Antarabangsa
Pakar PBB kecam penahanan puluhan ribu kanak-kanak di Syria
Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan terhadap nasib puluhan ribu kanak-kanak yang ditahan di timur laut Syria atas dakwaan ada hubungan dengan kumpulan Daesh dan melanggar undang-undang antarabangsa.
- Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan terhadap nasib puluhan ribu kanak-kanak ditahan di timur laut Syria atas dakwaan ada hubungan dengan kumpulan Daesh dan melanggar undang-undang antarabangsa.
- Wakil Khas PBB, Fionnuala Ni Aolain, berkata penahanan kanak-kanak dilakukan secara besar-besaran tanpa had dan sewenang-wenangnya terutama kanak-kanak lelaki.
- Katanya, penahanan mereka di kem, penjara dan pusat hanyalah berdasarkan dakwaan ancaman keselamatan berikutan hubungan mereka atau ibu bapa mereka dengan kumpulan Daesh.
- “Keadaan di dalam kem sangat mengerikan, melampau dan istilah kem tidak sesuai kerana keadaan suhu mencapai 50 darjah Celsius, selain tidak bebas untuk keluar masuk.
- Pada Februari lalu, pakar hak asasi manusia PBB menyatakan kebimbangan yang mendalam mengenai laporan bahawa sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak lelaki dibawa lari dari kem lain, Roj, oleh pihak berkuasa di timur laut Syria.
GENEVA: Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan terhadap nasib puluhan ribu kanak-kanak yang ditahan di timur laut Syria atas dakwaan ada hubungan dengan kumpulan Daesh dan melanggar undang-undang antarabangsa.
Wakil Khas PBB, Fionnuala Ni Aolain, berkata penahanan kanak-kanak dilakukan secara besar-besaran tanpa had dan sewenang-wenangnya terutama kanak-kanak lelaki.
Katanya, penahanan mereka di kem, penjara dan pusat hanyalah berdasarkan dakwaan ancaman keselamatan berikutan hubungan mereka atau ibu bapa mereka dengan kumpulan Daesh.
“Keadaan di dalam kem sangat mengerikan, melampau dan istilah kem tidak sesuai kerana keadaan suhu mencapai 50 darjah Celsius, selain tidak bebas untuk keluar masuk.
“Nampaknya tidak ada pemahaman bahawa ia adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa secara mutlak dan tindakan itu dilihat seperti tidak berkesudahan,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ni Aolain dilaporkan melawat timur laut Syria iaitu lawatan pertamanya ke rantau itu.
Antara tempat yang dilawatinya ialah kem al-Hol yang dikendalikan oleh Kurdish, yang menempatkan kira-kira 55,000 orang termasuk 31,000 kanak-kanak.
Di dalam kem itu juga terdapat warganegara pihak ketiga dari negara-negara barat walaupun terdapat tekanan PBB untuk membawa mereka kembali.
Kawasan timur laut Syria termasuk al-Hol berada di bawah kawalan Pasukan Demokratik Syria (SDF), kumpulan yang disokong Amerika Syarikat (AS).
Seorang pegawai berkaitan dengan SDF enggan mengulas lanjut.
Ni Aolain juga menyuarakan kebimbangan mengenai pemisahan ratusan remaja lelaki daripada ibu mereka di kem atas dakwaan risiko keselamatan ditimbulkan.
“Setiap wanita yang saya temui menjelaskan ia adalah penculikan kanak-kanak yang boleh memberi kesan psikologi teruk kepada mangsa.
“Tidak ada alasan rasional untuk menahan kanak-kanak ini atas dakwaan itu,” katanya.
Pada Februari lalu, pakar hak asasi manusia PBB menyatakan kebimbangan yang mendalam mengenai laporan bahawa sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak lelaki dibawa lari dari kem lain, Roj, oleh pihak berkuasa di timur laut Syria.
Kumpulan pakar itu berkata, terdapat corak mengalihkan budak lelaki berusia 10 atau 12 tahun secara paksa dari kem, memisahkan mereka daripada ibunya dengan membawa ke lokasi tidak diketahui yang disifatkan menyalahi undang-undang.
Bagaimanapun pentadbiran autonomi yang bergabung dengan SDF menafikan perkara itu dengan alasan kanak-kanak itu berada pada usia paling berisiko dipengaruhi oleh ekstremisme dan diletakkan di pusat pemulihan.
Sumber: Berita Harian