Antarabangsa
Miliki 42,000 imej lucah kanak-kanak, lelaki pedofilia mengaku ‘wanita’ ditangkap lagi
Seorang pedofil di Britain dipenjarakan sekali lagi atas lima pertuduhan membuat imej lucah kanak-kanak dan sembilan pelanggaran perintah pencegahan kemudaratan seksualnya.
- Stuart Bulling, seorang pedofil di Britain yang mengaku dirinya seorang wanita, dipenjarakan sekali lagi atas lima pertuduhan membuat imej lucah kanak-kanak dan sembilan pelanggaran perintah pencegahan kemudaratan seksualnya.
- Tuduhan terbaharu ini dibuat selepas pihak polis mendapati Stuart memiliki lebih 42,000 imej kanak-kanak.
- Sejak tahun 2003, Stuart telah ditangkap beberapa kali atas kesalahan perlakuan seksual terhadap golongan bawah umur.
Seorang pedofil di Britain dipenjarakan sekali lagi atas lima pertuduhan membuat imej lucah kanak-kanak dan sembilan pelanggaran perintah pencegahan kemudaratan seksualnya.
Stuart Bulling, yang mendakwa dirinya seorang wanita, sebelum ini disabitkan 11 kesalahan dari 57 pertuduhan penderaan seksual kanak-kanak pada Mac lalu.
Dia yang mengaku bersalah bagaimanapun enggan hadir pada perbicaraan hukumannya di Mahkamah Preston Crown pada 23 Jun lalu.
Tuduhan terbaharu ini dibuat selepas pihak polis mendapati Stuart memiliki lebih 42,000 imej kanak-kanak.
Polis melawat rumah Stuart tahun lalu untuk memeriksa perantinya mengikut syarat hukuman dijalaninya sebelum ini.
Pada mulanya, Stuart menafikan mempunyai peranti dan telefon bimbitnya yang telah diisytiharkan.
Bagaimanapun, pegawai polis dengan cepat berjaya menemui tiga kad SD yang diakui Stuart mengandungi “perkara buruk” serta beberapa peranti lain dipautkan ke internet yang belum diisytiharkan kepada pihak polis.
Mengikut pengkategorian imej lucah di Britain, kategori A melibatkan aksi seksual dengan penetrasi, sadis atau tidak berperikemanusian.
Kategori B pula melibatkan aksi seksual tanpa penetrasi, manakala kategori C melibatkan imej erotik kanak-kanak.
Setakat ini, polis menemui sebanyak 125 imej kategori A, 93 imej kategori B, dan 42,587 imej kategori C.
Lebih menjijikkan, beberapa kanak-kanak dalam imej yang ditemui berusia seawal 3 tahun.
Pihak polis juga masih belum selesai melengkapkan pengkategorian imej-imej berkenaan susulan jumlahnya yang terlalu banyak, dengan lebih 34,000 imej masih belum disemak.
Stuart pernah dipenjarakan pada 2003 kerana serangan tidak senonoh serta memiliki lebih 9000 imej tidak senonoh kanak-kanak, dan juga pada tahun 2008 atas kesalahan yang sama.
Ketika serbuan rumahnya tahun itu, polis menemui sepasang seluar dalam kanak-kanak di bawah katilnya, skirt, pakaian renang, beg yang penuh dengan pakaian dalam kanak-kanak dan stokin perempuan serta potongan gambar pelajar sekolah dari surat khabar dan majalah.
Pada 2011, Stuart ditangkap kerana memegang punggung seorang gadis muda di sebuah pasaraya.
Stuart sekali lagi ditangkap pada 2019 kerana mengekori gadis-gadis muda di sebuah pasaraya dan mengambil gambar di bawah skirt mereka.
Walaupun dengan sejarah kelakuan pedofilnya, peguamnya berhujah yang Stuart “bukan risiko besar untuk kecederaan serius untuk mewajarkan hukuman lanjutan” ketika perbicaraan hukuman pada 2019.
Kurang sebulan selepas dibebaskan dari penjara untuk sabitan 2019, Stuart didapati telah berhubung dengan pedofil lain.
Sumber: Reduxx