di wilayah Idlib yang dikuasai pemberontak, penduduk melaporkan pengeboman hebat oleh tentera kerajaan sebagai tindak balas.
Menurut pemantau perang, lapan orang terbunuh dan kira-kira 30 cedera.
Wilayah Idlib dikuasai oleh Hayat Tahrir al-Sham, diketuai bekas pemimpin Al-Qaeda cawangan Syria. Kumpulan itu menggunakan dron untuk menyerang kawasan dikuasai kerajaan pada masa lalu.
Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres sangat bimbang mengenai serangan dron itu, kata jurucakapnya Stephane Dujarric.
Beliau juga amat bimbang mengenai laporan serangan balas di barat laut Syria, tambah Dujarric.
Serangan balas Syria mengorbankan seorang wanita tua dan empat anaknya di kawasan yang dikuasai pemberontak di wilayah Aleppo, kata pekerja penyelamat dan pemantau.
Menurut laporan media Turkiye lewat petang semalam, unit agensi perisikan MIT Ankara melancarkan serangan baharu ke atas sasaran di timur laut yang dikuasai Kurdish Syria, termasuk bangunan digunakan oleh tentera Kurdish dan depot senjata.
Pasukan keselamatan dalaman Kurdish berkata Turkiye melakukan 21 serangan di kawasan itu, membunuh 11 orang, termasuk lima orang awam dan enam anggota keselamatan.
Jurucakap Pentagon, Pat Ryder memberitahu wartawan bahawa pesawat pejuang F-16 AS di ruang udara Syria menembak jatuh dron Turkiye semalam, menganggap ia berpotensi ancaman selepas menghampiri kurang setengah kilometer dari kem tentera AS, berhampiran Hasakeh.
Turkiye melakukan serangan berulang kali ke atas sasaran di timur laut yang dikuasai Kurdish Syria.
Pada Rabu, Ankara memberi amaran ia akan meningkatkan serangan udara rentas sempadannya, selepas membuat kesimpulan militan yang melancarkan serangan hujung minggu di ibu negara Turkiye itu datang dari Syria.
Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang disokong Amerika Syarikat (AS) mengetuai pertempuran yang mengusir pejuang kumpulan Negara Islam dari wilayah terakhir mereka di Syria pada 2019.
Turkiye menganggap Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) yang menguasai SDF sebagai cabang Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Ankara dan sekutu Baratnya.
Turkiye melancarkan serangan ke atas kedudukan PKK di utara Iraq sejak serangan Ahad di Ankara, yang mencederakan dua pegawai keselamatan Turkiye dan dituntut oleh kumpulan Kurdish.
Sumber: Berita Harian