Connect with us

Terkini

Arab Saudi positif hasrat Malaysia jadi tuan rumah Simposium Haji dan Umrah

Hasrat Malaysia untuk menjadi tuan rumah Simposium Haji dan Umrah, iaitu kali pertama berlangsung di luar negara ini sekiranya berjaya direalisasikan, menerima respons positif daripada Kerajaan Arab Saudi.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Arab Saudi positif hasrat Malaysia jadi tuan rumah Simposium Haji dan Umrah
Foto: Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (empat dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kebersihan Masyair.
  • Hasrat Malaysia untuk menjadi tuan rumah Simposium Haji dan Umrah, iaitu kali pertama berlangsung di luar negara ini sekiranya berjaya direalisasikan, menerima respons positif daripada Kerajaan Arab Saudi.
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata beliau sudah menyampaikan cadangan itu kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabeeah yang bersetuju secara dasarnya.
  • Katanya, beliau menyarankan idea berkenaan ketika saling berhubung dengan Dr Tawfiq melalui WhatsApp, selepas menghadiri Simposium Perdana Haji anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di Jeddah pada Selasa lalu.
  • Beliau berkata, ia sebagai langkah permulaan buat masa ini berikutan kesibukan Dr Tawfiq menjelang kemuncak ibadah haji atau masyair pada minggu depan, namun langkah susulan akan diambil bagi membincangkan perkara itu secara lebih lanjut dan terperinci antara kedua-dua pihak.
  • “Perkara ini memerlukan perbincangan lanjut. Namun yang penting ialah pada dasarnya, idea itu tidak ditolak, malah diterima baik oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kebersihan Masyair 1444H/2023M, di sini, semalam.

MAKKAH: Hasrat Malaysia untuk menjadi tuan rumah Simposium Haji dan Umrah, iaitu kali pertama berlangsung di luar negara ini sekiranya berjaya direalisasikan, menerima respons positif daripada Kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata beliau sudah menyampaikan cadangan itu kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabeeah yang bersetuju secara dasarnya.

Katanya, beliau menyarankan idea berkenaan ketika saling berhubung dengan Dr Tawfiq melalui WhatsApp, selepas menghadiri Simposium Perdana Haji anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di Jeddah pada Selasa lalu.

Beliau berkata, ia sebagai langkah permulaan buat masa ini berikutan kesibukan Dr Tawfiq menjelang kemuncak ibadah haji atau masyair pada minggu depan, namun langkah susulan akan diambil bagi membincangkan perkara itu secara lebih lanjut dan terperinci antara kedua-dua pihak.

“Pada dasarnya, beliau bersetuju serta menyatakan akan memberi kerjasama jika Malaysia berhasrat untuk mengadakan Simposium Haji dan Umrah pada peringkat serantau di Asia Tenggara.

“Alhamdulillah, beliau memberikan respons sangat baik dan positif, termasuk menyatakan kesediaan untuk membantu serta mengkoordinasi.

“Perkara ini memerlukan perbincangan lanjut. Namun yang penting ialah pada dasarnya, idea itu tidak ditolak, malah diterima baik oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kebersihan Masyair 1444H/2023M, di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman; serta Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Media baru-baru ini melaporkan Malaysia merancang untuk menjadi tuan rumah Simposium Haji dan Umrah anjuran Kerajaan Arab Saudi, bagi memudahkan penyertaan serta perkongsian idea terbaik daripada pemain industri itu dalam kalangan negara serantau, khususnya ASEAN pada masa depan.

Mohd Na’im dipetik sebagai berkata, pihaknya bersama Lembaga Tabung Haji (TH) bersedia untuk memainkan peranan itu, justeru perbincangan akan dibuat secepat mungkin dengan Dr Tawfiq bagi merealisasikan cadangan berkenaan selewat-lewatnya dalam tempoh dua tahun lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, Malaysia akan terus memperkukuh hubungan baik dengan Kerajaan Arab Saudi, sekali gus memberi kebaikan kepada rakyat Malaysia dalam urusan berkaitan ibadah haji di Tanah Suci.

Sementara itu berhubung Program Kebersihan Masyair 1444H/2023M pula, beliau berkata, ia adalah kesinambungan kepada inisiatif diperkenalkan TH sejak 2018 bagi menggalakkan jemaah Malaysia untuk menjaga kebersihan kawasan operasi masyair meliputi Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Kita hendak menanam semangat dan usaha menjaga kebersihan dalam kalangan jemaah haji, sebagaimana hadis Nabi SAW menyebut: ‘Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman.’

“Alhamdulillah, Kerajaan Arab Saudi juga sangat menghargai usaha dilakukan TH dan jemaah Malaysia ini,” katanya.

Selain di kawasan operasi masyair, Mohd Na’im berkata, penekanan terhadap kepentingan menjaga kebersihan itu turut diperluaskan secara menyeluruh meliputi semua tempat, termasuk di bilik penginapan jemaah haji.

Sambil memuji pelbagai inisiatif dilaksanakan TH, beliau memberi penilaian ‘lima bintang’ kepada perkhidmatan agensi itu yang disifatkan sebagai cukup komited dalam menyantuni jemaah Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bersama pasukan petugasnya turut membuktikan komitmen tinggi dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah negara, termasuk yang disaksikannya sendiri ketika mengadakan lawatan mengejut ke Pusat Rawatan TH Makkah, baru-baru ini.

“Bagaimanapun, saya menyebut kepada jemaah Malaysia bahawa dalam kita berusaha sebaik mungkin, sebagai manusia sudah tentu ada kekurangan. Jika tiada kekurangan, maka tidak ada ruang untuk melakukan penambahbaikan.

“Insya-Allah, kita belajar daripada kekurangan itu dan melakukan penambahbaikan bersama maklum balas diberikan jemaah haji, seperti dari segi layanan, makanan, bilik penginapan serta kenderaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *