Antarabangsa
Asia Tenggara masih terdedah ancaman pengganas, radikalisasi
Pihak berkuasa Singapura semalam memberi amaran bahawa penahanan empat individu di Indonesia, dipercaya pengganas dari Uzbekistan, mungkin menandakan Asia Tenggara kekal terdedah kepada bahaya radikalisasi.
- Pihak berkuasa Singapura semalam memberi amaran bahawa penahanan empat individu di Indonesia, dipercaya pengganas dari Uzbekistan, mungkin menandakan Asia Tenggara kekal terdedah kepada bahaya radikalisasi.
- Mengenai suspek yang ditahan itu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura (ISD) memaklumkan keempat-empat suspek berusia dalam lingkungan 26 hingga 40 tahun dan pertama kali ditangkap di Jakarta, Indonesia pada 24 Mac lalu.
- Difahamkan, tiga daripada suspek terbabit adalah anggota tempur terlatih dari kumpulan militan Katiba Tawhid Wal Jihad (KTWJ) yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.
- Seorang lagi suspek dipercayai menjadi individu yang menyediakan bantuan kewangan dan dokumen perjalanan palsu kepada yang lain.
SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura semalam memberi amaran bahawa penahanan empat individu di Indonesia, dipercaya pengganas dari Uzbekistan, mungkin menandakan Asia Tenggara kekal terdedah kepada bahaya radikalisasi.
Mengenai suspek yang ditahan itu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura (ISD) memaklumkan keempat-empat suspek berusia dalam lingkungan 26 hingga 40 tahun dan pertama kali ditangkap di Jakarta, Indonesia pada 24 Mac lalu.
Difahamkan, tiga daripada suspek terbabit adalah anggota tempur terlatih dari kumpulan militan Katiba Tawhid Wal Jihad (KTWJ) yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.
Seorang lagi suspek dipercayai menjadi individu yang menyediakan bantuan kewangan dan dokumen perjalanan palsu kepada yang lain.
Menurut ISD dalam Laporan Penilaian Ancaman Keganasan tahunannya, tiga suspek yang keluar dari pusat tahanan bertindak membunuh seorang pegawai polis Indonesia dan mencederakan tiga yang lain.
Dua suspek berjaya diberkas semula dan seorang lagi lemas ketika meloloskan diri.
Laporan itu, yang mengambil kira persekitaran keselamatan di wilayah berkenaan, menyatakan salah seorang suspek bertanggungjawab merekrut dan menghantar calon operatif ke KTWJ sewaktu ia berpangkalan di Turkiye.
Kesemua mereka tiba secara berasingan di Indonesia pada Februari lalu dari Istanbul, kemudian transit melalui Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia.
ISD berkata, suspek menyebarkan bahan propaganda pelampau untuk merekrut warga Indonesia yang berfikiran sama bagi melakukan serangan pengganas di Indonesia.
Seorang suspek pula dilapor berkahwin dengan seorang wanita warga Indonesia di Bandung, Jawa Barat, sebagai cara untuk memudahkan perjalanan keempat-empat suspek ke Nusantara.
Pada 10 April lalu, selepas penahanan mereka, tiga daripada suspek melarikan diri dari kemudahan tahanan imigresen di Jakarta.
Berdasarkan laporan media tempatan, semasa meloloskan diri, mereka sempat mencuri pisau dari pantri di pusat tahanan berkenaan dan bertindak menikam seorang pegawai imigresen selain mencederakan tiga yang lain.
Kejadian berlaku semasa Ramadan, ketika umat Islam berpuasa.
Suspek juga dilaporkan memecahkan siling bilik tempat mereka ditahan dan menyerang pegawai yang sedang menjamu selera sebelum waktu Subuh.
Polis memburu mangsa yang melarikan diri itu dan berjaya menangkap semula individu terbabit, manakala seorang lagi lemas selepas terjun ke dalam sungai.
Berikutan kebanyakan negara menarik balik sekatan perjalanan rentas sempadan akibat COVID-19, ISD memberi amaran terdapat potensi individu terpengaruh dengan anasir radikal menyemak semula rancangan mereka untuk pergi ke zon konflik untuk menjadi pengganas asing.
ISD turut menganggarkan terdapat 600 warga Asia Tenggara dikaitkan dengan kumpulan pengganas Daesh di Iraq dan Syria, di mana mereka berkemungkinan akan kekal berpangkalan di negara itu.
Individu terbabit boleh berada di sana untuk menjalankan latihan. Ada yang berhubung dengan penyokong di rantau ini menggunakan media sosial dan kaedah itu boleh membantu memudahkan perjalanan.
ISD juga menekankan kes seumpamanya turut berlaku di Yaman dan Afghanistan, di mana individu berkenaan bertapak dalam pertubuhan pengganas tertentu.
Dari situ, mereka menjadi jambatan kepada rangkaian keganasan global dan kumpulan militan serantau bagi penukaran kepakaran, malah membantu melancarkan serangan pengganas di tanah air sendiri.
Sumber: Berita Harian