Kolumnis
Tidak disantuni Muslim punca Islamofobia?
WAJIB bagi umat Islam sama ada yang dilahirkan Islam atau telah lama memeluk agama itu untuk membimbing saudara baharu atau mualaf dalam menangani isu Islamofobia yang menebal di Malaysia, sesuai dengan kadar pemahaman dan kemampuan mereka.

WAJIB bagi umat Islam sama ada yang dilahirkan Islam atau telah lama memeluk agama itu untuk membimbing saudara baharu atau mualaf dalam menangani isu Islamofobia yang menebal di Malaysia, sesuai dengan kadar pemahaman dan kemampuan mereka.
ISLAMOFOBIA atau ‘Islamophobia’ dalam bahasa Inggerisnya merujuk kepada kebencian atau kebimbangan sesuatu pihak atau kumpulan, khususnya bukan Muslim, terhadap Islam, penganutnya atau budayanya.
Kebiasaannya sikap atau perbuatan diskriminasi ini dikesan di negara-negara Barat, terutamanya mereka yang kurang maklumat atau kurang berinteraksi dengan masyarakat Muslim.
Namun, untuk mengatakan ia telah lama menerobos dan meresap masuk ke tanah air kita merupakan sesuatu yang tidak patut berlaku.
Ini kerana Malaysia yang berbilang kaum dan agama dengan budaya dan warisan nilainya zaman berzaman serta penuh dengan sejarahnya yang toleran yang diamalkan oleh majoriti masyarakat Melayu Islam. Di samping majoriti rakyatnya terbuka, malah berbaik sangka.
Namun Islamofobia hari ini berjaya bertapak di Malaysia, malah menjadi isu besar dalam negara. Jadi, apakah puncanya?
Hasil kajian Dr Osman Chuah pada 2002 bertajuk “Preaching to the Non Muslim Chinese in Malaysia” mendapati bahawa 90 peratus dari 100 bukan Muslim yang disoal selidik memaklumkan mereka tidak pernah disantuni oleh mana-mana Muslim untuk menceritakan tentang agama Islam.
Apabila golongan bukan Muslim mempunyai persoalan tentang Islam, mereka langsung diminta oleh kawan-kawannya untuk merujuk kepada yang arif dalam bab agama seperti ustaz dan ustazah.
Tidak dinafikan idea itu bagus tetapi permasalahannya ia kurang praktikal kerana keberadaan kebanyakan ustaz dan ustazah adalah di kawasan yang tidak mesra masyarakat bukan Muslim, iaitu masjid dan surau.
Ustaz dan ustazah pula tidak begitu aktif atau tiada langsung akaun sosial media sekiranya golongan ini ingin bertanya.
Maka, sumber yang mereka jadikan rujukan adalah internet. Sebuah platform yang penuh dengan laman sesawang anti Islam.
Akhirnya tiada yang kita bekalkan untuk mereka rujuk dan bertanya melainkan mereka membuat andaian atau spekulasi sendiri mengenai agama Islam.
Ini telah menyebabkan masyarakat bukan Muslim hidup dengan penuh 1001 persoalan tentang agama Islam.
Tambahan lagi, kelemahan segelintir masyarakat Islam sendiri yang menzahirkan perbuatan bertentangan dengan ajaran sebenar Islam, lantas ia dimainkan oleh portal berita arus perdana dan beberapa individu yang punya kepentingan, bimbang pada Islam atau survival politik mereka.
Mereka inilah yang menjaja dan mengimport fahaman Islamofobia ke tanah air supaya bukan hanya masyarakat bukan-Islam, Cina, India, Kadazan, Iban, Murut dan lain-lain takut pada Islam, sehingga membuatkan masyarakat Bukan Muslim faham bahawa kejelekan itu adalah ajaran agama Islam.
Terdapat satu kes yang pernah pihak Multiracial Reverted Muslims (MRM) kendalikan di mana seorang wanita yang memeluk Islam dan kemudiannya berkahwin dengan lelaki Melayu, tidak dibenarkan suami untuk pulang berjumpa keluarga asal sebaik sahaja bernikah sehingga ibu bapa mereka meninggal dunia.
