Connect with us

Terkini

Mahkamah sivil tolak permohonan wanita mualaf keluar Islam

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan seorang mualaf berusia 57 tahun untuk keluar meninggalkan Islam dan kembali kepada agama asalnya, iaitu Kristian.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Mahkamah sivil tolak permohonan wanita mualaf keluar Islam
Foto: Gambar Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
  • Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan seorang mualaf berusia 57 tahun untuk keluar meninggalkan Islam dan kembali kepada agama asalnya, iaitu Kristian.
  • Mengikut alasan penghakiman penuh 26 Jun lalu oleh hakim Quay Chew Soon yang didedahkan minggu ini, wanita itu dilahirkan pada 7 Jan 1966, kepada pasangan ibu bapa beragama Kristian dan dibaptiskan sejak bayi dan membesar dengan mengamalkan agama itu.
  • Bagaimanapun, apabila berusia 29 tahun pada 30 Mac 1995, dia memeluk Islam di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaip) dan menukar namanya. Wanita itu dipercayai berbuat demikian kerana mahu berkahwin dengan lelaki Islam.
  • Susulan Mahkamah Rayuan Syariah Selangor yang menolak permohonannya itu, dia kemudian membawa kes berkenaan ke mahkamah sivil Pulau Pinang pada April tahun ini.
  • Dalam keputusannya, Quay memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa untuk mendengar perkara itu kerana Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan memberikan Mahkamah Syariah bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan perkara yang berkaitan dengan meninggalkan agama serta aspek agama Islam yang lain.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan seorang mualaf berusia 57 tahun untuk keluar meninggalkan Islam dan kembali kepada agama asalnya, iaitu Kristian.

Mengikut alasan penghakiman penuh 26 Jun lalu oleh hakim Quay Chew Soon yang didedahkan minggu ini, wanita itu dilahirkan pada 7 Jan 1966, kepada pasangan ibu bapa beragama Kristian dan dibaptiskan sejak bayi dan membesar dengan mengamalkan agama itu.

Bagaimanapun, apabila berusia 29 tahun pada 30 Mac 1995, dia memeluk Islam di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaip) dan menukar namanya. Wanita itu dipercayai berbuat demikian kerana mahu berkahwin dengan lelaki Islam.

Dia akhirnya berkahwin dengan lelaki itu pada 9 Julai 1995, dan mempunyai tiga orang anak yang dibesarkan sebagai orang Islam. Bagaimanapun, perkahwinan itu hanya bertahan selama 18 tahun dan berakhir dengan perceraian pada 16 Jan 2013.

Setelah mengesahkan akuan berkanun bahawa dia sentiasa beragama Kristian, dia pergi ke Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 22 Mac 2016, untuk meninggalkan Islam.

Di sebalik menjalani 12 sesi kaunseling atas arahan Mahkamah Syariah selama setahun dengan seorang ustaz dan memberi keterangan di mahkamah tentang kepercayaan dan gaya hidupnya serta memanggil seorang biskop untuk memberi keterangan bagi pihaknya, Mahkamah Tinggi Syariah Selangor menolak permohonannya untuk meninggalkan Islam. Sebaliknya wanita itu diarahkan menjalani sesi kaunseling lanjutan selama 60 hari lagi.

Susulan Mahkamah Rayuan Syariah Selangor yang menolak permohonannya itu, dia kemudian membawa kes berkenaan ke mahkamah sivil Pulau Pinang pada April tahun ini.

Dalam keputusannya, Quay memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa untuk mendengar perkara itu kerana Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan memberikan Mahkamah Syariah bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan perkara yang berkaitan dengan meninggalkan agama serta aspek agama Islam yang lain.

“Adalah tidak sukar untuk memahami alasan di sebalik pemberian bidang kuasa di mahkamah Syariah berkenaan dengan keluar daripada Islam.

“Memandangkan isu keislaman, sama ada masuk atau keluar Islam, melibatkan prinsip kepercayaan dan akidah, ia memerlukan keazaman oleh mereka yang benar-benar berilmu dan memahami agama itu dengan mendalam.

“Ini telah diulangi oleh mahkamah berkali-kali,” kata Quay.

Hakim itu berkata, bahawa bidang kuasa mahkamah Syariah ke atas wanita berkenaan kekal “sehingga pemohon telah diisytiharkan secara sah sebagai bukan lagi seorang Islam”.

Susulan keputusan itu, peguam wanita itu dari firma guaman Kanesalingam & Co telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Jabatan Peguam Negara mewakili kerajaan persekutuan, yang merupakan salah satu daripada tujuh responden dalam perkara itu.

Enam responden lain adalah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mahkamah Rayuan Syariah Selangor, kerajaan negeri Selangor, Jabatan Kebajikan Agama Islam Pulau Pinang, kerajaan negeri Pulau Pinang, dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sumber: Malaysiakini

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *