Antarabangsa
Pemandu trak warga AS tembak 11 penganut Yahudi dijatuhi hukuman mati
Seorang pemandu trak dijatuhi hukuman mati pada Rabu atas kesalahan membunuh 11 penganut Yahudi, lima tahun lalu, dalam serangan perkauman yang paling berdarah dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).
- Seorang pemandu trak dijatuhi hukuman mati pada Rabu atas kesalahan membunuh 11 penganut Yahudi, lima tahun lalu, dalam serangan perkauman yang paling berdarah dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).
- Seramai 12 juri sebulat suara memutuskan warga AS, Robert Bowers perlu dihukum bunuh kerana bertindak melepaskan tembakan pada 27 Oktober 2018 di Pittsburgh.
- Jabatan Kehakiman di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden, bagaimanapun sudah meletakkan moratorium terhadap pelaksanaan hukuman mati pada peringkat Persekutuan, justeru tidak pasti sama ada hukuman itu akan dilaksanakan ke atas Bowers.
- Lelaki berusia 50 tahun itu didapati bersalah pada Jun atas semua 63 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, termasuk jenayah kebencian yang mengakibatkan pembunuhan dan cubaan membunuh.
NEW YORK – Seorang pemandu trak dijatuhi hukuman mati pada Rabu atas kesalahan membunuh 11 penganut Yahudi, lima tahun lalu, dalam serangan perkauman yang paling berdarah dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).
Seramai 12 juri sebulat suara memutuskan warga AS, Robert Bowers perlu dihukum bunuh kerana bertindak melepaskan tembakan pada 27 Oktober 2018 di Pittsburgh.
Jabatan Kehakiman di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden, bagaimanapun sudah meletakkan moratorium terhadap pelaksanaan hukuman mati pada peringkat Persekutuan, justeru tidak pasti sama ada hukuman itu akan dilaksanakan ke atas Bowers.
Lelaki berusia 50 tahun itu didapati bersalah pada Jun atas semua 63 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, termasuk jenayah kebencian yang mengakibatkan pembunuhan dan cubaan membunuh.
Bowers secara teratur menjejaki mangsanya di rumah ibadat Tree of Life di Pittsburgh, menembak berkali-kali dari jarak dekat sambil menjerit “Semua orang Yahudi mesti mati!”
Pembunuhan beramai-ramai itu menambahkan lagi kebimbangan mengenai kebangkitan semula pelampau sayap kanan dan neo-Nazi di seluruh AS.
“Jenayah kebencian seperti ini mendatangkan kesakitan yang tidak boleh diubati kepada mangsa dan orang tersayang mereka serta menyebabkan seluruh masyarakat mempersoal keselamatan mereka,” kata Peguam Negara, Merrick Garland, berhubung hukuman berkenaan.
“Semua rakyat Amerika berhak hidup bebas daripada ketakutan terhadap keganasan yang didorong kebencian dan Jabatan Kehakiman akan bertanggungjawab bagi tindakan terhadap mereka yang melakukan perbuatan itu,” katanya.
Bowers, yang memiliki senapang semiautomatik AR-15 dan tiga pistol Glock, melakukan pembunuhan itu ketika Shabbat, iaitu perayaan hari rehat Yahudi.
Dia sebelum itu menyuarakan dengan keras mengenai pandangan anti-Semitiknya secara dalam talian.
Dia ditahan di tempat kejadian, yang mengakibatkan beberapa pegawai polis dan dua penganut lain cedera. – AFP
Sumber: Berita Harian