Connect with us

Terkini

KPM lancar modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi

Kementerian Pendidikan (KPM) pada Sabtu (19 Ogos), melancarkan modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.

Wartawan TMT

Published

on

KPM lancar modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi
Foto: Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Abu Hanipah@Fauzi Zahari (kiri), Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum) Dr Ahmad Rafee Che Kassim (tengah) dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (kanan).
  • Kementerian Pendidikan (KPM) pada Sabtu (19 Ogos), melancarkan modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.
  • Modul tersebut akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.
  • Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata modul itu membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan khususnya untuk memastikan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis dibaca dan dihayati.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) pada Sabtu (19 Ogos), melancarkan modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.

Modul tersebut akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata modul itu membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan khususnya untuk memastikan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis dibaca dan dihayati.

“Saya tiada masalah untuk nilai-nilai dalam hadis dibawa ke sekolah dan dalam masa sama, komitmen kita besar untuk melihat anak muslim benar-benar menghayati hadis 40 berkaitan nilai baik.

“Satu daripada hadis Ad Deen An Nasihah bermaksud agama itu adalah nasihat dan inilah yang nak cuba terjemah bila kita minta untuk menghayati semula hadis. Cabaran kita hari ini memastikan semua orang bercakap perkara baik di sebalik kebanjiran idola dan kemarau teladan,” katanya ketika berucap pada Karnival dan Peluncuran Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di SMKA Putrajaya di sini pada Sabtu (19 Ogos).

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Islam KPM Omar Salleh berkata modul tersebut dibangunkan selari dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kerajaan mengambil inisiatif melalui KPM dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk menerbitkan semula himpunan hadis 40 Imam Nawawi bagi diedarkan di seluruh sekolah.

Beliau berkata ini supaya penghayatan hadis 40 bermula di peringkat sekolah lagi serta dapat memupuk semangat kasih sayang selain menerapkan kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar Islam.

“Sehubungan itu, KPM telah mengambil pendekatan dengan membina modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang boleh dijadikan panduan kepada semua sekolah KPM. Selain itu, kita turut menggalakkan guru-guru Pendidikan Islam yang aktif di TikTok untuk menghasilkan TikTok yang pelbagai mengikut kreativiti masing-masing yang mengandungi hadis 40,” katanya.

Omar berkata modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dapat membantu guru melaksanakan aktiviti pengukuhan dalam dan luar bilik darjah dan tidak terhad kepada sekadar membaca hadis sahaja.

Ia termasuk aktiviti seperti pembacaan dan huraian hadis 40 selepas solat, mewujudkan sudut info pengajaran hadis, perkongsian pengajaran hadis dalam perhimpunan mingguan, gotong-royong bertemakan amalan hadis 40 dan silang budaya.

“Kaedah penerapan dirangka ini secara tidak langsung mampu memupuk kasih sayang dalam kalangan murid, manakala penganjuran aktiviti silang budaya yang diterjemahkan melalui modul ini mampu membina karakter dan semangat perpaduan mengikut acuan masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya sambil  menambah hadis 40 merangkumi semua aspek kehidupan seperti iman, moral, nasihat dan komunikasi.

Beliau berkata modul dirangka dan dibina KPM serta melibatkan pelbagai pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing terutamanya dalam bidang hadis, telah mengambil kira pendekatan meliputi semua peringkat sekolah termasuk sekolah dalam aliran perdana seperti sekolah rendah atau sekolah menengah harian biasa.

Omar berkata KPM berharap melalui modul itu, ia dapat menerapkan asas kefahaman agama dan keindahan akhlak Islam yang berupaya mengangkat martabat insan (karamah insaniah) dalam usaha untuk melahirkan anak baik lagi cerdik menerusi aktiviti pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah dengan berpandukan kandungan Hadis 40 Imam Nawawi.

Beliau berkata melalui penghayatan hadis 40, murid dapat memahami asas Islam, iman dan ihsan untuk dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian selain mempamerkan keindahan muamalat Islam dalam kehidupan bermasyarakat dengan meraikan kepelbagaian agama dan bangsa, di samping membudayakan nilai murni dalam kehidupan dengan melaksanakan tuntutan ajaran Islam yang melarang umatnya melakukan kerosakan di muka bumi.

Sementara itu, Karnival Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi itu diisi dengan aktiviti seperti gotong-royong, pameran melibatkan 10 sekolah dengan setiap sekolah mempamerkan kejayaan, kebitaraan dan kemahiran yang menjurus kepada penghayatan Hadis 40 selain jualan buku ilmiah dan akademik.

