Antarabangsa
Junta tentera Niger tolak rundingan, hadapi lebih banyak sekatan
Niger dilaporkan dikenakan lebih banyak sekatan beberapa jam selepas pemimpin tentera baharu menolak misi diplomatik terkini bertujuan memulihkan ketertiban Perlembagaan susulan rampasan kuasa pada 26 Julai lalu.
- Niger dilaporkan dikenakan lebih banyak sekatan beberapa jam selepas pemimpin tentera baharu menolak misi diplomatik terkini bertujuan memulihkan ketertiban Perlembagaan susulan rampasan kuasa pada 26 Julai lalu.
- Presiden Nigeria, Bola Tinubu, mengarahkan sekatan baharu itu melalui bank pusat Nigeria, yang bertujuan menekan pihak berkaitan dalam rampasan kuasa itu, kata seorang jurucakap presiden.
- Ia berlaku selepas junta Niger menafikan kebenaran memasuki Niger kepada delegasi bersama negara Afrika Barat, Kesatuan Afrika (AU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menentang tekanan daripada Amerika Syarikat (AS) dan PBB untuk hadir ke meja rundingan.
- Penutupan sempadan dan ruang udara menghalang usaha kemanusiaan PBB termasuk penghantaran bekalan ubat dan makanan selain kepentingan AS dan Barat di Niger selaku bekas sekutu juga terancam.
- Ketua negara dari Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS) sedang bersedia untuk sidang kemuncak esok untuk membincangkan perselisihan mereka dengan junta, yang mengingkari tarikh akhir 6 Ogos untuk mengembalikan semula kuasa kepada Presiden yang digulingkan, Mohamed Bazoum.
NIAMEY: Niger dilaporkan dikenakan lebih banyak sekatan beberapa jam selepas pemimpin tentera baharu menolak misi diplomatik terkini bertujuan memulihkan ketertiban Perlembagaan susulan rampasan kuasa pada 26 Julai lalu.
Presiden Nigeria, Bola Tinubu, mengarahkan sekatan baharu itu melalui bank pusat Nigeria, yang bertujuan menekan pihak berkaitan dalam rampasan kuasa itu, kata seorang jurucakap presiden.
Ia berlaku selepas junta Niger menafikan kebenaran memasuki Niger kepada delegasi bersama negara Afrika Barat, Kesatuan Afrika (AU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menentang tekanan daripada Amerika Syarikat (AS) dan PBB untuk hadir ke meja rundingan.
Kuasa Barat bimbang rampasan kuasa itu akan menjejaskan kestabilan wilayah Sahel di Afrika Barat, salah satu wilayah termiskin di dunia yang sudah berhadapan dengan rentetan rampasan kuasa dan pemberontakan yang menyebabkan banyak kematian.
Penutupan sempadan dan ruang udara menghalang usaha kemanusiaan PBB termasuk penghantaran bekalan ubat dan makanan selain kepentingan AS dan Barat di Niger selaku bekas sekutu juga terancam.
“Kami masih berharap dan sedang berusaha mencapai keputusan yang kembali kepada perintah Perlembagaan,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, kepada pemberita.
Katanya, pembiayaan untuk pendidikan dan latihan ketenteraan antarabangsa, operasi pengaman dan program pembiayaan tentera asing yang menyokong keupayaan memerangi keganasan Niger adalah antara bantuan dihentikan oleh AS sejak rampasan kuasa.
Ketua negara dari Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS) sedang bersedia untuk sidang kemuncak esok untuk membincangkan perselisihan mereka dengan junta, yang mengingkari tarikh akhir 6 Ogos untuk mengembalikan semula kuasa kepada Presiden yang digulingkan, Mohamed Bazoum.
Ketua Pertahanan ECOWAS minggu lalu bersetuju mengenai kemungkinan pelan tindakan ketenteraan, yang dijangka dipertimbangkan oleh ketua negara pada sidang kemuncak mereka di ibu negara Nigeria, Abuja.
Bagaimanapun, jurucakap Tinubu berkata, pemimpin lebih cenderung kepada penyelesaian diplomatik.
“Tiada pilihan selain meja rundingan,” kata jurucakap itu kepada pemberita di Abuja, sambil mengatakan ‘keputusan seterusnya’ akan diambil pada sidang kemuncak berkenaan bagi langkah seterusnya blok itu.
Menjelaskan keputusan untuk tidak membenarkan delegasi masuk semalam, junta Niger berkata pihaknya tidak dapat menjamin keselamatan dalam menghadapi kemarahan ramai.
Ia juga mengecam ‘iklim pencerobohan yang terancam terhadap Niger’.
Jurucakap AU mengesahkan misi berkenaan dinafikan akses, sementara ECOWAS pula enggan memberikan sebarang ulasan.
Junta juga menolak pertemuan dengan seorang utusan kanan AS dan seorang lagi delegasi ECOWAS.
Di bawah pimpinan Bazoum, Niger berjaya menahan pemberontakan yang memusnahkan wilayah Sahel dan menjadi sekutu penting bagi Barat selepas dua jirannya, Burkina Faso dan Mali, menolak bekas kuasa penjajah Perancis dan beralih menyokong Russia.
PBB berkata, Setiausaha Agung, Antonio Guterres menyokong kuat usaha pengantara oleh ECOWAS, manakala Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, memberitahu stesen radio Perancis RFI, diplomasi adalah cara terbaik menyelesaikan kemelut itu.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai masa depan kira-kira 1,100 tentera AS di Niger, di mana tentera Perancis, Jerman dan Itali turut ditempatkan.
Blinken kemudian memberitahu BBC, beliau bimbang tentera upahan Wagner Russia boleh mengambil kesempatan daripada ketidakstabilan di Niger untuk mengukuhkan kehadiran mereka di Sahel.
“Saya fikir apa yang berlaku dan terus berlaku di Niger tidak dihasut oleh Russia atau Wagner, tetapi kita tidak tahu sejauh mana mereka cuba mengambil kesempatan daripadanya.
“Kita sudah melihat apa yang berlaku di negara lain, mereka tidak membawa apa-apa selain perkara buruk di belakang mereka, itu bukan suatu tidak baik,” katanya.
Menambah kepentingan strategiknya, Niger ialah pengeluar uranium ketujuh terbesar di dunia, bahan api yang paling banyak digunakan untuk tenaga nuklear. – REUTERS
Sumber: Berita Harian