Terkini
Memang wujud stigma undang-undang syariah undang-undang kelas kedua – Presiden PPMM
Pemikiran stigma bahawa sistem kehakiman dan perundangan syariah merupakan undang-undang kelas kedua atau hanya berada di tahap tribunal rendah memang wujud menyebabkan ia berterusan dicabar pihak-pihak tertentu.
- Pemikiran stigma bahawa sistem kehakiman dan perundangan syariah merupakan undang-undang kelas kedua atau hanya berada di tahap tribunal rendah memang wujud menyebabkan ia berterusan dicabar pihak-pihak tertentu.
- Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata kepincangan pemikiran itu bukan hanya berlaku dalam kalangan pengamal undang-undang, malah sesetengah orang Islam yang mempunyai sikap prejudis dan tidak jelas terhadap pengamalan undang-undang syariah.
- “Ada yang mengatakan undang-undang syariah ini hendak menghakis sistem kehakiman mahkamah sivil. Ditambah pula keputusan kehakiman yang menampakkan martabat syariah kononnya seperti tahap tribunal semata-mata.
- “Lebih teruknya ianya ditambah dengan beberapa keputusan mahkamah atau keputusan daripada hakim-hakim sendiri yang seakan-akan menyokong kenyataan sebegitu,” kata Hisham ketika dihubungi The Merdeka Times (TMT) di sini pada Jumaat lalu.
- Semakan The Merdeka Times mendapati PPMM dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat lalu telah mengarahkan sebuah firma guaman untuk mendapatkan kebenaran dan memohon kepada Mahkamah Persekutuan supaya bertindak sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) dalam pendengaran kes Nik Elin Zurina akan datang.
KUALA LUMPUR – Pemikiran stigma bahawa sistem kehakiman dan perundangan syariah merupakan undang-undang kelas kedua atau hanya berada di tahap tribunal rendah memang wujud menyebabkan ia berterusan dicabar pihak-pihak tertentu.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata kepincangan pemikiran itu bukan hanya berlaku dalam kalangan pengamal undang-undang, malah sesetengah orang Islam yang mempunyai sikap prejudis dan tidak jelas terhadap pengamalan undang-undang syariah.
“Ada yang mengatakan undang-undang syariah ini hendak menghakis sistem kehakiman mahkamah sivil. Ditambah pula keputusan kehakiman yang menampakkan martabat syariah kononnya seperti tahap tribunal semata-mata.
“Lebih teruknya ianya ditambah dengan beberapa keputusan mahkamah atau keputusan daripada hakim-hakim sendiri yang seakan-akan menyokong kenyataan sebegitu,” kata Hisham ketika dihubungi The Merdeka Times (TMT) di sini pada Jumaat lalu.
Beliau diminta mengulas laporan TMT pada 2 Ogos lalu memetik kenyataan peguam, Lukman Sheriff Alias bahawa mahkamah akan mendengar cabaran terhadap undang-undang jenayah syariah Kelantan yang bakal meruntuhkan undang-undang jenayah syariah lain dalam masa sebulan dua ini.
Lebih membimbangkan Lukman Sheriff yang juga Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) ialah selepas beliau difahamkan tiada majlis-majlis agama negeri mencelah dalam kes terbabit.
Mengulas lanjut, Hisham berkata kewujudan stigma berpunca kerana tiada penaiktarafan dalam sistem kehakiman dan perundangan syariah sehingga terlihat jurang ketara di antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.
“Contoh kesalahan minum arak atau kesalahan berjudi di Mahkamah Sivil, hukuman punishment lagi kuat dan tinggi. Tapi bila dibuat dalam Mahkamah Syariah, hukumannya agak rendah.
“Berbeza dengan Mahkamah Sivil, kena denda RM10,000. Kalau Mahkamah Syariah kesalahan yang sama, dendanya RM3,000 which is orang nampak severity atau keterukan itu kedahsyatan hukuman itu lebih kepada Mahkamah Sivil. Itu yang orang buat comparison (perbandingan) dan memandang sebagai low class,” katanya.
Ditanya mengenai kes Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan yang akan menggunakan keputusan kes Iki Putra Mubarak, Hisham berkata ia adalah suatu isu berat yang akan memberi tamparan hebat kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana ia mempunyai kuasa untuk mengubah, malah membatalkan undang-undang syariah.
“Tapi dalam situasi sekarang ini akibat daripada kes Iki Putra ini digunakan asas dalam kes yang akan datang untuk mencabar beberapa peruntukan yang mengatakan negeri tiada bidang kuasa untuk membuat apa-apa yang diputuskan ataupun ia dalam bidang kuasa federal.
“Jadi secara mudah kita faham bila mana undang-undang tersebut terbatal jadi apa ada kuasa pada mahkamah syariah khusus untuk berkenaan dengan jenayah Syariah,” katanya.
Hisham berkata pindaan perlembagaan adalah tindakan yang sewajarnya dilakukan bagi memartabatkan kembali sistem kehakiman dan perundangan syariah di Malaysia, khususnya memperinci dan memperkemaskan hal-hal berkaitan dengan agama Islam supaya tiada lagi cabaran-cabaran dapat dibuat pada masa akan datang.
“Bagi saya benda (pindaan) itu boleh berlaku bilamana perkara ini didahulukan. Benda (pindaan) ini tak pelik sebab sebelum ini ada cadangan daripada kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan daripada segi umur pengundian daripada 21 tahun ke 18 tahun.
“Saya tengok dalam tempoh yang dekat dan tidak terlalu lama seperti mengambil masa lima tahun atau tiga tahun. Jadi benda (pindaan) itu memang boleh dilakukan dengan adanya political will dan juga kesatuan Ahli-Ahli Parlimen, khususnya Ahli Parlimen beragama Islam,” kata Hisham.
Semakan The Merdeka Times mendapati PPMM dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat lalu, telah mengarahkan sebuah firma guaman untuk mendapatkan kebenaran dan memohon kepada Mahkamah Persekutuan supaya bertindak sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) dalam pendengaran kes Nik Elin Zurina akan datang. – The Merdeka Times