Terkini
Isu kalimah Allah: KDN anjur libat urus bersama pengamal undang-undang
Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengadakan libat urus bersama badan perundangan sivil dan syariah berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

- Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengadakan libat urus bersama badan perundangan sivil dan syariah berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
- KDN menerusi satu kenyataan memaklumkan, sesi libat urus siri ketiga itu membabitkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama 25 pengamal undang-undang.
- “Bertepatan dengan komitmen KDN, majlis ini bertujuan mendapatkan cadangan dan pandangan secara kolektif dari aspek perundangan sivil dan syariah sebagai salah satu proses penyediaan cadangan penambahbaikan Arahan Pentadbiran KDN berkaitan penggunaan kalimah Allah,” kata KDN.
- Menurut kenyataan itu, semua jemputan diberikan ruang membincangkan mengenai pendekatan perundangan khususnya dari sudut cadangan pengemaskinian Arahan Pentadbiran KDN, pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan di lapangan dan punca kuasa kerajaan berdasarkan segregasi kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengadakan libat urus bersama badan perundangan sivil dan syariah berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
KDN menerusi satu kenyataan memaklumkan, sesi libat urus siri ketiga itu membabitkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama 25 pengamal undang-undang.
Ia membabitkan pengamal undang-undang dari Jabatan Peguam Negara (AGC), Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Profesor Malaysia, dan Persatuan-Persatuan Peguam Muslim Syarie Malaysia.
“Bertepatan dengan komitmen KDN, majlis ini bertujuan mendapatkan cadangan dan pandangan secara kolektif dari aspek perundangan sivil dan syariah sebagai salah satu proses penyediaan cadangan penambahbaikan Arahan Pentadbiran KDN berkaitan penggunaan kalimah Allah.
“Ringkasnya, melalui majlis ini, KDN memperoleh input dan cadangan yang menjadi nilai tambah dalam urusan penyediaan cadangan penambahbaikan Arahan Pentadbiran KDN supaya selaras dengan dasar yang ditetapkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja kelak,” katanya.
Menurut kenyataan itu, semua jemputan diberikan ruang membincangkan mengenai pendekatan perundangan khususnya dari sudut cadangan pengemaskinian Arahan Pentadbiran KDN, pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan di lapangan dan punca kuasa kerajaan berdasarkan segregasi kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Justeru, KDN sekali lagi ingin menyatakan komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam serta kepentingan negara dari semasa ke semasa secara berterusan.
“Ia selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 serta Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sumber: Berita Harian
