Terkini
Pinda perkasa sekolah kebangsaan kepada perkasa sekolah vernakular – Tan Choong How
Kementerian Pendidikan dicadang meminda perkataan ‘memperkasa sekolah kebangsaan’ kepada ‘memperkasa sekolah vernakular’ dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

- Kementerian Pendidikan dicadang meminda perkataan ‘memperkasa sekolah kebangsaan’ kepada ‘memperkasa sekolah vernakular’ dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
- Mencadangkan perkara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Lembaga-Lembaga Pengurus SJKC Sabah, Tan Choong How berkata, ini kerana sekolah rendah Cina merupakan pendidikan penting dalam menyatupadukan rakyat.
- “Kenapa? Dulu mungkin dia fikir sekolah kebangsaan hanya melatih kaum Melayu. Tidak juga. Sekolah Cina yang penting, pendidikan yang menggambarkan perpaduan rakyat,” katanya dalam Forum Pendidikan Cina diadakan di Bangunan Dong Zong di sini pada 15 Julai lalu.
- Forum pendidikan itu khusus membincangkan isu pelajar bukan Cina di sekolah rendah Cina.
- Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Cina Malaysia (Hua Xie), Loh Tian Hong berkata peningkatan pelajar bukan Cina yang tidak mempunyai asas dalam bahasa Cina akan meningkatkan beban guru di sekolah rendah Cina.
KAJANG – Kementerian Pendidikan dicadang meminda perkataan ‘memperkasa sekolah kebangsaan’ kepada ‘memperkasa sekolah vernakular’ dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
Mencadangkan perkara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Lembaga-Lembaga Pengurus SJKC Sabah, Tan Choong How berkata, ini kerana sekolah rendah Cina merupakan pendidikan penting dalam menyatupadukan rakyat.
“Kementerian Pendidikan sepatutnya dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), meminda ‘memperkasa sekolah kebangsaan’ kepada ‘memperkasa sekolah vernakular’.
“Kenapa? Dulu mungkin dia fikir sekolah kebangsaan hanya melatih kaum Melayu. Tidak juga. Sekolah Cina yang penting, pendidikan yang menggambarkan perpaduan rakyat,” katanya dalam Forum Pendidikan Cina diadakan di Bangunan Dong Zong di sini pada 15 Julai lalu.
Forum pendidikan itu khusus membincangkan isu pelajar bukan Cina di sekolah rendah Cina.
Berdasarkan statistik Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), bilangan pelajar bukan Cina di sekolah rendah Cina meningkat dari 11.84 peratus pada 2010 kepada 19.75 peratus pada 2020.
Dalam forum itu, Choong How yang juga bekas guru besar berkata, pendidik tidak boleh mendiskriminasi pelajar berdasarkan kaum, tetapi perlu fokus kepada pendidikan pelajarnya.
Katanya, tanggungjawab pendidik adalah untuk membentuk akhlak, menyampaikan ilmu dan menjawab persoalan pelajar.
“Saya juga memberitahu guru-guru saya setiap kali, apabila guru baru melapor diri, saya kata perkara pertama kamu perlu buat ialah ‘colour blind’, jangan lihat pada warna kulit pelajar,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Cina Malaysia (Hua Xie), Loh Tian Hong berkata peningkatan pelajar bukan Cina yang tidak mempunyai asas dalam bahasa Cina akan meningkatkan beban guru di sekolah rendah Cina.
Tian Hong berkata proses pengajaran mungkin akan dilambatkan kerana pelajar bukan Cina tidak dapat mengikuti pembelajaran dan kedua-dua pelajar dan guru akan menghadapi masalah.
Menyentuh isu pelajar bukan Cina semakin meningkat di sekolah Cina, Choong How berkata antara faktor situasi itu berlaku adalah disebabkan perkahwinan campur antara kaum di negara ini. – The Merdeka Times