Sumber: Bernama

Author

Terkini

Jangan terpedaya helah sami palsu minta sedekah – Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Orang awam khususnya pelanggan di pasar, kompleks makanan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diingatkan supaya tidak terpedaya dengan kehadiran sami-sami palsu yang difahamkan menjalankan kegiatan meminta sedekah.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Sami-sami palsu yang difahamkan menjalankan kegiatan meminta sedekah.
  • Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata berdasarkan siasatan pihak Majlis didapati terdapat sindiket yang mendalangi aktiviti tidak sihat membabitkan sami palsu tersebut.
  • Pihak Majlis telah mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jabatan teknikal Majlis dan agensi luar seperti Jabatan Imigresen Malaysia, PDRM, Perbadanan Harmoni Pulau Pinang, Malaysian Buddhist Association dan United Buddhist Organisation Malaysia untuk membanteras kehadiran kelompok sami palsu itu di pasar kompleks makanan Majlis. 
  • “Kerjasama semua orang awam terutamanya para pelanggan di pasar atau kompleks makanan adalah dimohon supaya lebih peka dan tidak terpedaya dengan kehadiran mereka dalam meminta sedekah. 
  • “Sekiranya ingin menghulurkan bantuan, adalah digalakkan secara memberi makanan dan bukan wang ringgit kepada sami-sami palsu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Rabu.

KUALA LUMPUR — Orang awam khususnya pelanggan di pasar, kompleks makanan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diingatkan supaya tidak terpedaya dengan kehadiran sami-sami palsu yang difahamkan menjalankan kegiatan meminta sedekah.

MBPP berkata berdasarkan siasatan pihak Majlis didapati terdapat sindiket yang mendalangi aktiviti tidak sihat membabitkan sami palsu tersebut.

Sehubungan itu, pihak Majlis telah mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jabatan teknikal Majlis dan agensi luar seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Harmoni Pulau Pinang (Harmonico), Malaysian Buddhist Association dan United Buddhist Organisation Malaysia untuk membanteras kehadiran kelompok sami palsu itu di pasar kompleks makanan Majlis. 

“Kerjasama semua orang awam terutamanya para pelanggan di pasar atau kompleks makanan adalah dimohon supaya lebih peka dan tidak terpedaya dengan kehadiran mereka dalam meminta sedekah. 

“Sekiranya ingin menghulurkan bantuan, adalah digalakkan secara memberi makanan dan bukan wang ringgit kepada sami-sami palsu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Rabu.

Difahamkan, hari ini Ahli Majlis Tan Soo Siang, Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam bersama Ahli Majlis Choong You Ray dan Quah Boon Lim telah mengadakan satu sidang media khas di Kompleks Makanan Batu Lanchang, Pulau Pinang untuk menguar-uarkan kepada orang awam terutama pelanggan di pasar, kompleks makanan Majlis supaya tidak terpedaya dengan kehadiran sami-sami palsu itu.

Selepas sidang media tersebut, beberapa Ahli Majlis bersama pegawai Jabatan Pelesenan mengedarkan pelekat peringatan kepada para peniaga dan turut meletakkannya di atas meja makan untuk memberi maklumat dan kesedaran kepada orang awam.

Foto beberapa Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, termasuk Tan Soo Siang (tengah) yang dimuat naik MBPP di Facebook hari ini.

MBPP berkata untuk menangani masalah isu sami palsu tersebut, pihak Majlis akan  mengadakan beberapa langkah pencegahan antaranya melakukan Operasi Serbu Bersepadu bersama agensi-agensi pihak berkuasa seperti PDRM dan Imigresen serta sami-sami yang dikesan akan diminta meninggalkan bangunan pasar atau kompleks makanan dengan serta-merta.

Antara lokasi yang kerap menjadi kunjungan sami-sami palsu tersebut adalah Tapak Penjaja Lebuh Cecil; Pasar Jelutong; Pasar dan Kompleks Makanan Batu Lanchang; Pasar dan Kompleks Makanan Bayan Baru; Pasar Ayer Itam; Pasar dan Kompleks Makanan Padang Tembak; Kompleks medan angsana; PSS Jalan Chowrasta; Pasar Pulau Tikus; Kompleks Lebuh Pitt; Kompleks Lorong Stewart dan Tapak Penjaja Lorong Baru. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending