Antarabangsa
Masjid dirosakkan, bir ditumpahkan ke atas mushaf al-Quran
Sebuah masjid di New Mexico, Amerika Syarikat (AS) dirosakkan berkali-kali dan penganut Islam meminta pihak polis menyiasat insiden itu sebagai jenayah kebencian.

- Sebuah masjid di New Mexico, Amerika Syarikat (AS) dirosakkan berkali-kali dan penganut Islam meminta pihak polis menyiasat insiden itu sebagai jenayah kebencian.
- Menurut laporan Middle East Eye, Pusat Islam Portales, New Mexico diceroboh minggu lalu dan penceroboh didakwa mengoyakkan beberapa mushaf al-Quran dan menuang bir di halamannya.
- Mereka juga didakwa menikam lubang di dinding, memusnahkan perabot, meninggalkan sampah dan meletakkan lukisan berbingkai Jesus Christ di atas timbunan barangan di masjid itu.
Sebuah masjid di New Mexico, Amerika Syarikat (AS) dirosakkan berkali-kali dan penganut Islam meminta pihak polis menyiasat insiden itu sebagai jenayah kebencian.
Menurut laporan Middle East Eye, Pusat Islam Portales, New Mexico diceroboh minggu lalu dan penceroboh didakwa mengoyakkan beberapa mushaf al-Quran dan menuang bir di halamannya.
Mereka juga didakwa menikam lubang di dinding, memusnahkan perabot, meninggalkan sampah dan meletakkan lukisan berbingkai Jesus Christ di atas timbunan barangan di masjid itu.
Beberapa hari kemudian pada 23 Jun, penceroboh dikatakan memasuki masjid sekali lagi dan merosakkan unit penghawa dingin bangunan itu dengan nilai kerosakan mencecah $40,000 (RM184,278), lapor KRQE News.
Dalam satu lagi insiden di masjid itu, perkataan ‘KKK’ diconteng di dinding, merujuk kepada kumpulan ketuanan kulit putih ‘Ku Klux Klan’.

Foto: Gambar perkataan ‘KKK’ diconteng di dinding, merujuk kepada kumpulan ketuanan kulit putih ‘Ku Klux Klan’, (kiri) dan perabot yang dimusnahkan (kanan).
Ketua Polis Portales dalam kenyataannya berkata insiden itu tidak mungkin dikategorikan sebagai jenayah kebencian.
“Penyiasat kami terus menyiasat insiden ini tanpa mengira sama ada ia jenayah kebencian atau bukan,” kata Christopher Williams kepada KRQE.
Katanya, jika jenayah kebencian ditentukan dalam insiden itu, maka garis panduan New Mexico menetapkan akan ada peningkatan hukuman dan bukan pertuduhan jenayah yang berasingan.
“Pada masa ini kerosakan adalah sangat serupa dengan bangunan kosong lain di kawasan itu yang menyebabkan kami percaya ini lebih berkemungkinan bukan jenayah kebencian… sebarang kemungkinan petunjuk sedang disusuli dan kawasan itu juga dipantau,” katanya.
Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR), organisasi hak sivil dan advokasi Islam terbesar negara, bagaimanapun percaya insiden itu adalah jenayah kebencian dan menggesa pihak berkuasa menyiasatnya.
“Kami mengecam serangan ke atas rumah ibadat ini dan berdiri dalam solidariti dengan saudara dan saudari kami di Portales. Berdasarkan tindakan penceroboh, kami menyeru pihak penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat kemungkinan motif berat sebelah bagi jenayah ini,” kata CAIR dalam satu kenyataan.
Sumber: Middle East Eye