Perihal ini bertentangan dengan ajaran agama Islam. Kes-kes sedemikian yang menyebabkan ramai masyarakat bukan Islam cukup takut anak-anak mereka memeluk Islam kerana risau kehilangan anak.
Selain itu, kurangnya perkongsian Islam kepada masyarakat bukan Muslim menyebabkan kebanyakan keluarga bukan Islam yang tidak dapat menerima pengislaman ahli keluarga mereka dengan hati terbuka lantaran daripada kesalahfahaman bahawa mereka yang memeluk Islam tidak dibenarkan tinggal dengan keluarga asal atas sebab permasalahan fekah seperti makanan tidak halal, perayaan serta budaya dan sebagainya.
Bagi mereka yang telah lama memeluk agama Islam pasti faham perasaan menjalani kehidupan sebagai saudara baharu bukanlah perkara mudah, tidak seperti mereka yang dilahirkan dan dibesarkan sebagai seorang beragama Islam.
Segala ancaman, tekanan dan ugutan yang diterima asbab kesan dari Islamofobia mengakibatkan sebahagian kecil orang yang memeluk agama Islam ini menyembunyikan pengislaman mereka kerana khuatir identiti mereka diketahui dan yang paling menyedihkan mereka perlu melalui fasa ini berseorangan.
Walaupun ramai dalam kalangan mereka memeluk agama Islam secara terbuka dan lebih berani pergi ke Jabatan Agama Islam atau mana-mana Pusat Pendaftaran Pengislaman seperti MRM bagi mengisytiharkan keislaman mereka dan untuk mengubah status agama di dalam rekod pendaftaran mereka, namun ini tidak menidakkan mereka akan terlepas dari terkena kesan-kesan Islamofobia yang berlaku di Malaysia.
Satu lagi kajian Dr Osman Chuah pada 1997 bertajuk “Interaction and Integration of Chinese Muslims with their Malay Counterparts in Selangor” menjelaskan beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi komuniti Cina Muslim selepas memeluk Islam, antaranya berkaitan stereotaip tidak sihat dalam keluarga bukan Muslim terhadap mereka yang menganut agama Islam.
Orang Cina yang menganut agama Islam akan dianggap sebagai pengkhianat bangsa, mereka digelar sebagai masuk Melayu (Jip Huan). Malah sehingga kini, stereotaip itu masih berlegar di komuniti Cina bukan Muslim.
Antara yang boleh kita dilakukan untuk menangani perkara ini adalah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam firman-NYA,
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” [Al Qur’an 3:110]
Imam Asy Syaukani menjelaskan tafsir ayat ini dalam Tafsir Fathul Qadir bahawa kita umat muslim akan menjadi umat yang terbaik apabila kita menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan mencegah dari segala perkara yang salah dan beriman kepada Allah s.w.t.
Perkara yang paling terbaik di sisi Allah untuk kita seru kepada orang adalah menyeru bukan Muslim dan Muslim kepada Allah s.w.t. Jumpa mereka dan buat dakwah kepada mereka. Perkenalkan mereka tentang Allah dan mengajak mereka untuk beriman kepada Allah s.w.t sepertimana firmanNYA:
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” [Al Qur’an 41:33]
Manakala perkara yang paling buruk disisi Allah adalah mensyirikkanNYA, firmanNYA,
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya).
Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar. [Al Qur’an 4:48]
Menyeru kepada Allah dan mencegah mereka dari melakukan syirik kepadaNYA, menyeru orang Islam untuk berakhlak mulia dan mencegah dari melakukan perbuatan keji adalah antara perkara yang paling kecil kita buat untuk membantu saudara baharu kita dalam menghadapi isu Islamofobia.
Selain itu, hubungkan mereka dengan kumpulan atau pertubuhan saudara baharu seperti MRM secara fizikal mahupun di media sosial dan laman sesawang bagi membantu sedikit sebanyak saudara baharu kita untuk melalui fasa ini.
Alangkah bahagianya jika semua Muslim memahami serta berusaha bersama-sama membanteras isu ini. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
