Terkini
2,959 kes dera kanak-kanak dalam tempoh lima bulan
Dalam tempoh Januari hingga Mei lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengendalikan 2,959 kes yang membabitkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak iaitu penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian.
- Dalam tempoh Januari hingga Mei lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengendalikan 2,959 kes yang membabitkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak iaitu penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian.
- Daripada jumlah itu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, sebanyak 326 kes direkodkan di Kuala Lumpur.
- Katanya, Kuala Lumpur adalah negeri ketiga kes tertinggi selepas Selangor dan Sabah.
- “Kita mahu kanak-kanak tahu hak mereka, pada masa sama, ibu bapa dan orang dewasa di sekeliling mereka sedar akan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan terhadap kanak,” katanya.
KUALA LUMPUR: Dalam tempoh Januari hingga Mei lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengendalikan 2,959 kes yang membabitkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak iaitu penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian.
Daripada jumlah itu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, sebanyak 326 kes direkodkan di Kuala Lumpur.
Katanya, Kuala Lumpur adalah negeri ketiga kes tertinggi selepas Selangor dan Sabah.
“Kita mahu kanak-kanak tahu hak mereka, pada masa sama, ibu bapa dan orang dewasa di sekeliling mereka sedar akan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan terhadap kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak, Kasih Kanak-Kanak Kuala Lumpur di Sekolah Kebangsaan Seri Tasik, Bandar Sri Permaisuri, di sini hari ini.
Katanya, program berkenaan adalah salah satu inisiatif KPWKM dalam melaksanakan advokasi kepada kanak-kanak akan hak mereka untuk dilindungi.
Jelasnya, perlindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab semua dan juga masyarakat setempat khususnya guru-guru, kaunselor, persatuan ibu bapa guru (PIBG) serta komuniti.
“Hal ini kerana kita semua memainkan peranan yang penting dalam melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian.
“Masyarakat umum perlu tahu apa tindakan yang perlu diambil sekiranya kanak-kanak terdedah atau terlibat dalam kes penderaan dan pengabaian,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nancy memberitahu, kementerian dalam proses semakan undang-undang berkaitan Akta Kanak-Kanak 2001 untuk dibentangkan ke Parlimen pada masa akan datang.
Jelasnya, antara perkara diperincikan dalam proses semakan itu adalah membabitkan hukuman terhadap kes gangguan seksual.
“Hukuman terhadap gangguan seksual sebelum ini dikatakan terlalu ringan, maka disebabkan itu ia tidak menakutkan kepada pelakunya.
“Disebabkan itu, kementerian berbincang dari sudut hukuman terhadap gangguan seksual dimasukkan dalam proses semakan berkenaan, bagaimanapun perkara itu belum selesai setakat ini,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia