Terkini
Muafakat Nasional selar Kor Ming, King Sing keluar kenyataan hasutan untuk jadi jaguh
Muafakat Nasional (MN) menyelar tindakan dilakukan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dalam kes kompaun melibatkan seorang peniaga wanita bukan Islam di Kota Bharu, Kelantan, minggu lalu.
- Muafakat Nasional (MN) menyelar tindakan dilakukan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dalam kes kompaun melibatkan seorang peniaga wanita bukan Islam di Kota Bharu, Kelantan, minggu lalu.
- Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pemimpin di peringkat Persekutuan tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, hanya kerana ingin menjadi jaguh yang mempertahankan bangsa tertentu.
- “Nasihat saya kepada kedua-dua menteri ini, sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi, fikir dahulu impak yang akan timbul akibat kata-kata mereka. Keharmonian rakyat Malaysia berbilang kaum harus dipelihara, dan tidak perlu kita mempolitikkan setiap isu yang pada dasarnya boleh diselesaikan secara musyawarah serta kesepakatan bersama,” katanya.
KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) menyelar tindakan dilakukan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dalam kes kompaun melibatkan seorang peniaga wanita bukan Islam di Kota Bharu, Kelantan, minggu lalu.
Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pemimpin di peringkat Persekutuan tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, hanya kerana ingin menjadi jaguh yang mempertahankan bangsa tertentu.
“Nasihat saya kepada kedua-dua menteri ini, sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi, fikir dahulu impak yang akan timbul akibat kata-kata mereka.
“Keharmonian rakyat Malaysia berbilang kaum harus dipelihara, dan tidak perlu kita mempolitikkan setiap isu yang pada dasarnya boleh diselesaikan secara musyawarah serta kesepakatan bersama,” katanya.
Terdahulu, seorang peniaga wanita bukan Islam dikompaun Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) kerana berpakaian tidak sopan, apabila hanya mengenakan seluar pendek di paras punggung ketika berada di tempat awam.
Sehubungan itu, Kor Ming meminta MPKB supaya menarik semula kompaun dikeluarkan terhadap peniaga wanita itu.
King Sing pula dalam satu kenyataan berbeza mendesak kepimpinan PAS Kelantan mencontohi negara Islam lain yang lebih maju dalam sektor pelancongan.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, tindakan dilakukan Kor Ming yang mencampuri urusan pihak berkuasa tempatan (PBT) tanpa sebab serta bukti yang kukuh telah mengganggu sistem pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.
Tegasnya, campur tangan itu akan mengeruhkan lagi hubungan antara kerajaan negeri serta Persekutuan yang pada ketika ini berada pada keadaan kritikal.
“Tindakan Menteri KPKT ini juga seolah-olah ingin mencetuskan prejudis antara kaum di negeri Kelantan Darul Naim, sedangkan sejak sebelum merdeka lagi rakyat pelbagai kaum di negeri Pantai Timur tersebut hidup dalam keadaan harmoni.
“Negeri itu juga masih aman serta tenteram walaupun ditadbir oleh pemimpin konservatif Muslim yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya.
Mengulas kenyataan King Sing pula, Zuraida menegaskan, kenyataan yang dikeluarkan pemimpin dari Sarawak itu disifatkan sebagai melulu dan tidak bertanggungjawab.
“Sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan, seorang menteri Persekutuan haruslah menyatakan fakta yang jelas.
“Perkara itu nampaknya tidak dilakukan oleh King Sing sekalipun beliau mempunyai akses penuh kepada data pelancongan negara sama ada domestik atau antarabangsa,” katanya.
Sumber: Getaran