Antarabangsa
Dua penunjuk perasaan bakar al-Quran di luar kedutaan Iraq di Denmark
Dua penunjuk perasaan membakar salinan kitab suci Islam, al-Quran di hadapan Kedutaan Iraq di ibu negara Denmark, Copenhagen.
- Dua penunjuk perasaan membakar salinan kitab suci Islam, al-Quran di hadapan Kedutaan Iraq di ibu negara Denmark, Copenhagen.
- Lelaki dari kumpulan Patriot Denmark itu dilaporkan memijak al-Quran dan meletakkannya di dalam dulang kerajang timah bersebelahan bendera Iraq yang terletak di atas tanah pada Isnin.
- Sejurus insiden itu, Kementerian Luar Iraq menyeru pihak berkuasa negara-negara di Kesatuan Eropah untuk “segera mempertimbangkan semula apa yang dipanggil kebebasan bersuara dan hak untuk berdemonstrasi”, menurut agensi berita negara Iraq, INA.
Dua penunjuk perasaan membakar salinan kitab suci Islam, al-Quran di hadapan Kedutaan Iraq di ibu negara Denmark, Copenhagen.
Menurut laporan AlJazeera, lelaki dari kumpulan Patriot Denmark itu dilaporkan memijak al-Quran dan meletakkannya di dalam dulang kerajang timah bersebelahan bendera Iraq yang terletak di atas tanah pada Isnin.
Sejurus insiden itu, Kementerian Luar Iraq menyeru pihak berkuasa negara-negara di Kesatuan Eropah untuk “segera mempertimbangkan semula apa yang dipanggil kebebasan bersuara dan hak untuk berdemonstrasi”, menurut agensi berita negara Iraq, INA.
Kumpulan berhaluan kanan ultra nasionalis Patriot Denmark itu juga dilaporkan mengadakan demonstrasi sama minggu lalu dan menyiarkan acara itu secara langsung di Facebook.
Selepas insiden minggu lalu, Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen mengutuknya sebagai tindakan ‘kebodohan’ oleh segelintir individu dan memberitahu penyiar kebangsaan DR, “Ia adalah satu tindakan yang memalukan untuk menghina agama orang lain”.
“Ini terpakai kepada pembakaran al-Quran dan simbol agama lain. Ia tidak mempunyai tujuan lain selain untuk mencetuskan dan mewujudkan perpecahan,” kata menteri luar berkenaan.
Rasmussen bagaimanapun berkata membakar buku agama bukanlah satu jenayah di Denmark.
Ketegangan antara negara Islam dan kedua-dua negara Skandinavia itu semakin memuncak bulan lalu selepas seorang pelarian Kristian-Iraq berusia 37 tahun di Sweden, Salwan Momika, membakar salinan al-Quran pada Hari Raya Aidiladha.
Sumber: AlJazeera