Terkini
Satu daripada empat calon SPM 2022 gagal Matematik, Malaysia akan kembali ke ‘Zaman Batu’
Golongan profesional bimbang dengan masa depan negara apabila satu per empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 gagal dalam subjek Matematik.
- Ini susulan keputusan SPM 2022 menunjukkan 24 peratus atau seorang daripada empat calon gagal dalam mata pelajaran terbabit, manakala 29 peratus lagi mendapat gred D dan E.
- Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata masa depan Malaysia amat bergantung kepada remaja hari ini bagaimanapun perkembangan kelompok tersebut membangkitkan kerisauan.
- Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook (FB), dan turut memuat naik tangkap layar dua laporan menyatakan; ‘Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-Kanak dan Remaja 2022 Hanya Dapat gred D tolak (D-)’ dan, ‘Seorang Bagi Setiap 4 Pelajar Gagal Matematik SPM 2022’.
- Mengulas isu sama, Profesor Dr Shahidan Radiman berkata Malaysia berkemungkinan akan kembali ke ‘zaman batu’.
- Ini kerana ketika laporan menyatakan satu daripada empat pelajar yang mengambil subjek Matematik gagal dalam SPM 2022, ada pihak masih bersikap tenang (relaks).
- Ironinya, apabila pasukan bola sepak negara bawah 17 tahun gagal ke Piala Asia ‘panic button’ ditekan.
- Saintis bidang tenaga dan kelestarian iklim, Dr Amir Faizal Abdul Manan berkata situasi ini sangat menggusarkan kerana Malaysia berkemungkinan berhadapan generasi tidak celik matematik.
KUALA LUMPUR — Golongan profesional bimbang dengan masa depan negara apabila satu per empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 gagal dalam subjek Matematik.
Ini susulan keputusan SPM 2022 menunjukkan 24 peratus atau seorang daripada empat calon gagal dalam mata pelajaran terbabit, manakala 29 peratus lagi mendapat gred D dan E.
Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata masa depan Malaysia amat bergantung kepada remaja hari ini bagaimanapun perkembangan kelompok tersebut membangkitkan kerisauan.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook (FB), dan turut memuat naik tangkap layar dua laporan menyatakan; ‘Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-Kanak dan Remaja 2022 Hanya Dapat gred D tolak (D-)’ dan, ‘Seorang Bagi Setiap 4 Pelajar Gagal Matematik SPM 2022’.
“Semakin risau dengan kedua-dua status kekuatan fizikal dan mental ini. Mari kita bertindak bersama membina tunjang masa depan negara,” katanya.
Mengulas isu sama, Profesor Dr Shahidan Radiman berkata Malaysia berkemungkinan akan kembali ke ‘zaman batu’.
Ini berikutan, ketika laporan menyatakan satu daripada empat pelajar yang mengambil subjek Matematik gagal dalam SPM 2022, ada pihak masih bersikap tenang.
Ironinya, apabila pasukan bola sepak negara bawah 17 tahun gagal ke Piala Asia ‘panic button’ ditekan.
“Dalam zaman teknologi yang bergantung kepada fizik kuantum, penerokaan angkasa lepas dengan Teori Kerelatifan Einstein dan tenaga masa depan kepada fizik nuklear kita mungkin berbalik ke “Zaman Batu” berbanding negara lain.
“Tidak payah cerita tentang generasi saintis, jurutera, pakar komputer dan lain-lain lagi…biarlah ramai jadi TikToker, influencer …..dan politikus,” katanya.
Saintis bidang tenaga dan kelestarian iklim, Dr Amir Faizal Abdul Manan berkata situasi ini sangat menggusarkan kerana Malaysia berkemungkinan berhadapan generasi tidak celik matematik.
Beliau mendakwa bagaimanapun kadar kegagalan mata pelajaran Matematik yang tinggi bukan sesuatu mengejutkan bagi Kementerian Pendidikan (KPM), berdasarkan laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) yang dijalankan setiap empat tahun, membabitkan pelajar Tingkatan Dua.
Kajian TIMSS pada 2019, menunjukkan 26 peratus pelajar gagal mencapai standard asas yang diperlukan untuk celik matematik.
“Kini, tiga tahun kemudian, kita melihat hasil yang sama dalam keputusan SPM 2022. Kebetulan? Mungkin ya atau mungkin tidak. Saya tidak tahu.
“Jika kita melihat prestasi SPM2022 pada soalan sasaran KBAT, dilaporkan lebih separuh daripada murid mendapat markah rendah dalam keupayaan mengaplikasikan pengetahuan diperolehi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Situasi itu dilihat sebagai satu masalah besar kerana ia membawa maksud pelajar tidak mempunyai pemahaman praktikal mengenai ilmu yang diperolehi mereka.
Beliau turut mendakwa, KPM seolah-olah menafikan kelemahan yang dikesan dengan hanya menonjolkan kebaikan, berbanding jujur dan telus mengenai kualiti sistem pendidikan semasa negara di sebalik pengumuman keputusan dibuat.
“Sebenarnya, seluruh negara berisiko berdepan krisis. Saya tidak bersikap melodramatik di sini. Cara paling pasti untuk memusnahkan sesebuah negara adalah dengan merosakkan sistem pendidikannya.
“Kita perlu benar-benar keluar daripada situasi ini sebelum terlambat,” katanya. — The Merdeka Times
Sumber : FB Noor Azlan Ghazali, Amir Faizal Abdul Manan & Shahidan Radiman