Antarabangsa
Rekrut wanita tentera AS dedah terpaksa mandi, tidur bersama ‘wanita jadian’
Seorang rekrut wanita tentera Amerika Syarikat (AS) berusia 18 tahun mendedahkan dia terpaksa mandi bersama lelaki berikutan dasar transgender di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden.

- Seorang rekrut wanita tentera Amerika Syarikat (AS) berusia 18 tahun mendedahkan dia terpaksa mandi bersama lelaki.
- Dia juga terpaksa tidur di antara “dua individu yang kononnya bertukar jantina lelaki kepada perempuan”.
- Individu yang dimaksudkan dikatakan telah menjalani proses perubahan jantina secara kimia, namun belum menjalani pembedahan tukar alat kelamin.
- Ketika mengambil alih jawatan Presiden AS, Joe Biden membatalkan dasar presiden sebelumnya, Donald Trump yang melarang golongan transgender dari berkhidmat dalam tentera.
Seorang rekrut wanita tentera Amerika Syarikat (AS) berusia 18 tahun mendedahkan dia terpaksa mandi bersama lelaki berikutan dasar transgender di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden.
Menurut laporan Fox News, perkara itu pertama kali dibangkitkan pada persidangan Jawatankuasa Perkhidmatan Tentera Senat pada Selasa.
Rekrut wanita itu juga mengadu yang dia terpaksa tidur di antara “dua individu yang kononnya bertukar jantina lelaki kepada perempuan”.
Menurut Senator Mike Rounds, individu yang dimaksudkan dikatakan telah menjalani proses perubahan jantina secara kimia, namun belum menjalani pembedahan tukar kelamin. Oleh itu, mereka masih mempunyai alat kelamin lelaki.
Difahamkan, gadis itu enggan untuk bercakap kerana takut ia akan menjejaskan kerjayanya.
Membangkitkan perkara sedemikian dalam aduan dipercayai boleh memberi kesan berbahaya kepada kerjaya tentera rekrut baharu itu.
“Penghormatan yang sepatutnya diterima oleh rekrut muda ini dan privasi yang sepatutnya dia miliki, telah dilucutkan,” kata Rounds dipetik Fox News.
Katanya, insiden sebegini juga menjadi punca kepada kesukaran mencapai sasaran pengambilan rekrut.
“Krisis pengambilan” sebahagiannya disebabkan “agenda woke Biden yang kini kita lihat turun melalui perintah eksekutif,” kata Rounds.
Ketika mengambil alih jawatan Presiden AS, Biden membatalkan dasar presiden sebelumnya, Donald Trump yang melarang golongan transgender dari berkhidmat dalam tentera.
“Presiden Biden percaya identiti jantina tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perkhidmatan ketenteraan dan kekuatan Amerika didapati dalam kepelbagaiannya,” demikian kenyataan Rumah Putih.
Sumber: Fox News
