Terkini
Lantik senator wakil wartawan di Dewan Negara – Tokoh Wartawan Negara
Negara tidak memerlukan pewujudan akta baharu bagi menangani isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R), kata Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.
- Negara tidak memerlukan pewujudan akta baharu bagi menangani isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R), kata Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.
- Beliau berkata, ini disebabkan negara ini sudah mempunyai akta yang mencukupi seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- “Yang kita risaukan akta itu bertindih antara satu sama lain. Saya fikir apa yang ada sekarang ini sudah mencukupi untuk melindungi sebarang usaha mempersoalkan atau membangkitkan isu 3R,” katanya kepada pemberita pada Forum Media Nasional 2023 anjuran Malaysian Press Institute (MPI) di sini, semalam.
- Johan turut mencadangkan kepada kerajaan empat perkara iaitu pertamanya mewujudkan akta seperti News Media and Digital Platform Mandatory Bargaining Code di Australia atau Online News Act di Kanada dengan kadar segera.
- Johan berkata, cadangan beliau yang ketiga adalah melantik seorang senator mewakili komuniti wartawan di Dewan Negara.
- “Orang mengatakan (Datuk) Ras Adiba Radzi itu mewakili media, tetapi saya fikir dia mewakili orang kurang upaya (OKU). Saya fikir kita tak ada wakil media di Dewan Negara sejak sekian lama,” katanya.
Kuala Lumpur: Negara tidak memerlukan pewujudan akta baharu bagi menangani isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R), kata Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.
Beliau berkata, ini disebabkan negara ini sudah mempunyai akta yang mencukupi seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Saya fikir tak perlu lagi akta lain ditambah. Akhirnya kita berdepan dengan situasi apabila ada satu keperluan, kita tambah satu lagi akta.
“Yang kita risaukan akta itu bertindih antara satu sama lain. Saya fikir apa yang ada sekarang ini sudah mencukupi untuk melindungi sebarang usaha mempersoalkan atau membangkitkan isu 3R,” katanya kepada pemberita pada Forum Media Nasional 2023 anjuran Malaysian Press Institute (MPI) di sini, semalam.
Johan terdahulu bertindak menjadi moderator dalam salah satu daripada dua forum itu.
Sebelum ini dilaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bahawa beliau akan mengadakan pertemuan pertama dengan pihak berkaitan bagi meneliti serta memperhalusi cadangan mewujudkan akta baharu berkaitan 3R.
Dalam pada itu, Johan turut mencadangkan kepada kerajaan empat perkara iaitu pertamanya mewujudkan akta seperti News Media and Digital Platform Mandatory Bargaining Code di Australia atau Online News Act di Kanada dengan kadar segera.
“Ini adalah bagi memastikan bahawa syarikat media tempatan mendapat manfaat daripada berita-berita yang disalurkan misalnya di Google, Facebook dan sebagainya.
“Hal ini perlu dilakukan. Ini membabitkan soal kemampanan bagi syarikat-syarikat media. Jalan telah ditunjukkan oleh Australia,” katanya.
Cadangan kedua katanya, adalah dengan penghapusan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 seperti yang sebelum ini pernah dinyatakan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto gabungan itu.
“Dengan itu kita akan memastikan satu suasana dan ekosistem kebebasan yang luar biasa. Kita perlukan yang ini.
“Sebarang usaha akta yang boleh mengekang kebebasan media, itu akan merugikan negara,” katanya.
Johan berkata, cadangan beliau yang ketiga adalah melantik seorang senator mewakili komuniti wartawan di Dewan Negara.
“Orang mengatakan (Datuk) Ras Adiba Radzi itu mewakili media, tetapi saya fikir dia mewakili orang kurang upaya (OKU). Saya fikir kita tak ada wakil media di Dewan Negara sejak sekian lama,” katanya.
Cadangan yang keempat kata Johan adalah mewujudkan sebuah Kursi Kewartawanan di mana-mana universiti utama negara ini seperti Universiti Malaya (UM) atau Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau berkata, pengwujudan kursi itu adalah bagi memastikan dunia kewartawanan dihormati dan dihargai.
Sumber: Harian Metro