Connect with us

Terkini

Isu cabar undang-undang syariah: Pihak berkuasa agama negeri, badan berkaitan digalak jadi ‘pencelah’ atau ‘sahabat mahkamah’ – JKSM  

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menggalakkan pihak berkuasa agama negeri, badan berkanun/agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama untuk turut serta sebagai pencelah, watching brief atau sahabat mahkamah dalam kes Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan di Mahkamah Persekutuan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hanani Zulkifli

Published

on

Isu cabar undang-undang syariah: Pihak berkuasa agama negeri, badan berkaitan digalak jadi ‘pencelah’ atau ‘sahabat mahkamah’ – JKSM  
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menggalakkan pihak berkuasa agama negeri, badan berkanun/agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama untuk turut serta sebagai pencelah, watching brief atau sahabat mahkamah dalam kes Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan di Mahkamah Persekutuan.
  • JKSM, dalam kenyataannya di Facebook (FB) pada Jumaat berkata, pihak terbabit mempunyai hak untuk terlibat sama di dalam kes berkenaan sama ada sebagai pencelah (intervener) atau sahabat mahkamah (amicus curiae).
  • Bagaimanapun, JKSM menegaskan ia tidak boleh mengeluarkan sebarang komen khusus berkaitan kes terbabit kerana masih di peringkat prosiding di Mahkamah Persekutuan bagi mengelakkan sub-judice. 
  • “Kes ini melibatkan cabaran kepada kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal peruntukan undang-undang Syariah di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten untuk memutuskan kes berkenaan,” kata JKSM dalam kenyataannya pada 4 Ogos lalu mengenai hantaran di media sosial FB berkaitan kes Mahkamah Persekutuan (Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan) yang akan menggugat struktur asas perundangan.
  • The Merdeka Times pada 2 Ogos lalu memetik kenyataan peguam, Lukman Sheriff Alias di FB bahawa mahkamah akan mendengar cabaran terhadap undang-undang jenayah syariah Kelantan yang bakal meruntuhkan undang-undang jenayah syariah negeri lain dalam masa sebulan dua ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menggalakkan pihak berkuasa agama negeri, badan berkanun/agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama untuk turut serta sebagai pencelah, watching brief atau sahabat mahkamah dalam kes Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan di Mahkamah Persekutuan.

JKSM, dalam kenyataannya di Facebook (FB) pada Jumaat berkata, pihak terbabit mempunyai hak untuk terlibat sama di dalam kes berkenaan sama ada sebagai pencelah (intervener) atau sahabat mahkamah (amicus curiae).

Bagaimanapun, JKSM menegaskan ia tidak boleh mengeluarkan sebarang komen khusus berkaitan kes terbabit kerana masih di peringkat prosiding di Mahkamah Persekutuan bagi mengelakkan sub-judice. 

“Kes ini melibatkan cabaran kepada kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal peruntukan undang-undang Syariah di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten untuk memutuskan kes berkenaan,” kata JKSM dalam kenyataannya pada 4 Ogos lalu mengenai hantaran di media sosial FB berkaitan kes Mahkamah Persekutuan (Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan) yang akan menggugat struktur asas perundangan.

The Merdeka Times pada 2 Ogos lalu memetik kenyataan peguam, Lukman Sheriff Alias di FB bahawa mahkamah akan mendengar cabaran terhadap undang-undang jenayah syariah Kelantan yang bakal meruntuhkan undang-undang jenayah syariah negeri lain dalam masa sebulan dua ini. 

Lebih membimbangkan Lukman Sheriff yang juga Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) selepas beliau difahamkan tiada majlis-majlis agama negeri mencelah dalam kes terbabit.

Mengulas lanjut, JKSM berkata Badan Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah Syariah bagi kesalahan-kesalahan yang berhubung dengan pelanggaran rukun-rukun agama Islam sebagaimana yang telah diputuskan dalam kes Sulaiman bin Takrib v Kerajaan Negeri Terengganu (KerajaanMalaysia, intervener) and other applications [2009] 6 MLJ 354, Fathul Bari Mat Jahya & Anor v. Majlis Agama Islam Negeri Sembilan & Ors [2012] 4 CLJ 717 dan ZI Publications Sdn Bhd & Anor v Kerajaan Negeri Selangor (Kerajaan Malaysia & Anor, intervener) [2016] 1 MLJ 153.

Katanya, sama ada kesalahan-kesalahan diwujudkan di dalam undang-undang Syariah oleh Badan Perundangan Negeri bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak, ianya akan ditentukan/diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sebagaimana yang berlaku kepada kes Iki Putra Mubarrak v. Kerajaan Negeri Selangor & Anor [2021] 3 CLJ 465.

JKSM berkata pihaknya percaya Kerajaan sentiasa komited untuk memperkasakan sistem kehakiman dan perundangan Syariah di Malaysia. 

“Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang telah diwujudkan sebelum ini telahpun dinaiktaraf kepada Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangksaan (JPIK) di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada tahun 2022.

“Usaha-usaha untuk menambah baik undang-undang Syariah masih dan sentiasa berjalan sehingga kini selaras Pelan Pemerkasaan Undang-Undang Syariah Peringkat Persekutuan. Usaha-usaha sedemikian juga masih berjalan di peringkat negeri-negeri,” kata kenyataan jabatan itu.

Kenyataan itu berkata berkata JKSM sebagai agensi penyelaras pentadbiran mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha, program dan aktiviti dengan kerjasama mahkamah-mahkamah Syariah negeri bagi memastikan undang-undang Syariah yang digubal oleh Badan Perundangan Negeri dilaksanakan secara efisien dan berkesan.

JKSM juga sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan untuk memperkasa dan memartabatkan perundangan dan kehakiman Syariah, termasuklah melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan ataupun mana-mana undang-undang sedia ada.

“Institusi perundangan dan Kehakiman Syariah adalah simbol kepada keadilan Islam di negara ini. Bidang kuasanya adalah terletak secara mutlak di bawah Sultan dan Raja Pemerintah setiap negeri. 

“JKSM menegaskan bahawa sebarang tindakan yang memberi kesan negatif kepada institusi perundangan dan kehakiman Syariah boleh menjejaskan kemuliaan dan kedudukan Sultan dan Raja Pemerintah,” kata jabatan itu.

Justeru itu, JKSM menggesa semua pihak berkepentingan untuk mempertahankan kedudukan dan status institusi perundangan dan kehakiman Syariah di negara ini kerana ia adalah tanggungjawab bersama. – The Merdeka Times

Sumber: Facebook

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *