Connect with us

Terkini

Isu caj rawatan RM1: Kerajaan dikhuatiri tidak mampu tanggung kos kesihatan rakyat

Kerajaan dikhuatiri tidak mampu menampung kos rawatan rakyat sekiranya caj rawatan di Klinik Kesihatan dikekalkan pada RM1 dalam tempoh masa lebih panjang.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Bekas Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
  • Kerajaan dikhuatiri tidak mampu menampung kos rawatan rakyat sekiranya caj rawatan di Klinik Kesihatan dikekalkan pada RM1 dalam tempoh masa lebih panjang.
  • Bekas Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata kos mengutip bayaran RM1 itu jauh lebih tinggi berbanding daripada hasil kutipan tersebut.
  • Kerajaan diharap mempertimbangkan menaikkan harga bayaran itu apabila caj rawatan ketika ini dilihat tidak lagi relevan.
  • “Jadi salah satu cara paling baik itulah naikkan sedikit walaupun naikkan RM5 ke RM10 ringgit ke…ia bukan dapat banyak pun tapi sekurang-kurangnya boleh tampung sedikit (kos perbelanjaan) jadi kerajaan memang tak mampulah tak boleh dah nak berterusan dengan RM1 itu,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
  • Seorang pengamal perubatan yang ingin identitinya dirahsiakan, bagaimanapun tidak bersetuju caj rawatan RM1 di Klinik Kesihatan dinaikkan.
  • Katanya, tiada sebarang caj sepatutnya dikenakan untuk rakyat mendapatkan rawatan kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan.

KUALA LUMPUR — Kerajaan dikhuatiri tidak mampu menampung kos rawatan rakyat sekiranya caj rawatan di Klinik Kesihatan dikekalkan pada RM1 dalam tempoh masa lebih panjang.

Bekas Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata kos mengutip bayaran RM1 itu jauh lebih tinggi berbanding daripada hasil kutipan tersebut.

Berikutan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan kadar bayaran tersebut memandangkan caj rawatan ketika ini dilihat tidak lagi relevan.

“Sekarang ini pun kos semakin tinggi, bajet kita tambah macam mana pun takkan cukup tapi kalau kerajaan nak tambah pun dia terpaksa kurangkan benda lain (dari sudut) pelajaran, pertahanan ke macam-macam lah.

“Jadi salah satu cara yang paling baik itulah naikkan sedikit walaupun naikkan RM5 ke RM10 ringgit ke…ia bukan dapat banyak pun tapi sekurang-kurangnya boleh tampung sedikit (kos perbelanjaan) jadi kerajaan memang tak mampulah tak boleh dah nak berterusan dengan RM1 itu,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Beliau yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam berkata demikian ketika mengulas gesaan beberapa pihak meminta caj rawatan RM1 di Klinik Kesihatan dinaikkan kerana caj sedia ada didakwa tidak relevan terutama ketika ini nilai kos semakin meningkat.

Terdapat juga pihak berpandangan gara-gara caj dikenakan terlalu rendah, segelintir klinik masih berada dalam keadaan daif, fasiliti tidak cukup dan sebagainya.

Mencadangkan kenaikan bayaran itu, Dr Zainal tidak menafikan majoriti rakyat sedang bergelut dengan masalah ekonomi.

Katanya, jika kerajaan dapat menangani isu tersebut dengan betul, maka rakyat akan menyokong perkara itu walaupun perlu ‘berkorban’ menghadapi kenaikan caj rawatan di Klinik Kesihatan.

“Tapi kalau betul-betul payah (susah) B40 atau bawah B40 kerajaan kena ada mekanisme lain jugalah bantu mereka dengan bagi kupon sebagainya tapi memang tak logik kita maintain harga itu… saya rasa jangan takut kepada rakyat memang kita kena naikkan sedikit .

“Sebab apa? Kalau kita tunggu seperti ini kerajaan pun tak mampu buat nanti dia punya perkhidmatan makin teruk kos semakin tinggi nak bayar elaun pekerja lagi jadi rakyat juga kena tanggung dapat perkhidmatan yang merosot dan terus merosot kualitinya. (Rakyat) Kena faham dan berkorban sedikit,” katanya pada Jumaat. 

Seorang pengamal perubatan yang ingin identitinya dirahsiakan bagaimanapun tidak bersetuju caj rawatan RM1 di Klinik Kesihatan dinaikkan.

Beliau berpandangan sepatutnya tiada sebarang caj dikenakan untuk mendapatkan rawatan kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan.

“Jika seorang ayah tak bagi pendidikan dan kesihatan kepada anaknya secara percuma bahkan anaknya pula yang kena bayar, perlu kah ada ayah itu?

“Peranan ayah dan kerajaan itu lebih kurang sama, si ayah lah yang menyekolahkan dan memberi perlindungan kesihatan sebab itu tanggungjawabnya, kenapa pulak si ayah nak mengeluh dan nak charge pula pada anak?” katanya.  — The Merdeka Times

Author