Antarabangsa
Krisis kebuluran ancam nyawa 3.1 juta kanak-kanak Sudan
Peningkatan ketidakjaminan makanan di Sudan Selatan memburukkan lagi ancaman kepada nyawa 3.1 juta kanak-kanak yang memerlukan perlindungan segera, kata pegawai.
- Peningkatan ketidakjaminan makanan di Sudan Selatan memburukkan lagi ancaman kepada nyawa 3.1 juta kanak-kanak yang memerlukan perlindungan segera, kata pegawai.
- Timbalan Setiausaha Kementerian Jantina, Kanak-kanak dan Kebajikan Masyarakat Sudan Selatan, Esther Ikere Ladu berkata kekurangan makanan telah mendorong kanak-kanak ke jalanan.
- “Apa yang mendorong kanak-kanak keluar ke jalanan adalah (kekurangan) makanan dan keganasan di rumah kerana anda mendapati semasa konflik (di Sudan Selatan), beberapa ibu menjadi balu dan ada yang memutuskan untuk berkahwin, dan rumah mungkin tidak kondusif untuk kanak-kanak,” Ladu dilaporkan sebagai berkata oleh Agensi Anadolu.
Juba (Sudan Selatan): Peningkatan ketidakjaminan makanan di Sudan Selatan memburukkan lagi ancaman kepada nyawa 3.1 juta kanak-kanak yang memerlukan perlindungan segera, kata pegawai.
Timbalan Setiausaha Kementerian Jantina, Kanak-Kanak dan Kebajikan Masyarakat Sudan Selatan, Esther Ikere Ladu berkata kekurangan makanan telah mendorong kanak-kanak ke jalanan.
“Apa yang mendorong kanak-kanak keluar ke jalanan adalah (kekurangan) makanan dan keganasan di rumah kerana anda mendapati semasa konflik (di Sudan Selatan), beberapa ibu menjadi balu dan ada yang memutuskan untuk berkahwin, dan rumah mungkin tidak kondusif untuk kanak-kanak,” Ladu dilaporkan sebagai berkata oleh Agensi Anadolu.
Pengamal perlindungan kanak-kanak dan keselamatan makanan di Sudan Selatan menggesa penderma, kerajaan dan komuniti kemanusiaan untuk memastikan krisis keselamatan makanan tidak mengancam nyawa dan perlindungan kanak-kanak perempuan dan lelaki.
“Adalah penting untuk menekankan bahawa pelbagai krisis di Sudan Selatan adalah krisis perlindungan kanak-kanak. Konflik, ekonomi, perpindahan akibat iklim terutamanya ketidakjaminan makanan meningkatkan risiko dan kerentanan untuk keganasan berasaskan seksual dan jantina, perkahwinan kanak-kanak, penculikan dan isu kesihatan mental,” kata Timbalan Perwakilan, UNICEF Sudan Selatan, Obia Achieng.
Sementara itu, Setiausaha Pertama di Kedutaan Republik Persekutuan Jerman di Juba, Leon Kohl berkata dianggarkan 6.1 juta penduduk akan atau sedang menghadapi risiko perlindungan dan pencabulan pada 2023, dengan 3.1 juta kanak-kanak memerlukan segera perlindungan menyelamatkan nyawa dan mengekalkan nyawa.
Beliau mendedahkan 3.3 juta kanak-kanak tinggal dalam isi rumah yang tidak mempunyai keupayaan konsisten untuk membeli makanan yang mencukupi.
“Perkhidmatan perlindungan kanak-kanak amat mengejutkan, 2.8 juta kanak-kanak tidak bersekolah, 46 peratus kanak-kanak terlibat dalam buruh kanak-kanak dan seorang daripada setiap dua kanak-kanak perempuan berkahwin sebelum umur 18 tahun,” tambahnya.
Sumber: Harian Metro