Antarabangsa
Modi mahu keganasan etnik di Manipur ditamatkan
Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata kerajaannya sedang berusaha menamatkan keganasan etnik di timur laut negara itu yang mengakibatkan lebih 150 penduduk terbunuh sejak Mei lalu.
- Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata kerajaannya sedang berusaha menamatkan keganasan etnik di timur laut negara itu yang mengakibatkan lebih 150 penduduk terbunuh sejak Mei lalu.
- Parti pembangkang sebelum ini mengecam Modi kerana gagal menghentikan keganasan di negeri Manipur, manakala kumpulan hak asasi manusia berkata, parti kumpulan nasionalis Hindu itu telah menyemarakkan lagi api konflik.
- Modi berkata konflik itu sudah reda dan keamanan dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini wajar dipertahankan.
- “Semua rakyat India bersama penduduk di Manipur dan kerajaan negeri serta kerajaan pusat sedang berusaha ke arah keamanan,” katanya.
- Sekurang-kurangnya 152 terbunuh di Manipur sejak pertempuran bersenjata tercetus antara majoriti Meitei yang kebanyakannya beragama Hindu dan komuniti Kuki, didominasi penduduk beragama Kristian.
NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata kerajaannya sedang berusaha menamatkan keganasan etnik di timur laut negara itu yang mengakibatkan lebih 150 penduduk terbunuh sejak Mei lalu.
Parti pembangkang sebelum ini mengecam Modi kerana gagal menghentikan keganasan di negeri Manipur, manakala kumpulan hak asasi manusia berkata, parti kumpulan nasionalis Hindu itu telah menyemarakkan lagi api konflik.
Ketika berucap di Red Fort, di sini, hari ini, sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan India, Modi berkata, konflik itu sudah reda dan keamanan dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini wajar dipertahankan.
“Ini akan membuka jalan kepada resolusi dan ia hanya boleh diperoleh melalui keamanan.
“Semua rakyat India bersama penduduk di Manipur dan kerajaan negeri serta kerajaan pusat sedang berusaha ke arah keamanan,” katanya.
Sekurang-kurangnya 152 terbunuh di Manipur sejak pertempuran bersenjata tercetus antara majoriti Meitei yang kebanyakannya beragama Hindu dan komuniti Kuki, didominasi penduduk beragama Kristian.
Negeri itu berpecah mengikut garis etnik, dengan militia membuat sekatan untuk menghalang ahli komuniti lawan.
Puluhan ribu askar tambahan dikejarkan dari tempat lain untuk melakukan rondaan di bandar dan lebuh raya, selain menjalankan perintah berkurung serta penutupan internet terus berkuat kuasa di seluruh Manipur.
Pemerhati Hak Asasi Manusia menuduh pihak berkuasa negeri di Manipur yang ditadbir oleh parti Modi, menyebabkan konflik bertambah buruk, susulan ‘dasar perpecahan yang mengangkat majoriti Hindu’.
Dalam pada itu, Modi pada minggu lalu berjaya mengetepikan usul undi tidak percaya di Parlimen. Ia berikutan isu keganasan etnik di negeri Manipur yang masih berlanjutan.
Pemimpin parti pembangkang utama di India, Rahul Gandhi, menuduh Modi ‘pencetus kepada konflik yang lebih besar di seluruh negara kerana gagal menangani isu perpecahan dan keganasan di Manipur.
Timur laut India menyaksikan pergolakan berdekad-dekad dalam kalangan kumpulan etnik dan pemisah yang mencari lebih autonomi atau pemisahan daripada India, dengan sekurang-kurangnya 50,000 terbunuh di Manipur sejak 1950-an.
Konflik ini berkurangan selama bertahun-tahun, dengan banyak kumpulan yang membuat perjanjian dengan New Delhi untuk mendapatkan lebih banyak kuasa.
Sumber: Berita Harian