Connect with us

Antarabangsa

Penipuan AI: Polis Hong Kong terima kes penyamaran CEO bank, video seks palsu

Polis Hong Kong menerima dua laporan penipuan melibatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mencipta video dengan suara dan imej palsu untuk memperdaya mangsa, demikian lapor South China Morning Post.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Penipuan AI: Polis Hong Kong terima kes penyamaran CEO bank, video seks palsu
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Polis Hong Kong menerima dua laporan penipuan melibatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mencipta video dengan suara dan imej palsu untuk memperdaya mangsa.
  • Seorang lelaki warga Jepun melaporkan kerugian bernilai HKD1700 (RM1013) selepas terperdaya dengan satu akaun Instagram didakwa milik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah bank di Hong Kong pada Mei lalu.
  • Seorang lelaki warga Hong Kong berusia 25 tahun hampir kerugian bernilai HKD10,000 (RM5,959) selepas diugut menggunakan sebuah klip video seks palsu menggunakan wajahnya pada Mac lalu.
  • “Ia boleh mengambil 30 saat atau seminit untuk penipu merakam muka dan suara anda lalu menyamar sebagai anda”. – Presiden Kehormat Persekutuan Teknologi Maklumat Hong Kong, Francis Fong Po-kiu.

Polis Hong Kong menerima dua laporan penipuan melibatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mencipta video dengan suara dan imej palsu untuk memperdaya mangsa, demikian lapor South China Morning Post.

Seorang lelaki warga Jepun melaporkan kerugian kredit permainan komputer bernilai HKD1700 (RM1013) selepas terperdaya dengan satu akaun Instagram yang didakwa milik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah bank di Hong Kong pada Mei lalu.

Menurutnya, sebuah klip video memaparkan CEO berkenaan ditemu bual dengan seorang penyiar antarabangsa mengenai pelan pelaburan meyakinkannya untuk mengikuti akaun itu dan bermesej dengannya.

Dia hanya menyedari dirinya ditipu selepas membeli kredit itu dan menghubungi ibu pejabat bank berkenaan di Hong Kong untuk mengesahkan ketulenan akaun Instagram tersebut.

Satu lagi laporan membabitkan warga Hong Kong berusia 25 tahun yang hampir kerugian kredit permainan komputer bernilai HKD10,000 (RM5,959) selepas diugut menggunakan sebuah klip video seks palsu menggunakan wajahnya pada Mac lalu.

Perkara itu berlaku selepas dia dan penipu itu berhubung menerusi panggilan video di aplikasi siaran langsung seks daripada sumber yang tidak jelas.

Dia bagaimanapun mengabaikan permintaan penipu itu untuk membeli kredit permainan dan memadamk aplikasi serta rekod perbualan mereka sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.

Polis tidak menyiasat lanjut kerana dia tidak mengalami kerugian, namun pegawai percaya yang penipu itu berjaya meraih imej dan suaranya ketika panggilan video untuk digunakan dalam video seks palsu tersebut.

Inspektor Kanan Tyler Chan Chi-wing dari biro keselamatan siber dan jenayah teknologi mengingatkan orang ramai untuk memerhatikan pergerakan mata dan mulut yang tidak wajar pada sebarang panggilan video.

Bagi menguji ketulenan panggilan video itu, pemanggil perlu diminta untuk menggerakkan jari pada wajah mereka.

Katanya, wajah yang ditiru akan menjadi kabur apabila ada pergerakan jari kerana program tersebut perlu menyesuaikan diri dengan sebarang pergerakan mengejut.

Presiden Kehormat Persekutuan Teknologi Maklumat Hong Kong, Francis Fong Po-kiu pula menjangkakan peningkatan penggunaan AI oleh penipu kerana aksesnya yang sangat mudah dan murah.

Sekeping foto dan rakaman suara beberapa ayat sudah memadai untuk membuat produk palsu dan panggilan video adalah lubuk mendapatkan data yang diperlukan untuk ciptaan jahat mereka.

“Ia boleh mengambil 30 saat atau seminit untuk penipu merakam muka dan suara anda lalu menyamar sebagai anda,” katanya.

Beliau menyenaraikan lebih 20 alat AI yang tersedia untuk menukar wajah dan mengklon suara dengan bayaran langganan kurang daripada AS$100 (RM 466.70) sebulan.

Sumber: South China Morning Post

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *