Terkini
Tiada keperluan wujud makmal khas analisa kotak hitam di Malaysia
Tiada keperluan untuk mewujudkan satu makmal khas di Malaysia untuk menganalisa kotak hitam kerana kemalangan udara tidak kerap berlaku di negara ini.

- Tiada keperluan mewujudkan satu makmal khas di Malaysia untuk menganalisa kotak hitam kerana kemalangan udara tidak kerap berlaku di negara ini.
- Pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata, ini kerana kos penyelenggaraan sebuah makmal khusus yang jarang digunakan adalah tinggi.
- “Adalah lebih baik sekiranya ia dihantar di mana lokasi syarikat pengeluar kotak hitam terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kuala Lumpur: Tiada keperluan untuk mewujudkan satu makmal khas di Malaysia untuk menganalisa kotak hitam kerana kemalangan udara tidak kerap berlaku di negara ini.
Pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata, ini kerana kos penyelenggaraan sebuah makmal khusus yang jarang digunakan adalah tinggi.
“Di Eropah pun, bukannya semua negara mempunyai kepakaran berkenaan.
“Penghantaran (kotak hitam) boleh dibuat dengan pantas kerana terdapat banyak penerbangan komersial.
“Adalah lebih baik sekiranya ia dihantar di mana lokasi syarikat pengeluar kotak hitam terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu, akan dihantar ke Florida, Amerika Syarikat (AS), secepat mungkin.
Ia selepas makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura gagal mengekstrak semula data dari CVR berkenaan kerana isu teknikal.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan CVR bersama komponen ‘memory puck’ yang mengandungi data rakaman suara dalam pesawat terbabit sudah dihantar ke makmal di Singapura untuk mendapatkan rakaman suara 30 minit terakhir dalam kokpit pesawat itu.
Katanya, ia selepas Malaysia berdepan kesukaran mendapatkan data CVR pesawat itu kerana disahkan hangus terbakar.
Dalam kejadian nahas itu Khamis minggu lalu, 10 mangsa disahkan maut termasuk Exco Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Pesawat ringan itu berlepas dari Langkawi menuju Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat jam 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum mendarat.
Sumber: Harian Metro
