Terkini
ABIM nafi sokong lima hadis dikeluarkan, Firdaus Wong bidas Arun Dorasamy campur urusan Islam
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menafikan pihaknya menyokong pengeluaran lima hadis daripada modul hadis 40 Imam Nawawi seperti didakwa Pengerusi Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy.

- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menafikan pihaknya menyokong pengeluaran lima hadis daripada modul hadis 40 Imam Nawawi seperti didakwa Pengerusi Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy.
- Pendirian ABIM itu dimaklumkan kepada Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung yang menghubungi presiden persatuan itu, Muhammad Faisal Abdul Aziz melalui platform WhatsApp bagi mendapatkan pengesahan dakwaan Arun.
- “Tuan Muhammad Faisal menafikan dakwaan Arun Dorasamy kononnya ABIM bersetuju dan perkara itu tidak dibincangkan pun di dalam pertemuan dengan NGO. Malahan ABIM menyokong usaha KPM untuk melaksanakan penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi kepada pelajar Muslim,” kata Firdaus Wong dalam hantaran di akaun Facebooknya hari ini.
- Arun mendakwa ABIM turut menyokong lima hadis terbabit dikeluarkan daripada Modul Hadis 40 Imam Nawawi oleh Kementerian Pendidikan dalam ruangan komen postingnya semalam mengenai isu itu yang mula mendapat perhatian media hari ini.
- Muhammad Faisal berkata tiada perbincangan dibuat bagi mengeluarkan mahupun membuang lima hadis terbabit daripada modul asal hadis 40 itu, malah Perdana Menteri sendiri meminta agar 40 hadis dimasukkan ke dalam silibus modul.
- Firdaus Wong menyifatkan dakwaan Arun berhubung isu modul hadis itu sebagai cubaan menggugat perpaduan dan mencampuri urusan agama Islam.
KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menafikan pihaknya menyokong pengeluaran lima hadis daripada modul hadis 40 Imam Nawawi seperti didakwa Pengerusi Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy.
Pendirian ABIM itu dimaklumkan kepada Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung yang menghubungi presiden persatuan itu, Muhammad Faisal Abdul Aziz melalui platform WhatsApp bagi mendapatkan pengesahan dakwaan Arun.
“Tuan Muhammad Faisal menafikan dakwaan Arun Dorasamy kononnya ABIM bersetuju dan perkara itu tidak dibincangkan pun di dalam pertemuan dengan NGO. Malahan ABIM menyokong usaha KPM untuk melaksanakan penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi kepada pelajar Muslim,” kata Firdaus Wong dalam hantaran di akaun Facebooknya hari ini.
Arun mendakwa ABIM turut menyokong lima hadis terbabit dikeluarkan daripada Modul Hadis 40 Imam Nawawi oleh Kementerian Pendidikan dalam ruangan komen postingnya semalam mengenai isu itu yang mula mendapat perhatian media hari ini.
Muhammad Faisal berkata tiada perbincangan dibuat bagi mengeluarkan mahupun membuang lima hadis terbabit daripada modul asal hadis 40 itu, malah Perdana Menteri sendiri meminta agar 40 hadis ini dimasukkan ke dalam silibus modul.
“Perkara ini tidak dibincangkan pun dalam pertemuan dengan NGO. Kami hanya sekadar dimaklumkan oleh KPM tentang pembelajaran 35 hadis untuk diutamakan dahulu.
“Ini termasuk berkaitan hadis ke-8 yang ada kebimbangan pelajar salah faham dan ambil secara literal.
“Tapi yang terkini saya dimaklumkan selepas perjumpaan kabinet, Perdana Menteri (PM) minta masukkan semua 40 hadis. Di sini PM minta JAKIM bantu sama untuk pastikan syarahannya murni bagi mengelakkan salah faham khususnya konteks dan tafsiran sesuatu hadis,” kata Muhammad Faisal dalam hantaran mesej kepada Firdaus Wong.
Beliau berkata perkara asas dibincangkan dalam pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempoh hari adalah fokus jaminan hadis 40 itu akan diajar kepada pelajar Muslim sahaja.
Dengan penafian ABIM itu, dakwaan Arun diselar Firdaus Wong yang menyifatkan ia sebagai cubaan menggugat perpaduan dan mencampuri urusan agama Islam.
“Arun Dorasamy, anda memang suka buat ‘claims’ semberono ke seperti sesetengah pihak suka pacak merata kemudian ‘claim’ benda itu dah ada si situ selama 100 tahun ke? Anda ingat saya akan percaya terus apa anda tulis dan tidak selidik?
“Apakah Arun dan sekutunya suka kalau kami Muslim masuk campur dalam urusan agama kamu? No worry, kami Muslim tidak akan sesekali masuk campur urusan agama kamu bukan kerana risau kalian bising tetapi kerana kami ikut ajaran agama Islam,” kata Firdaus.
Terdahulu, dalam hantaran video di akaun TikToknya, Firdaus Wong enggan mengulas dakwaan Arun bahawa KPM telah mengeluarkan lima hadis kerana dikatakan tidak selari dengan aspirasi perpaduan sebelum diselidiki kebenarannya.
“Saya tidak akan ulas sama ada sahih ataupun tidak, kita akan tunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Pendidikan sama ada benar ataupun tidak dakwaan individu yang bernama Arun Dorasamy.
“Saya berpegang kepada firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, 49: 6 yang menyebut “Wahai orang-orang yang beriman, apabila ada orang fasik ini membawakan satu berita, maka selidiklah,” katanya.
Firdaus Wong turut bercadang untuk memberikan buku hadis 40 itu secara percuma kepada pihak yang masih tidak mengetahui konteks hadis 40 terbabit.
“Saya tidak pasti anda pernah membaca hadis 40 ini ataupun tidak tetapi di sini saya ada satu tawaran untuk anda. Tawarannya adalah iaitu kami di Multiracial Reverted Muslims (MRM) bersedia menawarkan secara percuma hadis 40 dalam bahasa yang anda minat. Mungkin dalam bahasa Cina mungkin dalam bahasa Melayu mungkin dalam bahasa Inggeris. Maka, kami akan hadiahkan kepada anda,” katanya. – The Merdeka Times.
Sumber: Facebook
