Terkini
Tidak fasih bahasa Melayu punca diskriminasi kaum dalam pekerjaan – Boss James
Tidak fasih berbahasa Melayu antara punca berlakunya diskriminasi kaum di mana terdapat segelintir majikan memilih mengambil pekerja sesama bangsa.

- Pengarah Urusan Berjaya Mega Motors, James Ng atau dikenali Boss James berkata terdapat sebahagian majikan Cina mengambil pekerja sesama bangsa kerana tidak sukar untuk berkomunikasi atau memahami antara satu sama lain berbanding bangsa lain.
- “Kalau dia tak pandai berbahasa Melayu macam mana dia nak berkomunikasi dengan Melayu? Mungkin dia tidak sengaja nak mendiskriminasi tetapi kerana kekurangan dia berkomunikasi menyebabkan dia lebih memilih pekerja Cina.
- “Padahal sebenarnya memang ada pekerja Melayu atau India lebih pandai dalam sesetengah sektor contoh mekanik, sales dan management levels walaupun staf saya Melayu dia boleh menjaga staf lain dengan baik, dia manager team saya,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times di Sinar Harian pada Jumaat lalu.
- Isu diskriminasi ini boleh ditangani sekiranya semua pihak ada ‘kesanggupan’ (bersedia) untuk berbincang dan mengeluarkan input masing-masing.
- Beliau menyarankan kelompok tidak fasih berbahasa Melayu mempelajari, mengamal dan memahami bahasa kebangsaan agar permasalahan seperti diskriminasi kaum dalam pekerjaan ini dapat ditangani pada masa depan.
KUALA LUMPUR — Tidak fasih berbahasa Melayu antara punca berlakunya diskriminasi kaum di mana terdapat segelintir majikan memilih mengambil pekerja sesama bangsa.
Pengarah Urusan Berjaya Mega Motors, James Ng atau dikenali Boss James berkata terdapat sebahagian majikan Cina mengambil pekerja sesama bangsa kerana tidak sukar untuk berkomunikasi atau memahami antara satu sama lain berbanding bangsa lain.
“Kalau dia tak pandai berbahasa Melayu macam mana dia nak berkomunikasi dengan Melayu? Mungkin dia tidak sengaja nak mendiskriminasi tetapi kerana kekurangan dia berkomunikasi menyebabkan dia lebih memilih pekerja Cina.
“Padahal sebenarnya memang ada pekerja Melayu atau India lebih pandai dalam sesetengah sektor contoh mekanik, sales dan management levels walaupun staf saya Melayu dia boleh menjaga staf lain dengan baik, dia manager team saya,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times di Sinar Harian pada Jumaat lalu.
Beliau ditemui ketika menjadi panelis program Di Sebalik Isu Bersama Finaz Yunus bertajuk ‘Diskriminasi Kaum Masih Wujud Dalam Dunia Pekerjaan?’ yang turut dihadiri Felo kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Ahmad Yazid Othman pada Jumaat lalu.
Mengulas lanjut, Boss James berkata isu diskriminasi ini boleh ditangani sekiranya semua pihak ada ‘kesanggupan’ (bersedia) untuk berbincang dan mengeluarkan input masing-masing.
Beliau turut menyarankan kelompok tidak fasih berbahasa Melayu mempelajari, mengamal dan memahami bahasa kebangsaan supaya permasalahan seperti diskriminasi kaum dalam pekerjaan dapat ditangani.
“Saya rasa kadang-kadang bukan mereka tak nak belajar bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan kita tapi mereka tidak biasa.
“Yang mereka belajar mungkin dalam buku teks sahaja bahasa itu (bahasa Melayu) so contoh eh dalam etnik Cina selain daripada bahasa Cina, ada Mandarin, Kantonis, Hokkein dan Hakka empat ini ayat yang berlainan mungkin nampak macam sama tapi maknanya berlainan.
“So bagi saya daripada level-level sekolah patutlah kita amalkan supaya lebih open minded untuk berkongsi pengalaman ataupun berkomunikasi dengan kaum berlainan,” katanya.
Boss James berkata apabila kelompok ini terbiasa berkomunikasi menggunakan bahasa sama, maka mereka akan lebih mudah untuk mengadakan kerjasama ketika bekerja. — The Merdeka Times
