Terkini
Senaraikan Bak Kut Teh makanan warisan negara – Huazong
Kerajaan diharap menyenaraikan Bak Kut Teh sebagai makanan warisan kebangsaan bagi menunjukkan kepelbagaian budaya di Malaysia.
- Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong), Tan Sri Goh Tian Chuan berharap kerajaan menyenaraikan Bak Kut Teh sebagai makanan warisan kebangsaan bagi menunjukkan kepelbagaian budaya Malaysia.
- Tian Chuan menyokong tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Teo King Sing yang mengarahkan pegawai kementeriannya untuk mengkaji isu menyenaraikan Bak Kut Teh sebagai makanan warisan negara.
- Tian Chuan berkata terdapat “Bak Kut Teh halal” di pasaran yang boleh dinikmati Muslim seperti “Bak Kut Teh Ayam”, “Bak Kut Teh Makanan Laut“ dan “Bak Kut Teh Roti”.
- Pada 7 Jun lalu, isu Bak Kut Teh menjadi tumpuan di Dewan Rakyat selepas kewajarannya diangkat sebagai makanan kebangsaan dipersoalkan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah ekoran isu sensitiviti ramuan asalnya yang dikatakan mengandungi daging babi.
- Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan ketika menjawab pertanyaan itu menjelaskan makanan dimasukkan di dalam senarai makanan warisan seharusnya yang boleh dimakan dan dirasai semua kaum di negara ini.
KUALA LUMPUR – Kerajaan diharap menyenaraikan Bak Kut Teh sebagai makanan warisan kebangsaan bagi menunjukkan kepelbagaian budaya di Malaysia.
Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong), Tan Sri Goh Tian Chuan dipetik Sin Chew Daily sebagai berkata, Bak Kut Teh merupakan budaya makanan masyarakat Cina.
Katanya, mereka yang suka boleh makan, mereka yang tak suka Bak Kut Teh jangan halang orang lain untuk makan.
Dalam ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-29 Persatuan Restoran Persahabatan Sabah itu, Tian Chuan dilaporkan berkata Bak Kut Teh dimasak menggunakan herba tradisional Cina dan tulang.
Beliau berkata terdapat “Bak Kut Teh halal” di pasaran yang boleh dinikmati Muslim seperti “Bak Kut Teh Ayam”, “Bak Kut Teh Makanan Laut” dan “Bak Kut Teh Roti”.
Tian Chuan menyokong tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Teo King Sing, yang mengarahkan pegawai kementeriannya mengkaji isu menyenaraikan Bak Kut Teh sebagai makanan warisan negara.
Beliau juga kesal dengan kenyataan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim sebelum ini yang berkata perkataan Bak bermaksud daging babi.
“Saya tidak tahu dia dikelirukan oleh siapa sehingga menjadikan “Bak” sebagai babi, melakukan kesilapan asas dan mengelirukan masyarakat bangsa lain. Ini amat tidak bijak.
“Malah Ahli Parlimen Bersatu, Suhaimi yang memegang Portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya dalam kabinet bayangan pembangkang mengumumkan beliau akan membentuk jawatankuasa sebagai satu persediaan menentang penyenaraian Bak Kut Teh sebagai makanan warisan negara,” katanya.
Tian Chuan memberi sokongan penuh kepada King Sing dan berharap kerajaan menyenaraikan Bak Kut Teh sebagai makanan warisan kebangsaan bagi menunjukkan kepelbagaian budaya makanan di negara ini.
Pada 7 Jun lalu, isu Bak Kut Teh menjadi tumpuan di Dewan Rakyat selepas kewajarannya diangkat sebagai makanan kebangsaan dipersoalkan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.
Ia susulan pertanyaan daripada Jimmy Puah Wee Tse (Tebrau-PH) berhubung usaha MOTAC untuk memastikan makanan tradisi rakyat Malaysia seperti nasi lemak, Bak Kut Teh dan laksa diangkat martabat sebagai makanan kebangsaan Malaysia.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan ketika menjawab pertanyaan itu menjelaskan makanan dimasukkan di dalam senarai makanan warisan seharusnya yang boleh dimakan dan dirasai semua kaum di negara ini. – The Merdeka Times
Sumber: Sin Chew Daily