Connect with us

Antarabangsa

Wabak selesema burung kini mudah menjangkiti manusia – PBB

Wabak selesema burung yang berterusan menyebabkan kemusnahan kepada populasi haiwan dan kini mungkin menjangkiti manusia dengan lebih mudah, menurut kenyataan bersama oleh tiga pertubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Wabak selesema burung kini mudah menjangkiti manusia – PBB
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Wabak selesema burung yang berterusan menyebabkan kemusnahan kepada populasi haiwan dan kini mungkin menjangkiti manusia dengan lebih mudah, menurut kenyataan bersama oleh tiga pertubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
  • Ayam, burung liar dan beberapa mamalia terjejas oleh wabak itu dan mata pencarian petani serta perdagangan makanan rosak, kata organisasi itu.
  • Dalam analisa situasi dan nasihat mereka mengenai wabak selesema burung, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) menggesa negara untuk bekerjasama merentas sektor menyelamatkan seberapa banyak haiwan yang mungkin dan untuk melindungi manusia.

GENEVA – Wabak selesema burung yang berterusan menyebabkan kemusnahan kepada populasi haiwan dan kini mungkin menjangkiti manusia dengan lebih mudah, menurut kenyataan bersama oleh tiga pertubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ayam, burung liar dan beberapa mamalia terjejas oleh wabak itu dan mata pencarian petani serta perdagangan makanan rosak, kata organisasi itu.

Dalam analisa situasi dan nasihat mereka mengenai wabak selesema burung, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) menggesa negara untuk bekerjasama merentas sektor menyelamatkan seberapa banyak haiwan yang mungkin dan untuk melindungi manusia.

Virus influenza burung biasanya merebak dalam kalangan burung, tetapi peningkatan bilangan virus selesema burung H5N1 yang dikesan dalam mamalia menimbulkan kebimbangan bahawa virus itu mungkin menyesuaikan diri dan menjangkiti manusia dengan lebih mudah.

Di samping itu, sesetengah mamalia mungkin bertindak sebagai ‘pencampur’ untuk virus influenza, yang membawa kepada kemunculan virus baharu yang boleh lebih berbahaya kepada haiwan dan manusia, kata kenyataan itu.

Menurut WOAH, pada tahun 2022 organisasi itu menerima laporan mengenai wabak selesema burung dengan patogenik tinggi H5N1 dalam ayam dan burung liar dari 67 negara di lima benua, dengan lebih 131 juta ayam domestik hilang akibat kematian atau pemusnahan di ladang serta kampung yang terjejas.

Pada 2023, 14 negara lagi melaporkan wabak, terutama di Amerika Syarikat kerana penyakit itu terus merebak. Beberapa kejadian kematian besar-besaran dilaporkan membabitkan burung liar disebabkan oleh virus influenza A (H5N1) klad 2.3.4.4b.

Selain itu, wabak maut dalam kalangan mamalia juga disebabkan oleh virus influenza A (H5), termasuk influenza A (H5N1). Sekurang-kurangnya 26 spesies mamalia darat dan laut terjejas, termasuk cerpelai ternakan Sepanyol, anjing laut di AS dan singa laut di Peru dan Chile.

Virus H5N1 juga dikesan dalam haiwan domestik seperti kucing dan anjing di beberapa negara, dengan pengesanan H5N1 dalam kucing baru-baru ini diumumkan oleh pihak berkuasa di Poland.

“Terdapat perubahan paradigma baru-baru ini dalam ekologi dan epidemiologi selesema burung yang meningkatkan kebimbangan global apabila penyakit itu merebak ke kawasan geografi baharu serta menyebabkan kematian burung liar yang luar biasa, peningkatan yang membimbangkan dalam kes mamalia,” kata Ketua Jabatan Sains di WOAH, Gregorio Torres.

Siaran berita bersama itu juga menyatakan lapan kes pengesanan virus influenza A (H5N1) klad 2.3.4.4b sporadis pada manusia dilaporkan sejak Disember 2021, kebanyakannya dikaitkan hubungan rapat dengan burung yang dijangkiti dan persekitaran yang tercemar.

Jangkitan pada manusia boleh menyebabkan penyakit yang teruk, dengan kadar kematian yang tinggi.

“Dengan maklumat yang ada setakat ini, virus itu nampaknya tidak dapat merebak dari satu orang ke individu lain dengan mudah, tetapi kewaspadaan diperlukan untuk mengenal pasti sebarang evolusi dalam virus yang boleh mengubahnya,” kata Pengarah Epidemik dan Persediaan dan Pencegahan Pandemik untuk WHO, Sylvie Briand.

FAO, WHO dan WHO menggesa negara mengambil tindakan untuk membendung penularan selesema burung, termasuk mencegah selesema burung dari sumbernya, dan dengan cepat mengesan, melaporkan dan bertindak balas terhadap wabak haiwan. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *