Antarabangsa
Sistem multilateral keamanan atasi kelaparan perlu diperbaharui – PBB
Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pembaharuan sistem multilateral untuk keamanan bagi menyelesaikan punca sebenar kelaparan global.
- Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pembaharuan sistem multilateral untuk keamanan bagi menyelesaikan punca sebenar kelaparan global.
- Penyelaras Pencegahan Kebuluran dan Tindak Balas PBB, Reena Ghelani, berkata sekitar suku bilion populasi dunia berdepan isu keterjaminan makanan kritikal tahun lalu, dengan 376,000 daripadanya berdepan situasi seakan-akan kebuluran di tujuh negara.
- Memetik laporan Xinhua, selain itu, katanya, kira-kira 35 juta penduduk hampir mengalami kebuluran, dengan wanita dan kanak-kanak paling terkesan dengan situasi terbabit, sama seperti kebanyakan krisis lain.
- “Konflik bersenjata memusnahkan sistem makanan, mata pencarian dan menyebabkan orang hilang tempat tinggal hingga ramai yang menjadi rentan dan kelaparan.
- “Adakalanya situasi ini adalah kesan langsung daripada perang. Namun kebanyakannya ia dicetuskan secara sengaja dan bercanggah undang-undang, dengan kelaparan digunakan sebagai taktik dalam peperangan,” katanya kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
NEW YORK – Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pembaharuan sistem multilateral untuk keamanan bagi menyelesaikan punca sebenar kelaparan global.
Penyelaras Pencegahan Kebuluran dan Tindak Balas PBB, Reena Ghelani, berkata sekitar suku bilion populasi dunia berdepan isu keterjaminan makanan kritikal tahun lalu, dengan 376,000 daripadanya berdepan situasi seakan-akan kebuluran di tujuh negara.
Memetik laporan Xinhua, selain itu, katanya, kira-kira 35 juta penduduk hampir mengalami kebuluran, dengan wanita dan kanak-kanak paling terkesan dengan situasi terbabit, sama seperti kebanyakan krisis lain.
Bercakap kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC), Ghelani menegaskan isu kelaparan dan konflik berkait antara satu sama lain, dengan faktor konflik dan ketidakstabilan keselamatan kekal sebagai pencetus utama kelaparan dan kebuluran.
Jelasnya, setiap tujuh negara yang berdepan isu seakan-akan kebuluran, terkesan akibat konflik bersenjata atau keganasan tahap ekstrem dengan lima daripadanya kerap berada dalam agenda UNSC iaitu Afghanistan, Haiti, Somalia, Sudan Selatan dan Yaman.
“Konflik bersenjata memusnahkan sistem makanan, mata pencarian dan menyebabkan orang hilang tempat tinggal hingga ramai yang menjadi rentan dan kelaparan.
“Adakalanya situasi ini adalah kesan langsung daripada perang. Namun kebanyakannya ia dicetuskan secara sengaja dan bercanggah undang-undang, dengan kelaparan digunakan sebagai taktik dalam peperangan,” katanya.
Ghelani berkata, masalah keterjaminan makanan mencetus ketidakstabilan, dengan kajian terbaharu oleh Program Makanan Dunia (WFP) menunjukkan keterdesakan akibat kemiskinan dan ketidaksamarataan serta isu tadbir urus, menyebabkan individu memilih keganasan berbanding keamanan.
Katanya, kelaparan yang dicetuskan oleh konflik akan bertambah buruk dengan isu perubahan iklim dan kejutan ekonomi.
Sehubungan itu, beliau menggesa lebih banyak usaha ke arah mengatasi, mengurang dan menamatkan konflik dalam segala bentuk.
“Perlu adanya pembaharuan komitmen ke arah keamanan dengan memberi nafas baharu kepada sistem multilateral di mana kerajaan, PBB dan pertubuhan serantau bekerjasama.
“Untuk langkah segera, tindakan perlu dilaksanakan dalam lima perkara, antaranya memastikan pihak terbabit konflik menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa termasuk melindungi objek penting untuk kelangsungan hidup seperti stok makanan, sistem perairan dan perkara yang penting dalam penghasilan makanan dan sistem pengagihan.
“Perkara lain ialah penggunaan mekanisme amaran awal yang lebih baik; berani dan kreatif mencari kaedah mitigasi impak perang; memberi tumpuan pada wanita dan kanak-kanak; serta memperakui tindak balas separuh masak terhadap risiko yang berkait tidak menyelesaikan masalah,” katanya.
Sumber: Berita Harian