Connect with us

Antarabangsa

Trump dakwa kes terhadapnya bermotifkan politik

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam, menyelar pendakwaan mahkamah terhadapnya sebagai usaha mengancam kempennya untuk pemilihan semula sebagai presiden.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Trump dakwa kes terhadapnya bermotifkan politik
Foto: Gambar Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
  • Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam, menyelar pendakwaan mahkamah terhadapnya sebagai usaha mengancam kempennya untuk pemilihan semula sebagai presiden.
  • Bercakap di New Hampshire beberapa hari selepas pendakwaan kali ketiga dalam tempoh empat bulan, Trump menyindir pegawai yang menyiasat dakwaan terhadapnya sebagai ‘gila’.
  • Antara lain, Trump dikaitkan dalam kes secara haram menyimpan rahsia keselamatan negara, memalsukan rekod perniagaan dan cuba mengubah keputusan pemilihan presiden secara rasuah selain mempengaruhi penyokongnya supaya merusuh.
  • Namun, jutawan berusia 77 tahun itu, yang masih selesa mendahului sebagai calon pilihan utama presiden AS bagi parti Republikan.

WINDHAM – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam, menyelar pendakwaan mahkamah terhadapnya sebagai usaha mengancam kempennya untuk pemilihan semula sebagai presiden.

Selain itu, beliau mendakwa jadual kehadiran perbicaraan di mahkamah akan menghalangnya berkempen bagi sebahagian besar tahun depan.

Bercakap di New Hampshire beberapa hari selepas pendakwaan kali ketiga dalam tempoh empat bulan, Trump menyindir pegawai yang menyiasat dakwaan terhadapnya sebagai ‘gila’.

Antara lain, Trump dikaitkan dalam kes secara haram menyimpan rahsia keselamatan negara, memalsukan rekod perniagaan dan cuba mengubah keputusan pemilihan presiden secara rasuah selain mempengaruhi penyokongnya supaya merusuh.

Namun, jutawan berusia 77 tahun itu, yang masih selesa mendahului sebagai calon pilihan utama presiden AS bagi parti Republikan.

Beliau juga tanpa sebarang asas, menuduh Presiden AS sekarang, Joe Biden, sengaja mengarahkan siasatan terhadapnya bagi menjejaskan peluangnya kembali menjadi Presiden AS.

“Jika tidak, kenapa lawan politik saya, Biden, yang juga dibelenggu rasuah, mengarahkan saya dibicarakan ketika kempen pemilihan yang ternyata saya jauh mendahului, sedang berlangsung.

“Biden memaksa saya menghabiskan masa dan wang untuk melawan tuduhan serta dakwaan palsu, sekali gus menghalang saya berkempen.

“Inilah yang mereka lakukan, saya minta maaf kerana tidak dapat berkempen di Iowa dan New Hampshire, sebaliknya terpaksa hadir di mahkamah bagi hadapi tuduhan mengarut,” katanya pada perhimpunan di Windham, salah satu bandar penyokong tegar Republikan.

Walaupun jurangnya semakin dekat, Trump sebenarnya hanya mengalahkan Biden dalam dua daripada 14 tinjauan pendapat utama yang dikumpulkan RealClearPolitics.

Biden memenangi lapan tinjauan pendapat agensi yang berpengaruh itu sejak Jun dan keputusan empat yang lain adalah seri.

Trump didakwa dua kali pada Selasa minggu lalu atas tuduhan cuba menukar keputusan pilihan raya, yang berakhir dengan rusuhan 6 Januari 2021 di bangunan Capitol AS, turut dikaitkan dengan kematian empat penyokongnya.

Kes itu adalah yang paling serius daripada empat siasatan jenayah yang menyaksikan puluhan pertuduhan jenayah, termasuk dakwaan Trump membayar bintang lucah untuk menutup kes dan dakwaan beliau membahayakan keselamatan negara dengan menyimpan dokumen sulit di kelabnya di Florida.

Setakat ini, beliau berdepan perbicaraan jenayah bermula Mac dan Mei tahun depan, waktu kemuncak kempen pilihan raya Presiden AS.

Tarikh perbicaraan akan ditetapkan beberapa hari lagi dalam kes campur tangan pilihan raya dan Trump menjangkakan pertuduhan lanjut minggu depan atas dakwaan konspirasi sama tetapi tertumpu pada negeri Georgia.

“Saya sepatutnya mempunyai empat (dakwaan) pada minggu depan,” katanya kepada orang ramai di Windham, menunjukkan popularitinya dalam kalangan Republikan meningkat sejak kes jenayah mula bertimbun.

Trump juga sedang melawan tuntutan mahkamah difailkan seorang penulis yang sebelum ini memenangi kes penderaan seks terhadapnya.

Beliau juga disaman sebanyak AS$250 juta (RM1.14 bilion) oleh kerajaan negeri New York atas dakwaan penipuan perniagaan dengan perbicaraan itu akan bermula Oktober. –

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *