Antarabangsa
Seorang lagi wartawan Palestin ditembak Zionis Israel
Seorang wartawan Palestin, Momen Samreen ditembak tentera Zionis Israel ketika sedang bertugas di Ramallah semalam.
- Seorang wartawan Palestin, Momen Samreen ditembak tentera Zionis Israel ketika sedang bertugas di Ramallah semalam
- Momen sengaja ditembak dalam keadaan lengkap memakai seragam petugas media.
- Dia kini mengalami pendarahan otak dan kini dalam keadaan yang tidak stabil
- Kejadian itu dilaporkan seorang wartawan lapangan bebas Palestin, Younis Tirawi yang berkongsi video di Twitternya.
- Sebelum ini, wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh mati ditembak ketika bertugas di kota Jenin, Tebing Barat Palestin pada 2022.
Seorang wartawan Palestin, Momen Samreen ditembak tentera Zionis Israel ketika sedang bertugas di Ramallah semalam.
Menurut seorang lagi wartawan Palestin, Younis Tirawi, Momen sengaja ditembak dalam keadaan lengkap memakai seragam petugas media.
Younis yang merupakan seorang wartawan lapangan bebas itu berkongsi video kejadian itu menerusi akaun Twitternya.
Dalam video itu, Momen yang sudah ditembak itu dilihat sedang diusung oleh beberapa individu dan petugas media lain.
Momen mengalami pendarahan otak dan kini dalam keadaan yang tidak stabil, demikian perkembangan yang dilaporkan di Twitter Younis setakat ini.
Kejadian petugas media ditembak tentera Zionis bukanlah sesuatu yang baharu.
Terdahulu, wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh mati ditembak ketika bertugas di kota Jenin, Tebing Barat Palestin pada 2022.
Seorang jurukamera Palestin, Muath Armaneh pula terpaksa hidup bergantung pada sebelah mata sahaja akibat mata kirinya ditembak ketika bertugas pada 2019.
Menurut Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL), petugas media diklasifikasikan sebagai non-combatant yang dikelompokkan sebagai orang awam dan tidak boleh dijadikan sasaran.
Pemakaian jaket tertera perkataan “Press” pula membuktikan mereka memenuhi prinsip distinction bagi membolehkan pihak tentera Israel membezakan mereka dengan penunjuk perasaan. – The Merdeka Times
Sumber: Twitter Younis Tirawi