Terkini
Tuntut sistem pendidikan berasaskan keperluan bukan kaum, gesaan MUDA bercanggah Perlembagaan – Peguam
Gesaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) supaya sistem pendidikan diubah daripada pendekatan berdasarkan kaum kepada keperluan adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
- Gesaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) supaya sistem pendidikan diubah daripada pendekatan berdasarkan kaum kepada keperluan adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
- Peguam, Aidil Khalid berkata gesaan itu juga boleh disifatkan sebagai perbuatan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara.
- Beliau menegaskan rizab kuota keistimewaan pendidikan bagi individu Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak bukan isu politik yang boleh dimainkan kelompok itu untuk mendapatkan populariti dalam kalangan penyokong mahupun pengundi liberal mereka.
- “Rizab kuota itu berpunca kuasa dari Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, dan ia tidak boleh dibuat main”. – Aidil Khalid
- Beliau berkata demikian ketika mengulas artikel bertajuk, ‘Sistem Pendidikan Berdasarkan Kaum Perlu Diubah, Kata MUDA’ yang disiarkan sebuah portal tempatan.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata sistem kuota Melayu dan Bumiputera dalam pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi (IPT).
KUALA LUMPUR — Gesaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) supaya sistem pendidikan diubah daripada pendekatan berdasarkan kaum kepada keperluan adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Peguam, Aidil Khalid berkata gesaan itu juga boleh disifatkan sebagai perbuatan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara.
Beliau menegaskan rizab kuota keistimewaan pendidikan bagi individu Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak bukan isu politik yang boleh dimainkan kelompok itu untuk mendapatkan populariti dalam kalangan penyokong mahupun pengundi liberal mereka.
Katanya, rizab kuota itu berpunca kuasa dari Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan ia tidak boleh dimainkan dengan sewenang-wenangnya.
“Masa mula-mula baca tajuk berita ini, saya ingatkan MUDA nak sokong sekolah satu bahasa — supaya hapuskan sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil di negara ini, semua menggunakan bahasa kebangsaan demi untuk perpaduan rakyat berbilang bangsa. Wah, macam tak percaya.
“Tapi bila dibaca inti berita, rupa-rupanya it is too good to be true, coming from MUDA. Ternyata apa sebenarnya digesa MUDA untuk diubah, ialah supaya dihapus sistem kuota untuk masuk ke institusi pendidikan. Dengan kata lain, beliau nak kan supaya kuota Melayu-Bumiputera itu dihapuskan.
“Gesaan seperti ini bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan, ia bahkan adalah jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas artikel bertajuk ‘Sistem Pendidikan Berdasarkan Kaum Perlu Diubah, Kata MUDA’ yang disiarkan sebuah portal tempatan.
Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata perubahan itu bagi memastikan pelajar yang cemerlang dalam pelajaran mendapat tempat di universiti.
Mengulas lanjut, Aidil Khalid berkata Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan melarang mana-mana individu daripada mempersoalkan mengenai apa-apa perkara yang menyentuh hak, taraf, kedudukan, keistimewaan yang diperuntukkan di bawah Perkara 153 Perlembagaan.
Katanya, jika dipersoalkan juga individu terbabit boleh disabitkan dengan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun di bawah seksyen 4(1).
“Makna kata, nak cadang seperti apa yang Syed Saddiq cadangkan itu pun, memang dari awal lagi, dah tak boleh.
“Masalah dengan pendirian oleh MUDA ini ialah, mereka desak supaya sistem kuota berdasarkan kaum dihapuskan, supaya kononnya menjadi lebih adil dan saksama; tapi sistem sekolah yang berpecah-pecah berasaskan bahasa kaum, tidak pula dia nampak, dan tidak pula hendak dia desak supaya dihapuskan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata sistem kuota Melayu dan Bumiputera dalam pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi (IPT).
Walaupun sistem itu dikekalkan, ia tidak bermakna sistem meritokrasi dimatikan, kata Anwar.
Perdana Menteri berkata jika ada pelajar dari kalangan anak-anak bukan Melayu dan Bumiputera yang cemerlang, kerajaan perlu mencari kaedah memberikan mereka peluang dan tidak disisihkan. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Aidil Khalid