Teknologi
Minat golongan muda terhadap STEM membimbangkan
Trend penurunan minat masyarakat negara ini terhadap aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan golongan muda, membimbangkan.
- Trend penurunan minat masyarakat negara ini terhadap aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan golongan muda, membimbangkan.
- Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu berkenaan.
- “Kerja-kerja awal telah dilaksana namun jawatankuasa tersebut dijangka akan mula bermula secara rasminya dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang,” katanya selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Johor di Arena Larkin, di sini semalam.
- Antara punca aliran itu kurang diminati golongan muda negara kerana ia sukar dikuasai, proses pengajaran kurang menarik serta kurangnya prospek pekerjaan dalam bidang tersebut.
JOHOR BAHRU – Trend penurunan minat masyarakat negara ini terhadap aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan golongan muda, membimbangkan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu berkenaan.
Menurut beliau, jawatankuasa itu akan disertai MOSTI, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Sumber Manusia (KSM).
“Mengikut statistik, terdapat penurunan dalam kalangan pelajar lepasan sekolah yang mengikuti jurusan STEM di peringkat pengajian tinggi, dan ini merupakan satu trend yang amat membimbangkan kerana Malaysia dalam usaha menuju ke arah negara maju menjelang tahun 2030.
“Sehubungan itu, MOSTI akan tubuhkan satu jawatankuasa khas bersama KPM, KPT dan juga KSM untuk mencapai kaedah terbaik dalam mempromosikan aliran STEM ini.
“Kerja-kerja awal telah dilaksana namun jawatankuasa tersebut dijangka akan mula bermula secara rasminya dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang,” katanya selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Johor di Arena Larkin, di sini semalam.
Tambah Lih Kang, antara punca aliran itu kurang diminati golongan muda negara adalah kerana ia sukar dikuasai, proses pengajaran yang kurang menarik serta kurangnya prospek pekerjaan dalam bidang tersebut.
Sehubungan itu, beliau memberitahu menjadi tanggungjawab kerajaan dalam mempromosikan STEM daripada peringkat awal persekolahan, sama ada melalui pendidikan formal dan juga kurang formal.
“Selain pendidikan di peringkat sekolah, kita juga perlu pelbagaikan kaedah pengajaran seperti mengadakan program Minggu Sains Negara serta lain-lain yang dapat menarik minat masyarakat, itu sedang diusahakan MOSTI.
“Dalam pada itu, kita juga menyeru pemain industri khususnya syarikat-syarikat besar dan perindustrian untuk sama-sama mengaplikasikan sains dan teknologi dalam perusahaan mereka,” jelasnya lanjut.
Berdasarkan kajian Kesedaran Awam Mengenai STI Malaysia 2022 yang dilakukan Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) MOSTI, didapati peratusan pelajar menyertai aliran STEM dari tahun 2017 hingga 2022 mencatatkan penurunan daripada 45.20 peratus kepada 40.94 peratus.
Sumber: Kosmo