Antarabangsa
Lebih 100 maut akibat bahang melampau di Mexico
Bahang suhu melampau meragut lebih 100 nyawa di Mexico sepanjang Jun ini, susulan beberapa siri gelombang panas di negara Amerika Latin itu, menurut kerajaannya.
- Bahang suhu melampau meragut lebih 100 nyawa di Mexico sepanjang Jun ini, susulan beberapa siri gelombang panas di negara Amerika Latin itu, menurut kerajaannya.
- Kumpulan saintis menjelaskan, pemanasan global memburukkan lagi keadaan cuaca, dengan banyak negara turut merekodkan rekod suhu tinggi.
- Data dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada Rabu menunjukkan, lebih 1,000 kecemasan berkaitan haba dilaporkan di Mexico antara 12 Jun hingga 25 Jun lalu, di mana 104 daripadanya mengakibatkan kematian.
- Katanya, pihak berkuasa melaporkan lapan kematian antara 14 April dan 31 Mei lalu, menjadikan jumlah keseluruhan 112 mangsa, dengan yang utama adalah strok haba, diikuti dehidrasi.
- Suhu purata maksimum di Mexico ketika musim panas adalah tidak tetap iaitu antara 30 dan 45 darjah Celsius.
MEXICO CITY – Bahang suhu melampau meragut lebih 100 nyawa di Mexico sepanjang Jun ini, susulan beberapa siri gelombang panas di negara Amerika Latin itu, menurut kerajaannya.
Kumpulan saintis menjelaskan, pemanasan global memburukkan lagi keadaan cuaca, dengan banyak negara turut merekodkan rekod suhu tinggi.
Data dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada Rabu menunjukkan, lebih 1,000 kecemasan berkaitan haba dilaporkan di Mexico antara 12 Jun hingga 25 Jun lalu, di mana 104 daripadanya mengakibatkan kematian.
Katanya, pihak berkuasa sudah melaporkan lapan kematian antara 14 April dan 31 Mei lalu, menjadikan jumlah keseluruhan 112 mangsa, dengan yang utama adalah strok haba, diikuti dehidrasi.
Wilayah utara Mexico melaporkan kematian paling tinggi iaitu 64 kematian direkodkan di negeri timur laut Nuevo Leon dan 19 di negara jiran Tamaulipas, bersempadan dengan negeri Texas Amerika Syarikat (AS) yang turut dilanda panas melampau.
Kementerian itu menyatakan, di Mexico, suhu maksimum 49 darjah Celsius (120 Fahrenheit) direkodkan minggu ini di negeri barat laut Sonora.
Katanya, suhu purata maksimum di Mexico ketika musim panas adalah tidak tetap iaitu antara 30 dan 45 darjah Celsius.
Pihak berkuasa memberi amaran satu lagi gelombang haba boleh menjejaskan negara dihuni 127 juta orang bermula esok.
Pada Mei, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran, hampir pasti 2023-2027 akan menjadi tempoh lima tahun paling panas pernah direkodkan, kerana gas rumah hijau dan El Nino bergabung yang mengakibatkan peningkatan suhu. – AFP
Sumber: Berita Harian