Terkini
Hak pemain ragbi ‘dirompak’, pegawai kejohanan didakwa tidak profesional
Jawatankuasa Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Selangor didakwa tidak profesional dan melanggar peraturan dalam membatalkan keputusan perlawanan separuh akhir Kejohanan Ragbi MSS Selangor (kategori Cup) antara Petaling Utama (PU) dan Hulu Selangor (HUSEL) yang dimuktamadkan pengadil pada Rabu lalu.

- Jawatankuasa Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Selangor didakwa tidak profesional dan melanggar peraturan dalam membatalkan keputusan perlawanan separuh akhir Kejohanan Ragbi MSS Selangor (kategori Cup) antara Petaling Utama (PU) dan Hulu Selangor (HUSEL) yang dimuktamadkan pengadil pada Rabu lalu.
- “Saya jarang mengupas isu sukan apatah lagi sukan sekolah tetapi apabila melihat dengan mata saya sendiri bagaimana teruknya cara mereka menganjurkan kejohanan ini dan dengan mereka tidak mengikut prosedur serta peraturan yang mereka tetapkan sendiri, bagaimana sukan negara akan maju?”, kata Firdaus Wong Wai Hung yang juga penonton kejohanan tersebut.
- Berikutan isu perubahan keputusan itu yang telah diadili dua kali sebelum itu, Firdaus menyelar tindakan pegawai kejohanan yang disifatkannya tidak profesional dalam menganjur kejohanan tersebut kerana mereka sendiri tidak mengikut prosedur serta melanggar peraturan yang ditetapkan.
- “Ini bukan salah HUSEL yang membuat bantahan kerana itu hak mereka tetapi pihak penganjur iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Selangor yang perlu bertanggungjawab di atas kecelaruan dan sikap tidak profesional ini,” katanya.
KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Selangor didakwa tidak profesional dan melanggar peraturan dalam membatalkan keputusan perlawanan separuh akhir Kejohanan Ragbi MSS Selangor (kategori Cup) antara Petaling Utama (PU) dan Hulu Selangor (HUSEL) yang dimuktamadkan pengadil pada Rabu lalu.
Perkara itu diutarakan aktivis masyarakat, Firdaus Wong Wai Hung dalam Facebooknya semalam, yang berkongsi pengalamannya menonton kejohanan itu yang pada awalnya berakhir dengan keputusan berpihak kepada kumpulan PU dengan mata skor PU 19 – HUSEL 18
Beliau berkata kumpulan HUSEL membuat bantahan secara lisan terhadap keputusan itu kepada pegawai kejohanan terbabit, namun keputusan itu dikekalkan dan pihak terbabit memaklumkan mana-mana pihak ingin membuat bantahan boleh mengemukakan bantahan rasmi beserta ‘bukti baharu’.
Katanya, keputusan itu kemudiannya berubah dan diputuskan seri 19-19 selepas HUSEL membuat bantahan rasmi pada waktu malam kepada pihak jawatankuasa bantahan yang bermesyuarat dan mengarahkan masa tambahan 10 minit pada keesokan harinya.
“Saya jarang mengupas isu sukan apatah lagi sukan sekolah tetapi apabila melihat dengan mata saya sendiri bagaimana teruknya cara mereka menganjurkan kejohanan ini dan dengan mereka tidak mengikut prosedur serta peraturan yang mereka tetapkan sendiri, bagaimana sukan negara akan maju?”, kata Firdaus.
Berikutan isu perubahan keputusan itu yang diadili dua kali sebelumnya, Firdaus menyelar tindakan pegawai kejohanan yang disifatkannya tidak profesional kerana tidak mengikut prosedur dan melanggar peraturan ditetapkan.
“Ini bukan salah HUSEL yang membuat bantahan kerana itu hak mereka tetapi pihak penganjur iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Selangor yang perlu bertanggungjawab di atas kecelaruan dan sikap tidak profesional ini,” katanya.
Beliau berkata tindakan itu telah melanggar peraturan bersandarkan Peraturan Pertandingan MSS Selangor 14:3 menyatakan bahawa, ‘Bantahan hanya boleh dilakukan melibatkan aspek teknikal sahaja’ dan keputusan pengadil adalah muktamad selepas wisel penamat ditiupkan sebagaimana dalam undang-undang International Rugby Board (IRB) yang dijadikan panduan untuk kejohanan ini.
“Untuk perlawanan antarabangsa IRB, walaupun pengadil membuat kesilapan dalam perlawanan, keputusan perlawanan tetap kekal dan tidak boleh diubah selepas tamat perlawanan.
“Jawatankuasa bantahan Kejohanan perlu menjawab sejak apabila mengubah keputusan perlawanan kerana kesilapan adalah isu teknikal sebagaimana dalam Peraturan Pertandingan Fasal 14.3.
“Peratusan MSSM & IRB manakah yang mereka jadikan panduan untuk membolehkan mereka mengubah keputusan sesuatu perlawanan setelah wisel penamat ditiupkan pengadil?”, katanya.
Firdaus berkata pengarah teknikal kejohanan itu yang ditemuinya turut memberi kenyataan bahawa tiada bukti baharu ditunjukkan HUSEL ketika membuat bantahan rasmi cuma menyatakan pengadil telah membuat kesilapan dalam catatan markah.
“Jikalau tiada bukti baru, maka jawatankuasa bantahan membuat keputusan berdasarkan andaian?
“Mereka mengatakan pengadil membuat kesilapan dalam pengiraan mata tanpa mana-mana pihak membawakan bukti baru dalam bentuk video dan sebagainya, bagaimana jawatankuasa bantahan boleh menerima ‘pengakuan’ pengadil membuat kesilapan tanpa merujuk kepada sebarang bukti?”, katanya.
Justeru, beliau menggesa Jabatan Pendidikan Negeri Selangor tampil memberi penjelasan malah pegawai kejohanan terbabit perlu dipertanggungjawabkan serta meminta maaf kepada pemain PU yang beliau sifatkan seperti ‘dirompak’ hak mereka untuk beraksi Final Cup.
“Pegawai-pegawai kejohanan janganlah berselindung di atas keputusan jawatankuasa bantahan adalah muktamad sedangkan keputusan itu sendiri adalah tidak mengikut prosedur dan melanggar peraturan MSSM & IRB”, katanya. – The Merdeka Times
Sumber: Firdaus Wong Wai Hung | Facebook
