Terkini
Kilang beras import dan tempatan perlu diasingkan elak penyelewengan – CAKE
Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) mencadangkan supaya pengilang tidak menempatkan beras import dan tempatan dalam satu gudang untuk mengelakkan penyelewengan seperti tukar label beras.
- Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) mencadangkan supaya pengilang tidak menempatkan beras import dan tempatan dalam satu gudang untuk mengelakkan penyelewengan seperti tukar label beras.
- Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata penguatkuasaan juga perlu dijalankan terhadap pengilang dan pemborong yang dikhuatiri terlibat penipuan menukar label beras atau mencampur kedua-dua jenis beras terbabit untuk dijual kepada pengguna dengan label beras import.
- “Kita mencadangkan diadakan solusi jangka pendek selain buat penguatkuasaan, kita harap untuk mengelak penyelewengan, memudahkan penguatkuasaan dijalankan.. kilang-kilang yang ada AP (lesen import) dua beras diasingkan dengan beras-beras yang membeli beras tempatan.
- “Kalau dia duduk dalam satu gudang memanglah susah nak buat penguatkuasaan, kita harap kilang beras import satu gudang/kilang dan beras tempatan satu gudang supaya pihak penguatkuasaan senang memantau,” katanya menerusi klip video dimuat naik di Facebook semalam.
KUALA LUMPUR — Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) mencadangkan supaya pengilang tidak menempatkan beras import dan tempatan dalam satu gudang untuk mengelakkan penyelewengan seperti tukar label beras.
Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata penguatkuasaan juga perlu dijalankan terhadap pengilang dan pemborong yang dikhuatiri terlibat penipuan menukar label beras atau mencampur kedua-dua jenis beras terbabit untuk dijual kepada pengguna dengan label beras import.
Katanya, kegiatan itu dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk meraih keuntungan berlebihan.
“Kita mencadangkan diadakan solusi jangka pendek selain buat penguatkuasaan, kita harap untuk mengelak penyelewengan, memudahkan penguatkuasaan dijalankan.. kilang-kilang yang ada AP (lesen import) dua beras diasingkan dengan beras-beras yang membeli beras tempatan.
“Kalau dia duduk dalam satu gudang memanglah susah nak buat penguatkuasaan, kita harap kilang beras import satu gudang/kilang dan beras tempatan satu gudang supaya pihak penguatkuasaan senang memantau.
“Kita faham pihak penguatkuasaan pernah memberitahu kita mereka mempunyai kaki tangan yang tidak mencukupi untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan.. kalau kata kita membiarkan beras import dan tempatan dalam satu gudang memudahkan pihak tidak bertanggungjawab untuk menukar ‘baju’,” katanya menerusi klip video dimuat naik di Facebook semalam.
Yusrizal turut mencadangkan bungkusan beras import yang diterima Malaysia daripada negara pengeluar tidak melalui proses pembungkusan semula untuk mengelakkan berlaku penyelewengan.
Beliau juga menegaskan sudah tiba masa untuk kerajaan memecahkan monopoli atau kartel yang berlaku dalam industri padi dan beras agar peniaga lain turut berpeluang bersaing dalam industri berkenaan.
Sebelum ini, tinjauan The Merdeka Times di Sekinchan mendapati antara punca beras Super Special Tempatan (SST) susut di pasaran adalah disebabkan pengilang didakwa mencampurkan beras tempatan dengan beras import.
Selain itu, pesawah juga tidak dapat membekalkan padi mencukupi kepada pengilang kerana berdepan kemerosotan tuaian, selain pengeluaran padi di kawasan itu dijadikan padi benih dan keadaan tanah tidak subur, faktor cuaca serta penggunaan teknologi ketinggalan berbanding negara pengeluar padi lain.
Tinjauan turut dibuat di kedai runcit dan pasar raya di ibu negara di mana majoriti daripada mereka mengalami kekurangan dan kehabisan stok bekalan beras SST sejak tiga hingga enam bulan lalu. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Persatuan Pengguna Kedah