Connect with us

Terkini

Pindaan Seksyen 3, 7 Akta Pelarasan Pencen 2013 tidak sah

Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak rayuan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan Malaysia berhubung pindaan Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 yang telah melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Pindaan Seksyen 3, 7 Akta Pelarasan Pencen 2013 tidak sah
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak rayuan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan Malaysia berhubung pindaan Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 yang melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
  • Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim mengekalkan keputusan dibuat Mahkamah Rayuan yang membatalkan pindaan tersebut.
  • Ia sekali gus mengekalkan keadaan semasa sebelum pindaan Seksyen 3 Akta Pelarasan Pencen 1980 itu dibuat.
  • Menurut penghakiman ringkas dibaca Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah, pindaan dibuat pada Seksyen 3 dan 7 akta tersebut mengakibatkan responden, Aminah Ahmad alami situasi kurang beri manfaat terhadapnya.
  • “Rayuan yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan Malaysia tidak mempunyai sebarang merit,” kata Hakim Mohamad Zabidin.
  • Aminah, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar, menyaman atas kapasiti peribadinya dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam, mendakwa pindaan kepada Akta Penyelarasan Pencen mengakibatkan keadaan ‘agak merugikan’ kepada beliau berbanding dengan skim pelarasan persaraan sebelum ini di bawah Akta Pelarasan Pencen 1980.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak rayuan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan Malaysia berhubung pindaan Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 yang telah melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan yang membatalkan pindaan tersebut.

Ia sekali gus mengekalkan keadaan semasa sebelum pindaan Seksyen 3 Akta Pelarasan Pencen 1980 itu dibuat.

Menurut penghakiman ringkas yang dibaca oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah, pindaan yang dibuat pada Seksyen 3 dan 7 akta tersebut telah mengakibatkan responden, Aminah Ahmad telah mengalami situasi yang kurang memberi manfaat terhadapnya.

“Rayuan yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan Malaysia tidak mempunyai sebarang merit.

“Keputusan kami adalah sebulat suara yang mana tiada sebarang merit dalam rayuan. Penghakiman Mahkamah Rayuan adalah dikekalkan dan tiada sebarang perintah berhubung kos,” kata Hakim Mohamad Zabidin.

Aminah, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar, menyaman atas kapasiti peribadinya dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam, mendakwa pindaan kepada Akta Penyelarasan Pencen mengakibatkan keadaan ‘agak merugikan’ kepada beliau berbanding dengan skim pelarasan persaraan sebelum ini di bawah Akta Pelarasan Pencen 1980.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred tersebut. Bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenalkan berdasarkan kadar rata (flat rate) dua peratus kenaikan tahunan.

Pada 13 Januari 2022, Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang memihak kepada Aminah dan memberikan pengisytiharan bahawa pindaan Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 yang berkuat kuasa mulai Januari 2013 adalah terbatal dan tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa dengan pengisytiharan itu, keadaan semasa sebelum pindaan Seksyen 3 Akta Pelarasan Pencen 1980 akan terus diguna pakai.

Sumber: Utusan Malaysia

Author