Antarabangsa
Penceroboh Israel semakin ramai di tebing Barat
Kerajaan ultra nasionalis Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memperbesarkan lagi penempatan Yahudi di Tebing Barat yang diduduki dalam tempoh enam bulan pertama pentadbirannya.
- Kerajaan ultra nasionalis Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memperbesarkan lagi penempatan Yahudi di Tebing Barat yang diduduki dalam tempoh enam bulan pertama pentadbirannya.
- Pemantau anti penempatan Israel, Peace Now berkata jumlah perumahan yang diluluskan bagi penduduk Israel di Tebing Barat yang diduduki kini mungkin lebih banyak berbanding rumah dimiliki warga Palestin.
- Kebanyakan negara tidak mengiktiraf penempatan haram Israel di Tebing Barat, yang dimulakan selepas perang 1967 di Asia Barat, namun pembinaannya diperluaskan selama beberapa dekad dan menjadi pertikaian penting dalam konflik Israel-Palestin.
- Menurut Peace Now, sejak Januari lalu, Israel membina 12,855 unit rumah peneroka Yahudi merentasi Tebing Barat iaitu jumlah tertinggi pernah direkodkan pertubuhan itu sejak memulakan pemantauan pada 2012.
BAITULMAQDIS – Kerajaan ultra nasionalis Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memperbesarkan lagi penempatan Yahudi di Tebing Barat yang diduduki dalam tempoh enam bulan pertama pentadbirannya.
Pemantau anti penempatan Israel, Peace Now, berkata jumlah perumahan yang diluluskan bagi penduduk Israel di Tebing Barat yang diduduki kini mungkin lebih banyak berbanding rumah dimiliki warga Palestin.
Kebanyakan negara tidak mengiktiraf penempatan haram Israel di Tebing Barat, yang dimulakan selepas perang 1967 di Asia Barat, namun pembinaannya diperluaskan selama beberapa dekad dan menjadi pertikaian penting dalam konflik Israel-Palestin.
Menurut Peace Now, sejak Januari lalu, Israel membina 12,855 unit rumah peneroka Yahudi merentasi Tebing Barat iaitu jumlah tertinggi pernah direkodkan pertubuhan itu sejak memulakan pemantauan pada 2012.
“Dalam tempoh enam bulan lalu, ia menjadi satu-satunya sektor yang dibangunkan secara agresif bagi melipat gandakan penempatan Israel,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemimpin Palestin sekian lama berusaha untuk menubuhkan negara bebas di Tebing Barat dengan Gaza dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara tetapi tindakan Israel memperluaskan penempatan haram secara langsung memusnahkan harapan itu.
Amerika Syarikat (AS) selaku sekutu utama dan pengantara dalam perbincangan penubuhan dua negara antara Israel dan Palestin, buntu sejak 2014 dan berulang kali menentang tindakan Israel memperluaskan penempatan haram mereka.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) , sekitar 700,000 peneroka Yahudi kini menetap 279 penempatan merentasi Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, meningkat daripada 520,000 peneroka pada 2012.
Pada masa sama, lebih tiga juta warga Palestin tinggal di kawasan sama di bawah pentadbiran tentera Israel, yang disamakan sesetengah kumpulan hak asasi manusia kepada sistem apartheid.
Israel mendakwa tuntutan penempatan itu adalah berasaskan faktor sejarah dan agama serta menafikan ia mengamalkan dasar apartheid terhadap warga Palestin.
Netanyahu, yang mengetuai kerajaan gabungan berhaluan kanan, menafikan tindakan memperluaskan penempatan itu menjejaskan rundingan damai dengan Palestin.
Sumber: Berita Harian